Hikmah penundaan ABPBH
Tempoh undian menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 akan dilanjutkan selepas penganjur mengumumkan malam kemuncak anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia itu ditunda kepada satu tarikh baharu.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2013 merangkap Pengarang Bersekutu Hiburan/BH2, Hanizam Abdullah, berkata peminat masih boleh mengundi artis kesayangan mereka menerusi SMS sehingga tarikh tutup yang akan diberitahu kemudian.
"Disebabkan malam kemuncak ABPBH 2013 yang sepatutnya diadakan pada 6 April ditangguh kepada satu tarikh lain, penganjur memutuskan undian SMS akan dilanjutkan sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.
"Bagaimanapun, bagi undian menerusi borang, ia sudah pun ditutup pada 17 Mac lalu," kata Hanizam pada sidang media khas yang diadakan di Balai Berita, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Hadir sama, Pengarang Kumpulan BH merangkap Penaung ABPBH 2013, Mahfar Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham Omar; barisan finalis dan artis undangan iaitu Amy Mastura, Fara Fauzana, Aaron Aziz, Yana Samsudin, Dazrin Kamaruddin, Johan As'ari, Nomad, Ayu Damit, Indah AF serta Sabhi Saddi.
Anugerah memperingati MH370
Terdahulu, Mahfar mengumumkan penundaan tarikh malam anugerah untuk memartabatkan penggiat seni tanah air ini dibuat sebagai tanda menghormati insiden memilukan yang menimpa penerbangan MH370.
Keputusan ini turut diambil selaras dengan pengumuman Izham baru-baru ini, iaitu semua rangkaian TV MPB merombak susunan program dengan menggugurkan rancangan hiburan seterusnya memanjangkan laporan khas dan berita terkini, selain melebihkan pengisian agama serta ilmiah.
Ditanya apakah akan ada perubahan dari segi konsep persembahan pada malam kemuncak ABPBH nanti, bersesuaian dengan situasi yang dialami ketika ini, Hanizam berkata, perkara itu memang ada dalam perancangan penganjur.
"Pada awalnya, memang kami ingin meneruskan penganjuran acara terbabit dan pengisiannya lebih kepada tribute untuk MH370. Menyedari ABPBH ialah acara yang berbentuk keraian bagi penggiat seni, maka ia memang tidak sesuai untuk diadakan dalam situasi sekarang.
"Bagaimanapun, bagi malam kemuncak yang akan diadakan nanti, kami tetap akan menyelitkan segmen memperingati insiden yang menyayat hati seluruh masyarakat ini," katanya.
Cara terbaik tonjol keprihatinan
Dalam perkembangan berkaitan, Hanizam turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua artis yang terbabit dan pihak pengurusan yang menyambut baik usaha murni BH menunda acara terbabit.
"Kebanyakan mereka menyokong usaha menangguhkan acara itu kerana masing-masing berasakan, inilah cara terbaik untuk menunjukkan keprihatinan terhadap tragedi yang menimpa negara," ujarnya.
Sementara itu, Amy yang bakal mengacarakan malam kemuncak terbabit bersama-sama penyampai radio Hot FM, Fara, berasa lega apabila acara itu ditangguhkan.
"Negara kita sedang bersedih ketika ini dan sebagai rakyat, kita sepatutnya bersama-sama berkongsi perasaan itu. Justeru, apabila penganjur memutuskan untuk menunda malam kemuncak ABPBH, saya menyambut baik keputusan itu.
"Walaupun sudah membuat persiapan serba sedikit, namun itu semua tidak perlu dibimbangkan. Saya tetap akan memberikan komitmen saya untuk penganjuran pada tarikh baharu nanti," janji penyanyi lagu Jawapan Kasih dan Meniti Hari ini.
Enggan dituduh tak sensitif
Pelakon Wawa Semput, Yana, juga antara anak seni yang begitu terkesan dengan peristiwa yang menimpa MH370. Beliau sendiri pernah memasang angan-angan untuk tidak menghadiri malam kemuncak ABPBH 2013 jika acara itu diteruskan juga pada 6 April depan.
"Memang saya sudah merancang untuk tidak hadir ke majlis itu jika ia diteruskan juga. Perasaan sedih membuatkan saya membuat keputusan itu. Tak mahulah nanti jika saya muncul di acara berkenaan, saya dituduh tidak sensitif pula. Daripada membiarkan perkara itu menjadikan saya serba salah, lebih baik saya tidak hadir.
"Mujurlah pihak penganjur peka dengan situasi itu. Bagaimanapun, ada juga masalah lain yang timbul apabila acara itu ditangguhkan. Ada peminat yang memaklumkan mereka sudah pun membeli tiket kapal terbang dan menempah bilik hotel, semata-mata untuk menghadiri acara ini.
"Tengoklah nanti, saya akan fikirkan bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah itu," kata Yana yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular.
Perasaan itu turut dikongsi bintang Kerat 14, Aaron, apabila melahirkan rasa gembira dengan keputusan penundaan itu.
Menurut Bintang Paling Popular ABPBH 2011 ini, keputusan berkenaan membuktikan insan seni juga sensitif dan peka dengan kesedihan akibat tragedi MH370 yang dirasai seluruh warga Malaysia, malah dunia, ketika ini.
"Ia membuktikan anak seni juga prihatin dengan tragedi itu. Ada masa kita bersuka dan ada masa, kita juga bersedih dengan apa yang berlaku.
"Saya juga ingin menyeru semua pihak supaya lebih peka dengan situasi terbabit. Sebagai contoh, pihak hotel yang menerima tempahan bilik, mungkin mereka kena lebih bertolak ansur dengan pelanggan apabila tempahan itu terpaksa dibatalkan. Ia bukan disengajakan kerana kejadian ini membabitkan banyak pihak di seluruh dunia," tegasnya. ~ BH

0 ulasan:
Catat Ulasan