GUA berkunjung ke Sri Pentas 2 untuk meninjau rakaman “Dato’ Siti Nurhaliza bersama Idola Kecil 3″. Rancangan ini bakal ke udara melalui TV9 ketika perayaan Aidilfitri pada bulan Ogos / September nanti.

 

Dato’ Siti akan menyampaikan 10 buah lagu dan berduet dengan bakat-bakat dari program Idola Kecil 3. Mereka diiringi oleh pemuzik secara “live” di bawah kelolaan Lok U. Susunan muzik yang menarik, ditambah dengan elemen-elemen berbeza, antaranya K-Pop dan rock.

 

Dato’ Siti sangat teruja dengan jemputan yang diterima dari TV9. Ini merupakan pengalaman pertama seumpamanya untuk Dato’ Siti kerana program raya sebelum ini seringnya bersama rakan-rakan artis yang dewasa. Tambahan pula, Dato’ Siti memang mengetahui bakat adik-adik ini kerana telah dijemput sebagai salah seorang juri ketika pertandingan Idola Kecil 3. Dari situ lagi Dato’ Siti telah pun mengagumi vokal adik-adik ini dan beliau tidak ada mana-mana “favourite”.

 

Dari segi perkembangan lain, Dato’ Siti telah pun mengumumkan mengenai album Inggeris sulungnya pada bulan April lepas. Buat masa ini, pelancaran dijangka akan dibuat dalam pertengahan bulan Jun ataupun awal Julai. Pemasaran album ini akan melibatkan Malaysia dan juga Indonesia. Dato’ Siti yang akan menyertai O-Pick dalam konsert kerohanian di beberapa bandar di Indonesia mungkin akan mendendangkan lagu Inggeris terbaru juga. Menurut Dato Siti, “Buat masa ini belum ada ketetapan mengenai lagu-lagu yang akan dipersembahkan di sana. Mungkin Siti akan menyanyikan lagu Inggeris Siti di Jakarta tapi itu pun belum pasti lagi.”

 

Untuk aktiviti separuh kedua 2011, Dato’ Siti belum mempunyai sebarang perancangan selepas Aidilfitri nanti. Sejak berkahwin, Dato’ Siti hanya merancang 2 bulan ke depan bukan 7 bulan seperti ketika masih ‘single’ dahulu. Apabila disentuh mengenai konsert di Malaysia, memang Dato’ Siti teringin. Tetapi masih ada beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum komitmen dibuat, termasuklah bab penajaan.

 

Berkenaan dengan berita yang timbul baru-baru ini mengenai Dato’ Siti membeli sebuah condomimium mewah berdekatan dengan KLCC, Dato’ Siti dengan ringkas menidakkan dakwaan itu.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top