Pelakon Noorkhiriah ingin beri tumpuan pada keluarga

Lebih 15 tahun menceburi bidang seni cukup membuatkan pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie bangga dan berpuas hati dengan perjalanan karier serta pencapaiannya.

Kini pada usia mencecah 38 tahun dengan status sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata lelaki, sudah tiba masanya untuk dia memperlahankan karier lakonan demi keluarga.

Menurut anak jati Pahang ini, bukanlah dia mahu bersara terus daripada berlakon, tetapi sekadar lebih memilih tawaran diterima.

Katanya, dia juga tidak bermaksud mahu `demand' namun apa yang dilakukan dilihat wajar.

"Sekarang anak-anak sedang membesar. Jadi, sudah pasti mereka memerlukan lebih perhatian daripada saya. Oleh itu, inilah masanya untuk saya tumpu pada keluarga pula.

"Karier lakonan takkan ada titik noktah kerana peminat tidak pernah jemu memberikan sokongan mereka. Namun, sebagai manusia biasa sampai bila saya perlu terus menongkat ke langit.

"Justeru, cukuplah dengan beberapa pencapaian pernah diraih sebelum ini yang mengiktiraf bakat seni saya. Ia amat memadai dan saya gembira kerana mampu membuktikan diri diterima peminat kerana bakat dimiliki," katanya.

Pernah menang tiga kali berturut-turut kategori Artis Komedi Wanita Popular dalam Anugerah Bintang PopularBH (ABPBH) termasuk merangkul anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin (ASK) pada 2007 dan Pelakon Wanita Terbaik di ASK 2010, Noorkhiriah benar-benar sudah puas.

Katanya, tiada apa yang ingin dikejarkan lagi kerana segala impian sudah pun dimakbulkan Tuhan.

Kini, dia dalam proses menghabiskan saki-baki tawaran berlakon yang diterima.

"Setakat ini, penggambaran drama bersiri Yes Boss untuk TV3 sudah pun selesai dan kini saya memberi sepenuh tumpuan pula untuk menyiapkan enam episod drama Bedah vs Joyah terbitan Zeel Production Sdn Bhd.

"Apabila semua urusan kerja ini diselesaikan, saya akan memberi sepenuh tumpuan kepada keluarga dan mungkin menjadi suri rumah pula. Pun begitu, jika ada tawaran yang sesuai saya tetap akan berlakon lagi," katanya.

Memulakan langkah menjadi anak seni pada usia 22 tahun, Noorkhiriah yang pernah aktif dalam teater mengakui tumpuannya selepas ini pasti lebih terarah kepada anak sulung, Muhamad Hudhaifah Azfaizul, 5, yang sudah bersekolah.

Katanya walau pun anak baru memasuki sekolah tadika, namun perhatian pada pendidikannya harus diambil kira mulai sekarang.

Apatah lagi, selepas itu anak kedua, Muhamad Yusoof Azfaizul, 3, pula akan bersekolah.

Noorkhiriah berkata, kini keutamaan pada keluarga amat penting berbanding karier.

Apapun, ujarnya dia tetap yakin pada rezeki Tuhan, cuma jika ada dia terima dan jika sebaliknya juga Norkhiriah reda.

Bukan sekadar jarang turun padang bertemu peminat, Noorkhiriah juga mengakui dia tiada masa untuk memenuhi undangan sesi fotografi media kerana terikat dengan jadual padat di antara karier dan juga menguruskan anak.

Justeru, katanya dia berasa sangat tidak sedap hati apabila namanya masih lagi dicalonkan dalam senarai `Top 5' ABPBH 2013 kekal dalam kategori Artis Komedi Wanita Popular.

"Sebenarnya, kalau ikutkan hati saya agak lebih selesa jika nama tidak lagi dicalonkan pada penganjuran ABPBH akan datang. Bukan merajuk dengan industri seni atau mengada-ngada tetapi ada rasionalnya.

"Saya sudah pernah merasa bagaimana perasaan seorang pemenang anugerah, jadi sekarang tiba masanya laluan itu diberikan kepada bintang baru yang bukan hanya berbakat namun mereka memang layak turut bertanding.

"Ditambah lagi, genre komedi kini memang mendapat tempat di hati penonton. Bahkan, saya juga lihat bakat artis komedi wanita tempatan sudah semakin ramai. Jadi, biarlah peluang itu untuk mereka pula," katanya.

Turut menamakan beberapa barisan anak seni tanah air seperti Sharifah Shahira, Azza (Elite), Ieda Moin, Amyza Aznan, Kenchana Dewi, Jihan Muse, Siti Chubby, Zullin Aziz dan Sherry Alhadad, pelakon telefilem Jubah Hitam ini cukup optimis.

Katanya, walaupun peminat berhak sepenuhnya untuk mengundi artis pilihan dan kesukaan mereka, namun peluang memang perlu dibuka kepada bintang baru kerana mereka juga ada hak merasai pengalaman yang pernah dilaluinya.

~ HM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top