Pemilihan Didie Alias,38, sebagai salah seorang pengacara Anugerah Planet Muzik 2011 (APM 2011) pada 15 Julai hadapan memang agak mengejutkan kerana pelakon yang sinonim dengan watak komedi ini tidak pernah menggalas tanggungjawab sebesar itu sebelum ini.  Bahkan, timbul juga persoalan sama ada ibu kepada lima orang anak itu mampu melaksanakan tugas itu dengan baik.

 

Menceritakan detik-detik awal ditawarkan tugas itu, Didie memberitahu dia sendiri tidak menyangka pihak penganjur, Beyond Events akan memilihnya sebagai pengacara.

 

"Saya dapat tawaran ini kira-kira sebulan lalu. Ketika mula-mula Amin (Pengarah Urusan Beyond Events) menghubungi melalui telefon, saya ingat dia tersalah nombor.  Sebab apabila dia cakap untuk APM 2011, saya terus terbayangkan wajah Pak Nik (Aznil Hj. Nawawi). Tetapi setelah diyakinkan oleh Amin, barulah saya percaya tawaran itu memang untuk saya.

 

Setelah nyatakan persetujuan, hampir seminggu jugalah saya berada dalam keadaan khayal. Rasa macam tidak percaya boleh dapat tugas itu. Maklumlah, APM bukan calang-calang pentas.  Saya pun tidak pernah menggalas tugas seberat itu.

 

Walaupun ada kebimbangan, saya tidak mampu menolak tawaran tersebut kerana percaya peluang ini hanya datang sekali dalam seumur hidup.  Apa yang boleh saya katakan ialah, saya akan cuba lakukan yang terbaik pada malam itu nanti," ujar Didie yang ditemui ketika sidang media kelmarin.

 

Ditanya tentang persediaan yang telah dilakukan, Didie menjelaskan buat masa ini dia masih belum buat sebarang persediaan kerana masih belum berkesempatan berbincang bersama pihak penganjur.

 

"Kami masih belum berbincang lagi tentang tugas saya ini. Tetapi mereka telah maklumkan yang mereka ingin saya menjadi diri sendiri ketika berada di atas pentas. Saya sendiri merancang untuk mengacara dengan santai agar penonton cerita dan terhibur.  Tentang penampilan , saya pun tidak tahu lagi bagaimana. Ikut apa kata penganjur nanti," tambah Didie lagi.

 

Dalam masa yang sama, pelakon ini juga tidak menolak kemungkinan akan mendapatkan tip daripada rakan penyampai radionya, Aznil Hj. Nawawi kerana pengacara Akademi Fantasia 9 itu berpengalaman beberapa tahun mengendalikan APM.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan , Beyond Events, Amin Hussen menjelaskan pihaknya yakin Didie mampu melaksanakan tugas mengacara itu dengan baik.

 

"Mengenali Didie, saya tahu dia ada potensi. Memang dia tidak pernah mendapat peluang dalam acara sebesar APM, tetapi saya yakin dia boleh lakukan. Didie adalah pilihan pertama saya dan saya mahu dia jadi diri sendiri ketika berada di pentas nanti. APM perlukan sesuatu yang baru untuk dipersembahkan kepada peminat," ulas Amin ringkas.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top