Carta artis kontroversi 2012
KALENDAR 2012 menemui tarikh hujungnya sebelum tahun baru 2012 menjelma sehari lagi. Seiring dengan itu, pentas hiburan tempatan tidak ketinggalan dihidangkan isu-isu kontroversi. Pancaindera senaraikan paparkan sorotan figura dunia hiburan tempatan mengikut carta.
MENGANDUNG PALING PANTAS
PASANGAN pengantin baru, Farid Kamil dan Diana Danielle menjuarai carta artis kontroversi 2012 setelah membocorkan rahsia kehamilan selepas 16 hari selamat melangsungkan pernikahan. Pasangan itu bernikah pada 3 November lalu di Ampang. Diana sendiri yang berkongsikan berita gembiranya itu melalui Twitter miliknya. Bagaimanapun, pasangan pelakon itu menggunakan pendekatan tutup mulut untuk mengulas perkhabaran berita itu.
BERKAHWIN PALING CEPAT
PELAKON Anne Ngasri mengambil masa yang singkat untuk berkahwin dengan Mohd. Sumali Reduan. Perkahwinan mereka menjadi sensasi kerana berlaku selepas Anne berpisah dengan bekas kekasihnya, Aliff Aziz. Anne dilaporkan bersedia untuk bersatu dengan Aliff pada penghujung 2012. Lantaran itu timbul pelbagai spekulasi tentang perkahwinan Anne dengan Mohd. Sumali yang juga Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Malaysia. Malah ada yang mempertikaikan tujuan Anne mengahwini lelaki berasal dari Johor itu.
BERGADUH SEBAB CEMBURU?
PUNCA pergaduhan antara Neelofa dan Anzalna bermula sewaktu sama-sama turut serta dalam pertandingan wanita tercantik. Ada silap kata dan tingkah yang tidak menyenangkan di antara dua pihak yang menyebabkan isu yang kecil menanah dan menjadi besar. Masing-masing memendam perasaan sehingga tercetus peperangan. Pun begitu mereka ada hujah mempertahankan diri sendiri.
DITUDUH MENCURI TAPI TAK ADA BUKTI
KEJADIAN memalukan yang melanda pelakon Awal Shaari dan Scha Al-Yahya ini ketika mereka sama-sama memperagakan baju sebuah butik terkenal. Dikatakan ada baju penganjur yang diambil oleh pasangan selebriti itu secara tak sengaja. Namun tak ada bukti khusus dibuat daripada penganjur mahupun daripada mana-mana pihak tentang perbuatan pasangan pelakon tersebut.
DITAJA TAPI TAK MENGAKU
TASHA Shilla yang populariti semakin mencanak naik dikatakan disimpan oleh seorang lelaki kaya-raya. Lelaki yang dikenali sebagai Datuk J itu dikatakan sanggup menghadiah sebuah banglo sehinggalah kereta Audi yang dipandu olehnya asalkan sanggup berparti di kelab malam bersama. Pun begitu Tasha tetap dengan pendirian menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan terhadap dirinya itu.
KISAH RUMAH TANGGA RITA RUDAINI
KRISIS rumah tangga Rita Rudaini dengan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak menjadi tumpuan sepanjang tahun. Pelbagai cerita didedahkan di media sehingga menyebabkan orang luar membuat persepsi masing-masing. Pada 7 November lalu, Rita berjaya dalam permohonannya untuk membantah perintah kembali taat atau nusyuz yang difailkan oleh Aidil.
BERCINTA LAMA TAPI TAK KAHWIN-KAHWIN
SERI hubungan cinta antara pelakon Almy Nadia dan Fizz Fairuz semakin pudar selepas cerita mereka dilihat kerap didedahkan di media. Perubahan ketara selepas Fizz dapat anugerah yang mengganggu gugat hubungan cintanya dengan Almy. Banyak pihak buat spekulasi, ditambah pula dah enam tahun cerita tentang kahwin, tapi masih belum ada cerita perkahwinan sebenar.
IKA NABILA SERBA LENGKAP
NAMA penyanyi genit ini menjadi jelik sebab dikatakan terlibat dengan kes hubungan sejenis, minuman keras dan menyimpan alat permainan seks orang dewasa. Gosip kian panas apabila kru produksi menyampaikan bahawa Ika Nabila tanpa segan silu mengajak seorang aktres comel untuk mengadakan hubungan seks terlarang bersamanya yang katanya lebih menyeronokkan. Kesemua dakwaan itu disangkal Ika.
NABILA HUDA YANG SENSASI
KISAH kontroversi membabitkan Nabila Huda sering mencerminkan sisi negatif dirinya kepada khalayak. Dikatakan berpeluk sakan dengan kekasih gelap, Johan Asari di lokasi penggambaran drama Pelangi Kasih. Ibu Keisha Laila ini juga panas dengan kontroversi pakaian seksinya pada acara karpet merah majlis Anugerah Blokbuster 2011 awal bulan Oktober lalu dan mencuri tumpuan umum apabila dituduh menghadiri parti liar menyambut Halloween pada hujung bulan yang sama.
SOAL CINTA HATI SHILA
JUARA rancangan realiti Asian Wave 2012 di Shanghai, China mencetuskan kontroversi gara-gara terlalu mendedahkan kisah cintanya dengan Shaarnaz Ahmad kepada khalayak. Perlakuan mencium tangan Sharnaaz secara tidak sengaja di satu majlis anugerah, pergaduhan dan lamaran tak rasmi di Twitter menyebabkan ada segelintir pihak kurang senang. Pun begitu, perkara peribadi itu bijak dikawal Shila seiring dengan kisah kerjayanya.
Artikel : http://www.utusan.com.my
0 ulasan:
Catat Ulasan