Siri Semarak Bangsawan 2014

Siri Semarak Bangsawan akan menampilkan lapan karya menarik yang akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai malam ini hingga November depan.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli berkata, pihaknya tidak terlepas pandang terhadap bangsawan yang perlu terus dipertahankan untuk tatapan generasi akan datang.

"Pada 2007, JKKN mengambil keputusan untuk membantu bangsawan agar tidak pupus dari pembangunan negara. Setiap tahun kami akan menampilkan sembilan persembahan bangsawan buat penonton.

"Tahun ini Siri Semarak Bangsawan tampil dengan lapan persembahan yang juga diadakan sebagai produk sempena Tahun Melawat Malaysia 2014. Kesemua mereka terpilih menerusi sebuah panel yang ditubuhkan JKKN," katanya.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan DBKL, Tuan Idzawi Raja Ismail dan artis yang terbabit dalam pementasan itu seperti Emma Akma, Yaya Ma'embong, Hairi Anak Wayang, Ramasundram dan Nizen Ayob.

Norliza berkata, pementasan hanya akan diadakan pada minggu kedua setiap bulan di mana teater Kemala Sakti Kesuma Ningrat arahan Zack Zaideen dari Persatuan Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK) akan menemui penonton di Auditorium DBKL bermula jam 8.30 malam ini hingga Ahad.

Ini diikuti Kumpulan Seri Bangsawan Universiti Sains Malaysia (USM) akan mementaskan Jula Juli Bintang Tujuh arahan Dr Abd Samat Salleh pada 11 hingga 13 April depan.

Seterusnya Kumpulan Bangsawan Seri Kedah dengan Puteri Selindungan Bulan arahan Morad Ibrahim (9 hingga 11 Mei), Persatuan Teater Malaysia dengan Bidasari arahan Rosli Rahman Adam pada 13 hingga 15 Jun.

Persatuan Bangsawan Bintang Timur pula akan mementaskan Mahsuri arahan Abd Rahman B pada 22 hingga 24 Ogos, Persatuan Alumni ASWARA dengan pementasan Badang arahan M Nasri Ayob pada 12 hingga 14 September dan DBKL akan mementaskan Hikayat Merong Mahawangsa arahan Mohd Fauzi Ahmad pada 10 hingga 12 Oktober ini.

Tirai pementasan ditutup JKKN dengan pementasan teater bangsawan Sinbad oleh Rosnan Nordin pada 7 hingga 9 November ini.

Norliza berkata, usaha pemuliharaan yang dibuat menampakkan hasil dengan adanya penambahan kumpulan bangsawan di seluruh negara.

"Dulu kita hanya ada Pak Murad dari Kumpulan Bangsawan Seri Kedah dan Seniman Negara Pak Rahman dari Persatuan Bangsawan Bintang Timur.

Dengan adanya Siri Semarak Bangsawan, kita dapat lihat banyak kumpulan lain tampil dengan pelbagai naskhah menarik seperti Lela Manja, Bakawali dan Musang Berjanggut.

"Dalam perkembangan lain, kami juga bekerjasama dengan sektor pelancongan untuk membawa pelancong asing hadir menonton. Justeru, kami akan menyediakan skrin yang akan memaparkan sari kata dalam Bahasa Inggeris," katanya.

Sejak diperkenalkan, Siri Semarak Bangsawan berjaya menarik kehadiran hampir 50,000 penonton dan 26 kumpulan sudah mementaskan 46 naskhah bangsawan dalam program itu.

Pas masuk berharga RM5 dan RM50 (premier) dikenakan untuk penonton. Hasil kutipan akan disumbangkan kepada tokohtokoh seni budaya yang sakit dan uzur. Sumbangan turut diberikan kepada anggota keluarga tokoh seni budaya yang sudah meninggal dunia bagi meringankan beban keluarga mereka.

Tahun ini sembilan penerima sumbangan dikenal pasti dan antaranya keluarga pelakon Allahyarham Maimon Mutalib, Seniman Negara Rahman B yang menghidap sakit jantung dan pelakon Sidek Husin yang menghidap ketumbuhan di pip.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top