MENERBITKAN rancangan hiburan menampilkan pencarian bakat nyanyian bagi mereka berusia 45 tahun mungkin menimbulkan pandangan skeptikal. Paling nyata selain hadiah disediakan, ke mana arah tuju mereka. Untuk mencipta nama seperti Datuk Siti Nurhaliza pastinya sudah terlambat. Mereka tidak akan ke mana dan itu adalah pasti.
Bagaimanapun menyaksikan peserta hadir ke sesi uji bakat pemilihan peserta bagi zon utara rancangan Kilauan Emas terbitan Astro dengan kerjasama Polident dan bakal disiarkan menerusi saluran Astro Prima bermula 24 Jun nanti, segala pandangan skeptikal hilang.
Aksi setiap daripada mereka di pentas cukup menyentuh perasaan. Nyanyian mereka bersahaja, di wajah terpancar keikhlasan untuk menghiburkan tetamu yang hadir. Paling penting sebahagian besar daripada mereka mempunyai mutu suara sangat baik.
Dalam hati tertanya ke mana perginya mereka di zaman muda. Mengapa sekarang baru peserta ini mahu muncul dan menampilkan bakat. Persembahan ditampilkan juga cukup meyakinkan. Malah kebanyakan penyanyi yang sudah mempunyai album seharusnya belajar daripada peserta ini bagaimana hendak menjadi penghibur yang baik.
Peluang adalah jawapan paling baik bagi menjawab mengapa peserta berpengalaman ini tidak mengetengahkan bakat di zaman muda. Sewaktu muda mereka tidak mempunyai banyak ruang untuk menampilkan bakat.
Stesen televisyen pun hanya ada tiga, tidak seperti sekarang terlalu banyak rancangan realiti tv membuatkan anak muda generasi x dan y beruntung. Sampaikan ada yang 'bersuara itik' dan 'kaki bangku' di pentas juga boleh bergelar penyanyi popular.
Uji bakat di zon utara yang diadakan di pusat beli-belah Bukit Jambul, Pulau Pinang pada 28 dan 29 Mei lalu memperlihatkan hampir 137 peserta mencuba nasib dan daripada jumlah itu hanya 10 orang terpilih ke peringkat seterusnya.
Mereka yang layak adalah Megat Amran Salleh berusia 45 tahun, Dismunar Johar seorang nenek berusia 50 tahun dan mempunyai 10 orang anak dan tiga cucu.
Bekas pemain keyboard kumpulan White Steel cukup popular di awal 80-an, Azmi Sulaiman; penyanyi latar Anita Sarawak berusia 56 tahun, Masitah Embi dan Jamil Abdul Wahab seorang pemandu lori.
Peserta lain yang layak ke peringkat seterusnya, Salina Mohd Saidi, Rohana Ahmad seorang peniaga nasi lemak yang datang jauh dari Senawang, Negeri Sembilan untuk mencuba nasib di utara. Saloma Azlia; Alias Ariffin yang terbang dari Sarawak bagi mencuba nasib dan seorang ibu tunggal kepada empat cahaya mata, Sharifah Salwa.
Bertindak selaku juri tetap bagi memilih peserta bagi setiap Zon, penyanyi Nora menyifatkan setiap peserta yang menyertai pertandingan diadakan adalah cukup baik. Malah tanpa berselindung, pelantun lagu Naluri dan Menyemai Cinta Bersamamu berkata, ada peserta di zon Pantai Timur membuatkan dia menitis air mata kerana bakat yang ditonjolkan cukup mengagumkan.
"Apabila menyanyi kita boleh nampak sebahagian besar daripada mereka ini menyanyi dengan begitu ikhlas. Malah ada antara mereka ini menyatakan menyertai Kilauan Emas bukan untuk menang apatah lagi mengejar populariti.
"Dinilai dari sudut usia mereka tahu tidak akan ke mana, kehadiran mereka semata-mata mahu berseronok di samping berkongsi bakat.
"Bagaimanapun, apabila melihat mereka menyanyi dan membuat persembahan nampak peserta ini bersungguh-sungguh. Bukan saja dari sudut nyanyian tetapi penampilan dan corak persembahan. Jangan terkejut ada antara mereka yang berjaya ke peringkat seterusnya sudah berusia 60 tahun tetapi masih lagi cantik walaupun sudah beranak 10. Saya mengagumi mereka," katanya.
Menyentuh pengalamannya dalam mengadili peserta bertanding di empat lokasi, bermula dari Johor bagi zon selatan, Kuantan; Pahang untuk Pantai Timur, Shah Alam; Selangor bagi zon tengah dan akhir sekali Pulau Pinang bagi zon utara, jelas Nora dia bersama seorang lagi juri tetap, Sohaimi Mior Hassan berhadapan dengan masalah kerana kebanyakan daripada mereka ini mempunyai kekuatan sama rata.
"Bayangkan seperti hari ini, markah diperoleh setiap peserta dari zon utara tidak banyak berbeza. Malah dua peserta yang layak ke peringkat seterusnya mempunyai kelebihan tipis dengan memperoleh markah lebih satu atau dua berbanding peserta lain," katanya.
Sementara itu Sohaimi berkata, walaupun hanya lapan peserta akan dipilih ke peringkat suku akhir yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, dia memberikan cadangan agar pihak produksi memberi ruang kepada juri tetap memilih dua lagi peserta dan penilaian dibuat membabitkan semua peserta di setiap zon.
"Mereka juga hebat. Bayangkan rancangan realiti membabitkan anak muda diberikan tempoh seminggu untuk menghafal lagu, tetapi tidak Kilauan Emas, mereka yang berjaya ke peringkat 10 terbaik diberikan masa tidak sampai sehari untuk menyanyikan lagu diberikan. Di Shah Alam, mereka hanya punya tujuh jam.
"Ada peserta ini sewaktu saringan sangat bagus tetapi apabila tiba 10 peserta terbaik mereka membuat kesilapan. Itupun tidaklah teruk sangat dan saya rasa dengan adanya dua tempat bonus itu penilaian kembali boleh dibuat," katanya.
Rancangan Kilauan Emas dikendalikan pengacara popular Raja Azura akan bermula dengan paparan sesi uji bakat di empat lokasi sebanyak empat episod bermula 24 Jun ini dan diikuti Pentas Kilauan Emas di mana peserta yang berjaya akan membuat persembahan konsert.
Pada 22 Julai, pertandingan peringkat separuh akhir akan bermula dan pertandingan akhir akan disiarkan pada 29 Julai ini di Astro Prima pada jam 9 malam.
0 ulasan:
Catat Ulasan