Apa Adanya Kaly Aziz
Menggunakan nama Kalysa untuk grupnya, kini wanita muda ini mempertaruhkan nama Kaly Aziz untuk dikenali ramai.

Asalnya seorang Nurul Kalyisah Abdul Aziz ialah anak band. Wanita muda berusia 23 tahun ini menguji dan melebar bakat dengan bersertakan anggota grup yang lain. Grup dengan nama Kalysa itu menempa pengalaman bermuzik di sekitar Singapura sebagai seorang vokalis.

Bakatnya dikesan grup Pita Hati yang membuat persembahan bersama di Singapura. Itulah langkah mula wanita berhoroskopkan Gemini ini menjadi anak seni.

Sekarang Kaly bergerak solo membawakan nama Kaly Aziz. Merantau dari Kota Singa ke Kuala Lumpur, karya Kaly mendapat kepercayaan syarikat Luncai Emas Sdn. Bhd. yang diketuai Datuk M. Nasir.
Kaly Aziz

"Saya datang ke Kuala Lumpur pada tahun lepas dan diuji bakat oleh M. Nasir. Syukur saya dapat bernaung di bawah Luncai Emas," cerita Kaly.

Single perdana dengan tajuk Apa Adanya adalah taruhan sulung Kaly. Lagu hasil tulisan dan lirik nukilannya itu dibuat di Luncai Emas. Dia bertuah apabila lagu tersebut dipilih menjadi salah satu lagu runut bunyi untuk telefilem Famili lakonan Soffi Jikan dan Intan Ladyana.

"Lagu itu saya hasilkan berdasarkan pemerhatian orang terdekat. Ia tentang cinta bertepuk sebelah tangan atau cinta yang tidak dihargai," senyumnya merungkaikan penceritaan di sebalik lagu tulisannya sendiri itu.

Berdiri atas predikat dan status penyanyi dan penulis lirik, Kaly mengaku dia cenderung kepada lirik yang bertemakan cinta dan kehidupan. Manakala rujukannya menghala kepada perjalanan Avril Lavigne dan grup Cokelat dari Indonesia.

"Lagu ini sudah dimainkan di stesen radio seperti Suria, Hot FM dan KLFM. Dalam bahagian promosi dan pengurusan, saya dijaga oleh pihak Morning Rocket," katanya yang turut menjadi pengacara program Lagu Tiga Kupang arahan Sha Bromo yang akan disiarkan di TV1.

Dalam rangka mempromosikan single perdananya, Kaly memberi fokus kepada penghasilan album pertamanya yang akan memuatkan lagu nukilannya.

"Saya menulis lirik sejak usia 11 tahun. Cuma pada usia saya 17 tahun, lagu saya diperdengarkan dan digunakan," kata si manis ini yang suka tersenyum.

Kaly mengakui perjalanan menuju status artis rakaman tidaklah mudah. Dia berhadapan dengan keadaan tidak stabil dan kesusahan namun bersyukur dengan bimbingan Morning Rocket yang memberinya laluan dengan mempromosikan lagu ciptaannya.

Menyentuh tentang tunjuk ajar dan kawalan kualiti lagu yang dilakukan oleh M. Nasir atas naskhah Kaly, dia mengaku tokoh itu garang apabila duduk di kerusi tugasan.

"Datuk garang. Tetapi dalam memberikan kerjasama dan berkongsi idea tentang melodi dan lirik, dia sangat terbuka. Dia senang diajak berbual dan berbincang," katanya yang mengharapkan kehadirannya dalam industri dikesan khalayak ~ Kosmo

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top