Kembara Zain Saidin di Palestin

Tujuh hari menjejakkan kaki di bumi Palestin, baru-baru ini menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan pelakon Oh My English!, Zain Saidin selagi hayat dikandung badan.

Mengembara di tanah Gaza sambil mendekati anak Palestin dalam misi organisasi sukarelawan, Aqsa Syarif selama seminggu pada 3 Disember lalu, menimbulkan keinsafan dalam diri jejaka ini.

"Dua kali air mata saya gugur sepanjang berada di Gaza," cerita Zain.



Pelakon ini gagal menahan air matanya kerana terharu dengan ketabahan masyarakat Palestin yang masih mampu tersenyum biarpun kehilangan harta benda dan keluarga tercinta angkara kerakusan rejim Zionis.

"Kami bukannya hero, tetapi kedatangan kami ke sebuah TADIKA disambut bagaikan wira. Melihat kanak-kanak yang masih mampu mengukir senyuman biarpun kehilangan ibu dan bapa begitu menyayat hati saya.

"Saya tidak tahu dari mana mereka mengumpul kekuatan itu. Mereka sangat reda dengan dugaan yang menimpa.

Pertemuan kami dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun yang kehilangan lebih 30 ahli keluarganya juga antara perkara yang menyentuh hati saya," katanya.

Menceritakannya lagi, Zain berkata, kanak-kanak perempuan yang ditemuinya itu tinggal sebatang kara selepas ibu bapa, adikberadik serta sanak saudaranya terbunuh dalam pertempuran.

"Ketika menceritakan pengalaman hitamnya, tiada setitis pun air matanya mengalir. Sebaliknya kami pula yang berasa geram dengan kerakusan tentera Israel.

"Melihatkan ketabahan mereka, baru saya faham maksud reda. Bagi saya masyarakat Palestin adalah orang yang benar-benar faham apa maksud reda," kata Zain.

Teringat pesawat Israel berlegar di udara

Zain akui, sebelum menjejakkan kaki ke bumi bergolak itu, perasaannya bercampur-baur.

Teruja dan gementar keduaduanya hadir seiring. Memikirkan orang-orang tersayang yang bakal ditinggalkan adalah perkara yang paling membimbangkannya, siapa tahu mungkin mereka tidak berpeluang bersua muka lagi.

"Saya dimaklumkan mengenai kunjungan ke Gaza melalui kakak saya, Sasha. Dia baru pulang dari mesyuarat bersama organisasi Aqsa Syarif dan memberitahu organisasi itu mencari sukarelawan untuk berangkat ke Gaza. Lalu dia menyarankan saya mencuba nasib.

"Keesokan harinya pula, rakan saya yang juga bekas anggota kumpulan X-Factor, Hafizi JV pula menghubungi saya. Dia memberitahu, sebuah organisasi sedang mencari sukarelawan untuk menyertai misi mereka. Rupa-rupanya organisasi yang dimaksudkan Hafizi adalah sama seperti dinyatakan Sasha.

"Tanpa berfikir panjang, saya menyatakan hasrat untuk turut serta. Kebetulan pula saya sedang berhadapan dengan masalah hidup. Dalam solat, saya berdoa kepada Allah semoga diberikan petunjuk. Jadi bila tiba-tiba tawaran ini datang, ibu saya adalah orang yang paling kuat memberikan galakan. Katanya, mungkin ini petunjuk yang Allah berikan, jadi dia memberi sokongan sepenuhnya terhadap keputusan saya untuk ke Gaza," kata Zain.

Sepanjang di Gaza, timbul rasa bimbang dengan keselamatannya apabila melihat pesawat milik Israel berlegar-legar di ruang udara.

Bagaimanapun, Zain tidak serik untuk menjejakkan kaki ke Gaza. Insya-Allah, andai ada rezeki dan diberi peluang, Zain berhajat ke Gaza sekali lagi kerana ingin menyumbang tenaga mengajar anak Palestin bahasa Inggeris.

"Saya tidak mampu memberi sumbangan besar, apa yang mampu saya lakukan hanyalah berkongsi ilmu yang ada. Saya teringin mengajar mereka bahasa Inggeris supaya mereka boleh bertutur apabila bertemu dengan pelawat asing," katanya.

Hip, Berita Harian

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top