Biarpun majlis resepsi masih jauh di hadapan, tetapi pasangan yang baru mengikat tali pertunangan pada 1 Mei lalu ini sudah punya konsep perkahwinan yang diinginkan. Menurut Shera dan Zahiril, mereka sepakat memilih tema perkahwinan dalam taman untuk majlis resepsi yang akan diadakan pada 17 Disember hadapan. Bagaimanapun, pasangan ini mengakui masih belum membuat sebarang persiapan lain kerana merasakan masih terlalu awal.

 

"Untuk majlis resepsi,  kami pilih tema perkahwinan dalam taman sebab memang dari dulu lagi saya idamkan sebuah perkahwinan sebegini.  Tetapi  tidak tahu lagi hendak buat di mana sebab kalau boleh kami tidak mahu adakan di hotel. Rasanya lokasi luar lebih sesuai untuk tema ini. Lagipun, kami mahukan sebuah persandingan yang tidak terlalu protokol. Kami mahu ia berjalan dalam suasana santai dengan dihadiri oleh saudara mara dan teman-teman rapat. 

 

Ada juga rakan yang cadangkan supaya kami buat di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), tetapi kami rasa kurang sesuai juga sebab kami hendak adakan majlis di sebelah malam. Tengoklah macamana nanti," ujar Shera yang ditemui baru-baru ini.

 

Ditanya tentang warna pakaian pula, Shera memberitahu dia dan Zahiril masih tercari-cari warna yang sesuai untuk digayakan pada majlis resepsi itu nanti. Namun, untuk majlis pernikahan pada 20 November nanti, mereka akan memakai busana berona putih perak rekaan Hatta Dolmat.

 

"Untuk majlis pernikahan dan resepsi, kami masih menggunakan khidmat Hatta Dolmat untuk mereka pakaian kami. Untuk majlis nikah di Ipoh, Perak, saya dan Zahiril akan memakai persalinan putih perak. Manakala pihak keluarga akan pakai baju berwarna merah hati dan hijau epal," tambah Shira lagi.

 

Sementara itu, Zahiril juga sempat mencelah dengan memaklumkan bahawa majlis resepsi hanya akan diadakan sekali di Kuala Lumpur.

 

"Selepas nikah di Ipoh, kami akan adakan resepsi di Kuala Lumpur. Tidak ada resepsi secara berasingan. Sebaliknya, kami buat majlis resepsi sekali sahaja untuk kedua-dua belah pihak. Rasanya lebih mudah gabungkan sekali," ujar Zahiril pula.

 

Pasangan sedang meningkat naik ini mengakui yang mereka tidak gusar tentang penerimaan peminat selepas bergelar suami isteri nanti. Mereka yakin, peminat sekarang lebih berfikiran terbuka kerana menilai seseorang pelakon berdasarkan hasil kerja, bukan kerana paras rupa atau status.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top