Force 136 akhirnya meninggalkan pentas Showdown 2011 malam tadi apabila kalah di tangan Blazin Squad dalam pusingan Battle. Jika anda masih ingat, kedua-dua kru ini pernah bertemu di pusingan Battle ketika tema Malaysian Hip Hop.
Pada waktu itu, kedua-dua kru ini telah mencetuskan kontroversi apabila menimbulkan kekecohan ketika bertarung di pusingan Battle. Mujur pada malam tadi, kedua-dua kru ini dapat mengawal perasaan amarah mereka dan beraksi dengan penuh diplomatik.
Sejurus selesai persembahan, GUA sempat berjumpa dengan kedua-dua kru terbabit bagi mendapatkan gambaran tentang punca pergaduhan mereka. Baik Force 136 mahupun Blazin Squad, kedua-dua memberitahu semuanya berlaku kerana salah faham.
"Waktu battle, karakter kami memang sebegitu. Dah nama pun Battle, bermaksud perang, tempur, jadi bila berperang memanglah karakter macam itu. Atas pentas saja kami begitu, namun bila di bawah, kami dah macam adik beradik dan famili," ujar kru Force 136 sambil dipersetujui oleh anggota Blazin Squad.
"Salah faham sikit saja, sekarang kami dah 'cool'. B-boy memang macam tu. Dalam mana-mana pertandingan di Malaysia dan peringkat antarabangsa pun memang macam itu. Gaduh-gaduh tu dah biasa. Namun, bila dalam pertandingan bergaduh, tapi kat luar, kita akan bertegur sapa balik."
Apabila ditanya bagaimana pergaduhan ini boleh tercetus, anggota Force 136 memberitahu, "Masa Battle dengan Blazin Squad, kami tak mulakan pergaduhan itu. Tapi orang di luar sana hanya memandang kesalahan kami. Orang tak nampak yang salah seorang kru kami kena tarik baju dan kena tolak."
Ketika disoal balik mengenai insiden tolak-menolak tersebut, Mohd Anwar yang mewakili anggota Blazin Squad menjawab, "Saya cuba tenangkan keadaan bukan nak tolak. Masa itu giliran Blazin Squad untuk beraksi, namun Force 136 tetap nak masuk pusingan kami.
"Kami minta respek, begitu juga dengan pengacara Hafiz yang turut berbuat demikian. Bila kami buat macam itu, orang ingat macam kami nak lawan. Bagi saya, cara mereka itu tak respek pusingan kami. Malah, salah seorang kru kami hampir terkena 'flip' yang dilakukan mereka."
Ekoran kejadian tersebut, Force 136 telah dilemparkan dengan pelbagai tohmahan antaranya digelar samseng jalanan, gangsters dan poyo. Malah, ada juga pihak telah membuka akaun "Anti Force 136" di laman sosial, Facebook.
"Kejadian pergaduhan itu memburukkan imej kami. Orang cakap kami samseng jalanan. Bagi kami, biarlah apa saja orang nak cakap kerana itu semua cara mereka nak lumpuhkan semangat kami.
"Tentang isu poyo, gangster atau sebagainya, itu memang sikap seorang B-boy. Tapi, bila di luar, kami sebenarnya seorang yang 'friendly'," ujar mereka sambil mengakui tahu siapa dalang Facebook "Anti Force 136" itu.
"Biasalah orang tak suka. Dalam Battle tak dapat kalahkan kita, jadi itu cara lain mereka nak jatuhkan kita. Apa yang kami perasan, sejak kalahkan Wakaka, nama kami jadi buruk. Kami tidak menuduh, tapi 99.9% kami rasa orang-orang dalam Showdown juga yang buat."
0 ulasan:
Catat Ulasan