Pengakhiran empat Imam Muda

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ
ROOS ANNUAR
gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Sehingga minggu ketujuh, akhirnya empat imam muda terpaksa menamatkan pengajian setelah berhempas pulas melakukan yang terbaik untuk terus kekal dalam rancangan tersebut.

Dua imam muda yang menamatkan perjalanan pada minggu ketujuh, Iman Muda Wan Najdi Wan Mohd. Noh dan Mujahid Suhaimi, terpaksa akur dengan keputusan muktamad mudir dan para mursyid.

Diselubungi rasa sedih, Wan Najdi mengakui, beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan sudah menjangkakan akan tersingkir berikutan kegagalannya mendapatkan markah terbaik dalam ujian teori.

"Segala ilmu yang saya pelajari ketika di program Imam Muda ini akan digunakan sebaik-baiknya dalam mengharungi cabaran di luar sana nanti," ujarnya.

Bagi seorang lagi paserta yang terpaksa menamatkan perjalanan, Mujahid, menganggap keputusan yang diterima pada minggu ketujuh tersebut adalah kesilapan dirinya sendiri kerana tidak bersedia sepenuhnya.

"Timbul rasa kesal kerana tidak memberi tumpuan sepenuhnya pada tugasan yang diberikan kepada saya. Namun saya reda dengan keputusan pada malam ini," katanya sambil cuba menyembunyikan rasa sedih.

Sementara itu, pada minggu keenam, Imam Muda Ali dan juga Fadli telah menamatkan perjalanan.

Bagi mereka berdua, perjalanan mereka tidak berakhir di situ, malah akan sentiasa mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian.

Bukan jalan mati

Mengulas berkenaan penyingkiran peserta, Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, walaupun ada Imam Muda yang tersingkir namun mereka tetap mengikuti aktiviti dan kelas yang disediakan sepanjang program tersebut dijalankan.

"Pendekatan ini diambil kerana setiap peserta Imam Muda akan diberi pentauliahan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) setelah tamat pengajian dalam Imam Muda ini.

"Apa yang kita ingin lahirkan adalah imam yang terbaik di rantau Asia. Mereka juga akan dilihat sebagai contoh terbaik kepada remaja di luar sana," ujarnya penuh bersemangat.

Di samping itu, Izelan berharap enam lagi Imam Muda yang masih meneruskan perjalanan dapat mempersiapkan diri dengan lebih mantap memandangkan tugasan pada minggu berikutnya sudah pasti lebih mencabar.

Pertemuan menginsafkan

Menunggu saat-saat akhir sebelum ke tali gantung adalah satu penantian yang amat menyeksakan bagi seorang banduan. Ketika itu hanya Tuhan yang tahu betapa pedih, pilu dan takut menyelubungi perasaannya.

Kedatangan Imam Muda di Penjara Alor Gajah, Melaka baru-baru ini untuk bertemu dengan banduan berkenaan sebagai tugasan praktikal minggu ketujuh sedikit sebanyak memberi pengalaman bermakna kepada peserta program Imam Muda.

Bagi Imam Muda Hassan Adli Yahaya, tugasan pada minggu tersebut sangat mencabar dan pengalaman yang amat berharga dalam hidupnya.

Menurut Hassan, untuk menyampaikan pesanan kepada banduan di bawah kendaliannya, beliau perlu bersabar kerana nasihatnya ditolak mentah-mentah oleh banduan berkenaan.

"Saya menasihatkannya agar bersabar dan banyakkan mengingati Allah. Pada mulanya dia melawan namun ketika di akhir perbualan kami, saya lihat dia dapat menerima nasihat saya.

"Banduan tersebut enggan memberitahu kesalahannya namun saya akan sentiasa mendoakan agar hatinya terbuka untuk bertaubat," katanya mengakhiri perbualan.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top