Mengubah status hubungannya di laman sosial popular Facebook, daripada ‘single’ kepada ‘Engaged’ pada 31 Mei yang lalu, ramai yang menyangka pengacara dan pelakon kacak, Awal Ashaari sudah mengikat tali pertunangan bersama kekasihnya, Scha Al-Yahya. Apatah lagi hari lahir Scha yang jatuh pada 30 Mei, semakin membuatkan ramai yang tertanya-tanya sama ada Awal Ashaari sudah melangsungkan majlis pertunangan secara tertutup pada tarikh berkenaaan. Bertemu lelaki kelahiran Kuala Lumpur ini di majlis sidang media program realiti Mari Menari musim kedua, dia yang bertindak sebagai pengacara untuk program ini mengakui dengan sendirinya mengubah status di dalam facebook milik peribadinya daripada ‘Single’ kepada ‘Engaged’. “Ya memang saya yang ubah status itu, dan ia bukannya telah digodam ataupun di ubah oleh orang lain. Sebenarnya, saya tidak berniat untuk mengelirukan sesiapa, dan ianya hanya gurauan. “Saya dan Scha masih belum bertunang, biarpun kami memang sudah merancang untuk pergi lebih jauh dalam hubungan kami ini. Namun, apa yang tertulis di Facebook itu hanya sekadar gurauan semata-mata. “Saya sudah lama tidak membuka Facebook peribadi, jadi kebetulan semalam saya mempunyai masa terluang dan sedikit bosan, jadi saya sengaja menukar status di dalam Facebook. Kebanyakan rakan-rakan di dalam akaun Facebook peribadi saya itu terdiri daripada rakan-rakan rapat dan keluarga, jadi pada awalnya saya tidak menyangka ada mengetahui perkara ini. “Setakat ini hubungan saya dengan Scha masih berjalan seperti biasa, tidak banyak yang berubah melainkan kami semakin sibuk dengan tugas masing-masing. Memang kami ada bercerita tentang hubungan ini, tapi setakat ini masih belum ada keputusan yang sahih sama ada kami akan bertunang dahulu ataupun terus berkahwin, tapi Insya-Allah, jika ada majlisnya kami akan memberitahu pada umum, dan bukannya majlis tertutup,”cerita Awal Ashaari.
Mari Menari Kembali beraksi diatas pentas Mari Menari untuk musim yang seterusnya ini, jelas Awal, kerana minat dia sanggup menolak dua buah drama dan satu filem demi untuk mengacarakan program realiti ini. “Saya tak sangka program ini berlangsung awal, kerana pada jangkaan saya ia akan keluar pada bulan November ataupun Disember. Saya memang minat mengacara, dan kebetulan sejak dari musim pertama saya sudah mengacarakan program ini, saya mahu ia berterusan selagi mereka memerlukan saya. “Tak dinafikan saya lebih meminati bidang pengacaraan berbanding lakonan, jadi bila ada tawaran sebegini saya lebih memilihnya. Namun, ia tidak bererti saya sudah cuci tangan daripada berlakon, sekiranya ada tawaran yang bersesuaian dengan jadual, saya tetap akan terima juga. “Sekali lagi bergandingan dengan Lisa Surihani sebenarnya langsung tidak beri masalah pada saya, dari awal lagi kami mudah mencari keserasian, dan senang berurusan dengannya,”jelasnya. |
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan