Ke mana hala tuju Salma

Oleh ALIF ABU BAKAR
hiburan@kosmo.com.my



ERRA berbangga dengan kejayaan Salma.



SELEPAS lima musim Mentor diperkenalkan, majoriti peserta yang menjuarai pertandingan itu tidak menyerlah dan menyinar dalam industri.

Juara musim pertama, Pija hanya terkenal dengan singlenya, Luka sahaja sedangkan vokal yang dimiliki Pija begitu jarang ditemui dalam industri muzik tempatan. Begitu juga dengan Fiq dan Mohd. yang tenggelam timbul serta terkapai-kapai mencari tapak bagi membina keutuhan dalam industri.

Satu-satunya juara Mentor yang berjaya mengelak badi itu ialah Black yang begitu bersinar di dalam industri.

Bagaimana pula dengan nasib Salma Abdul Asis selepas dia dinobatkan juara Mentor 5 baru-baru ini? Adakah wanita berusia 21 tahun itu akan menerima tempias badi tiga juara yang tidak bernasib baik atau dapat menceduk sedikit tuah Black untuk terus menyinar dalam kancah seni?

Walaupun ibu tunggal kepada anak perempuan bernama Puteri Nurul Huda itu mendapat sokongan padu sepanjang pertandingan tersebut berlangsung, namun apakah percaturan nasibnya akan cerah selepas ini.

Mencatatkan markah keseluruhan sebanyak 85 markah pada malam itu, Salma boleh dikatakan menang bergaya apabila meninggalkan dua pesaingnya, Shiha yang mencatatkan 63 markah dan Iqa yang ketinggalan jauh dengan 56 markah.

Tidak dinafikan persembahan bertenaga Salma menyampaikan lagu Listen nyanyian asal Beyonce cukup memukau.

Begitu juga hebatnya persembahan Salma yang berduet bersama Jaclyn Victor untuk lagu-lagu Cinta dan Rindu.

Erra Fazira selaku mentor kepada pendatang baru dari Sabah itu yakin anak didiknya itu mampu pergi jauh dalam bidang seni suara namun 'kuasa' yang dimilikinya terhadap Salma telah pun berakhir selepas program tersebut melabuhkan tirai.

"Salma terikat dengan kontrak bersama TV3, jadi apa-apa perancangan selepas ini akan ditentukan oleh mereka. Saya selaku mentor telah menjalankan tugas saya sebaik mungkin tetapi itu tidak bermakna saya tidak akan lagi membimbing Salma.

"Sekiranya dia mempunyai sebarang masalah dan inginkan pertolongan, saya sentiasa terbuka untuk memberi tunjuk ajar," luah Erra jujur pada sidang akhbar selepas konsert akhir Mentor 5 tamat.

Agak janggal apabila mengetahui Shiha telahpun ditawarkan sebagai artis rakaman Monkey Bone dan Iqa pula akan terus berada dalam pengawasan mentornya, Edry di bawah bumbung KRU Records sedangkan Salma selaku juara belum menerima tawaran daripada mana-mana pihak lagi.

Adakah soal pakej menjadi ukuran buat syarikat rakaman menimbang tara wajarkah Salma diambil sebagai artis rakaman mereka walaupun jelas bakat dimilikinya bukan calang-calang atau gusar dengan kredibiliti Salma untuk terus bertapak dalam industri muzik tanah air?

Masyarakat mungkin mampu melaung-laungkan nama Salma ketika ini dan menyifatkannya sebagai penyanyi wanita baru yang bakal menggugat kedudukan penyanyi-penyanyi wanita sedia ada namun harus diingat kuasa hakikat terletak di tangan mereka yang mencorakkan Salma dan bertanggungjawab mencari dahan buat Salma berpaut agar mampu bertahan lama dalam industri.

"Pengalaman menyanyi di majlis-majlis orang kahwin sebelum ini banyak mendidik saya agar bersabar jika hendak berjaya dan hari ini saya telah buktikan yang saya boleh mencapai cita-cita saya untuk bergelar seorang penyanyi," tutur Salma penuh optimis.

Sekiranya Salma nekad mahu berada pada kedudukan tertinggi dalam industri, dia perlu bekerja keras dan mempunyai sekumpulan individu yang berupaya membawa namanya sebaris dengan nama-nama yang ada hari ini.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top