Bukan lagi seorang adiwira

hi 01.1


BRANDON ROUTH. Itu satu nama yang cukup sinonim dengan adiwira tersohor bernama Superman.

Biarpun hanya muncul menerusi sebuah filem Superman iaitu Superman Returns yang mana dia tidak akan kembali menyarung kostum adiwira gagah itu untuk filem Superman terbaharu, Man Of Steel, namun Routh sesungguhnya telah berjaya meninggalkan impaknya yang tersendiri dalam menghidupkan karakter Superman.

Meninggalkan kenangan berlakon sebagai Superman kira-kira lima tahun lalu itu, pada tahun ini Routh,32, bakal muncul di layar perak menerusi karakter adaptasi komik yang sudah terjual sebanyak 56 juta hasil kreativiti pencipta komik Itali, Tiziano Sclavi iaitu Dylan Dog.

Menerusi versi filemnya yang diberi judul Dylan Dog: Dead of Night, Routh kali ini bukan memikul peranan sebagai adiwira tetapi sekadar manusia biasa yang terpaksa berhadapan dengan entiti-entiti luar biasa atau dalam istilah tepatnya, paranormal yang termasuklah puntianak dan serigala jadian.

Dylan Dog merupakan seorang detektif yang menyiasat tentang kejadian-kejadian paranormal yang mana karakternya sebagai hero agak kompleks, bersifat gelap dan ada kekurangan.

Ia nyata agak berlawanan dengan karakter adiwira Superman lakonannya sebelum ini.

Namun disebabkan Routh jelas memiliki kesemua personaliti yang dimiliki oleh Dylan Dog, terutama warna rambutnya yang hitam pekat, dia menjadi pilihan yang tepat untuk karakter itu.

"Saya mengambil masa yang agak lama untuk memahami dan mengkaji watak Dylan, tapi ia sesuatu yang bagus buat saya," katanya.

Tambah Routh: "Dylan merupakan seorang antihero. Dia tidak semestinya mahu menjadi seorang hero, namun dia pasti akan menjadi seorang daripada mereka.

"Ini kerana di sudut hati yang paling dalam, perwatakan lucunya dan adakalanya agak negatif sebenarnya membayangkan keghairahan dan semangat dirinya

"Apa yang menarik tentang Dylan adalah dua sisinya yang berbeza. Bila menghadapi tekanan atau berada dalam keadaan yang memaksa dia akan menunjukkan wajah cekal."

Tambahnya: "Namun, apabila dia dalam situasi biasa tanpa sebarang cabaran di depan mata, dia akan menjadi lebih relaks dan selesa dan adakalanya sedikit emosional."

Zombi

Memahami bagaimana filem itu nanti mampu menonjol di sebalik lambakan filem-filem dari genre yang sama, Routh menegaskan: "Apa yang lain tentang filem ini ialah isi kandungannya dan bagaimana ceritanya dipersembahkan, terutamanya hubungan antara Dylan dan rakan baiknya, Marcus.

Gandingan Routh dalam filem ini iaitu Sam Huntington diberi tanggungjawab melakonkan watak Marcus iaitu pembantu bawahan Dylan.

Namun, Marcus mati dibunuh dan bertukar menjadi zombi yang menjadi cabaran terhadap hubungannya dengan Dylan.

hi 01.2

BRANDON Routh dan Anita Briem dalam satu babak cemas filem Dylan Dog: Dead of Night.


Lakonan Huntington sebagai Marcus dan hubungannya dengan Dylan menyuntik elemen emosi kepada jalan cerita filem ini.

Hubungan tersebut bercambah impak daripada persahabatan bertahun-tahun lamanya dan selepas berpengalaman bekerjasama dalam filem Superman Returns sebelum ini, yang mana Huntington membawakan watak Jimmy Olsen.

Mengulas tentang jalinan persahabatannya dengan Routh kata Huntington: "Brandon dan saya sudah lama bersahabat dan dia menelefon saya.

"Katanya, 'Hei kawan, saya baru dapat tawaran satu watak untuk filem baharu, dan saya rasa kamu akan nampak hebat untuk watak ini dan filem itu berjudul Dead of Night.

"Saya lantas menjawab, 'Aku pun baru saja pergi uji bakat sebuah filem tiga bulan lepas tapi belum ada berita. Apa cerita?' Dia jawab, 'Kita akan bersama-sama bekerjasama dalam filem ini."

Tambahnya: "Marcus menghidupkan cerita ini. Dialah rakan setugas Dylan dan seolah-olah adiknya sendiri. Pada permulaan cerita, dia begitu beria-ia mahu menjadi rakan kongsi Dylan."

Selepas bergandingan dalam Supermas Returns, Routh sememangnya mahu bekerjasama lagi dengan Huntington, jadi dia telah melobi pengarah Dylan Dog: Dead of Night iaitu Kevin Munroe agar mengambil Huntington berlakon sebagai Marcus.

"Apabila saya baca sahaja skrip filem ini, orang pertama yang muncul di fikiran adalah Sam (Huntington). Saya yakin dia sesuai membawakan watak Marcus kerana personalitinya," beritahu Routh pula tentang Huntinton.

Menurutnya lagi: "Saya terkejut kerana penulis skrip filem ini (Joshua Oppenheimer dan Thomas Dean Donnelly) langsung tidak mengenali Sam.

"Saya terus berbincang dengan Kevin apabila mendapat tahu dia terlibat sama dalam filem ini dan saya bertanya kepadanya jika dia boleh menawarkan Sam watak tersebut.

"Kebetulan Kevin juga mempunyai pendapat serupa. Kata Kevin, 'oleh kerana kalian bersahabat, jadi saya tidak pernah bertanya bimbang kalian tidak selesa'."

Di samping dua watak penting yang serasi lakonan Routh dan Huntington itu, barisan tenaga lakonan Dylan Dog: Dead of Night diperkuatkan oleh Peter Stromare, Taye Diggs, Anita Briem dan ahli gusti terkenal, Kurt Angle.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top