Anne Bajrai bekas model jadi pelakon

Meskipun baru dalam bidang seni, kemunculan Siti Anneseha Sheikh Ibrahim, 25, dalam dunia seni tanah air dengan mudah mencuri perhatian peminat. Dia yang mahu dikenali dengan nama Anne Bajrai sebenarnya tidak asing dalam dunia glamor kerana pernah muncul sebagai model iklan komersial di TV.

Lulusan Diploma Dandanan Rambut dari Universiti LimKokWing ini sememangnya meminati bidang seni merangkumi nyanyian dan lakonan tetapi rezekinya terlebih dulu datang menerusi peragaan.

"Sebelum ini saya bekerja dalam bidang pemasaran sebelum memilih terbabit dalam peragaan sepenuh masa. Waktu belajar dulu pun saya dah buat peragaan kerana jurusan yang dipilih berkait rapat dengan jurusan fotografi. Saya banyak jadi model fotografi dan akhirnya mula serius sejak 2009.

"Kemudian saya menyertai pertandingan Pencarian Gadis Jelita 2011 dan berjaya melangkah dalam pering-kat Top 6.

Pembabitan ini bagaikan batu loncatan kerana saya terus dikenali dan menerima banyak tawaran dalam bidang peragaan. Daripada muncul memperaga produk berjenama popular sehinggalah kepada pakaian muslimah, semuanya saya terima," katanya.

Bakat Anne dalam nyanyian bermula sejak kecil, tetapi dia mengakui kurang mahir mencari ruang mengembangkannya. Sekiranya ada tawaran, dia tidak ragu-ragu menerimanya untuk membuktikan kemampuan diri.

"Saya pernah menyanyi ketika di bangku sekolah dan menyertai kumpulan koir ketika belajar di LimKokWing. Sekiranya memperoleh tawaran menyanyi, saya akan menerimanya dan akan memantapkan vokal. Saya teringin bekerja dengan komposer terkenal dan takkan mempersiakan peluang yang diberi.

"Ibu bapa kurang menyokong pembabitan saya dalam bidang seni, tetapi mereka tidak pula membantah. Cuma, saya perlu pandai menjaga diri agar tak terbabit dengan perkara negatif dan boleh memalukan mereka," kata anak keenam daripada tujuh beradik ini.

Artis berdarah campuran Arab Yemen sebelah bapa dan Melayu Siam sebelah ibu ini memberitahu, pengalaman terbabit dalam komersial ibarat seperti berlakon. Justeru, dia tidak menunggu lama apabila ditawarkan membintangi filem Aku Akan Muncul terbitan RM Vision Film Production Sdn Bhd.

"Watak saya sebagai Mawar sekadar pembantu yang baik dengan Kesuma (Julia Ziegler). Saya tahu banyak kritikan dilemparkan terhadap filem ini, tetapi ia bukanlah dari aspek lakonan sebaliknya dari sudut teknikal.

"Diikutkan filem ini menarik kerana menampilkan gabungan pelakon lama dan baru. Respon yang diterima daripada penonton pun tidaklah teruk sangat. Mereka cuma mempertikaikan aspek suntingan Aku Akan Muncul yang nampak bercelaru, sekali gus membuatkan ramai tak faham jalan ceritanya.

"Saya tak tertekan dengan komen yang diberikan kerana ia pengalaman baru buat saya," katanya.

Setakat ini, Aku Akan Muncul menjadi satu-satunya filem lakonan Anne dan dia akan kembali fokus pada bidang peragaan tetapi tidak menolak jika ditawarkan untuk berlakon lagi. ~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top