Kisah pertelagahan tiga pelakon baru, Neelofa, Anzalna dan Tasha Shilla mengejutkan industri hiburan. Ia rentetan Anzalna menyelar sikap buruk Neelofa. Anzalna sebelum ini mendakwa Neelofa menghina keluarganya dengan pelbagai perkataan kurang elok menerusi laman sosial Facebook milik anggota keluarganya, selain mewujudkan satu `Kami Benci Anzalna', diikuti menerima ugutan sekiranya beliau memenangi pertandingan Dewi Remaja 2010/2011.

Peristiwa itu sudah lama berlalu, namun selepas membaca pendedahan Tasha yang juga Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang menganggap Neelofa busuk hati kerana mempertikaikan kemenangannya dalam ABPBH 2011, Anzalna terpanggil untuk menceritakan pengalaman yang berlaku pada dirinya. Akibat malu, Neelofa mengadakan sidang media dan memberikan tempoh tujuh hari berkuat kuasa 14 Jun lalu kepada Anzalna untuk tampil dengan penjelasan dan bukti terhadap tuduhan yang dilemparkan. Episod hitam yang berlaku antara Neelofa, Anzalna dan Tasha mencetuskan polemik baru dalam industri hiburan. Bagaimanapun, isu artis bertelagah sesama sendiri sehingga diheret ke mahkamah bukan isu baru. B*POP mengimbas semula beberapa kes yang membabitkan isu pergaduhan artis.

Datuk Sharifah Aini - Datuk Siti Nurhaliza

1. Krisis peribadi antara dua diva negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar atau kak Pah dan Datuk Siti Nurhaliza Taruddin pernah menimbulkan kegemparan dalam industri hiburan. Pergeseran memaksa mereka turun naik mahkamah kerana kes fitnah menerusi emel layang. Pada Ogos 2004, Kak Pah didakwa menyebarkan emel memburuk-burukkan Siti. Kak Pah didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana dituduh menyebarkan fitnah.

Bagaimanapun, kes itu digugurkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 12 April 2005 selepas didapati tiada kes atau bukti boleh mengaitkannya. Nama Siti timbul berikutan emel yang dikatakan ditulis dan dihantar mereka menggelarkan diri Asmah & The Gang. Polis menerima beberapa laporan dibuat beberapa individu, termasuk artis dan wartawan hiburan tempatan di Balai Polis Pantai, Sungai Besi, Damansara, Salak Selatan dan Brickfields berhubung penyebaran emel. Seorang pensyarah lelaki berusia 37 tahun ditahan polis Pulau Pinang pada 26 September 2004 untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, tanggal 18 Ogos 2010 tercipta sejarah apabila dua penghibur terkenal itu menamatkan krisis peribadi selepas berlarutan hampir enam tahun. Mereka dipertemukan dalam sesi fotografi khas bersama Berita Harian di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 8 Ramadan 1431H.

Ketika sesi fotografi berkenaan, Siti secara spontan meletakkan kepalanya atas riba Kak Pah. Ketika itu, air mata Kak Pah berjuraian, manakala Siti turut menangis tersedu-sedan melihat Kak Pah.

2. Farawahida - Julfekar

Selepas hampir empat bulan menghilangkan diri, buat kali pertama, penyanyi Farawahida Razali meluahkan isi hati, sekali gus membongkar rahsia selama lima tahun menjadi artis naungan komposer terkenal yang juga penyanyi lagu puisi, Julfekar Ahmad Shah dalam laporan B*POP pada 5 Julai 2009. Dia mendakwa hidupnya bagai dihumban dalam neraka.

Farawahida dan keluarganya mendakwa diperlakukan tidak ubah seperti sampah, malah lebih teruk, penyanyi ini mendakwa sering didera dari segi mental dan emosi. Dia juga mendakwa dikongkong dan dikawal ketat hingga membuatkannya sering tertekan dan menderita.

Bagaimanapun, selepas hampir empat bulan menyembunyikan diri, Farawahida terpukul dengan dakwaan fitnah yang dijaja Julfekar selepas dia melarikan diri selepas Anugerah Juara Lagu ke-23 pada Februari 2009. Persengketaan mereka semakin serius apabila Farawahida membuat empat laporan polis dan terakhir pada 1 Julai 2009, mendakwa Julfekar mengugut mahu mengedar gambar dan video lucahnya. Julfekar ditahan lapan jam dan polis merampas telefon bimbitnya berhubung dakwaan itu.

Bagaimanapun, Julfekar pada 8 Ogos 2009 memfailkan saman langgar kontrak terhadap Farawahida. Dalam tuntutan sebanyak RM436,700 dan dalam tuntutannya, Farawahida tidak boleh sebarang urusan sendiri dengan mana- man berkaitan acara, persembahan atau penampilan tanpa melalui pengurusannya. Sekian lama bertikam lidah, sengketa antara Julfekar dan Farawahid menemui jalan penghujung apabila kes saman selesai. Farawahida bersetuju memohon maaf secara terbuka kepada Julfekar di depan hakim Datuk Nor Bee Ariffin di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 September 2011.

3. Chef Wan - Adlin Aman Ramlie

3. Gara-Gara tidak berpuashati dengan kenyataan Datuk Redzu awan Ismail atau Chef Wan sebagai pengkritik tetap Maharaja Lawak Mega di laman Facebook, Adlin Aman Ramlie yang tersingkir pada persaingan minggu kelapan melancarkan perang siber mempertahankan dirinya.

Perang dingin dua personaliti itu bermula apabila Adlin meluahkan perasaan marah kepada Chef Wan yang membuat komentar panjang di laman Facebook yang dianggapnya sebagai tidak wajar kerana dilakukan di luar gelanggang pertandingan itu. Anak pasangan Allahyarham AR Tompel dan Ruminah Sidek itu bersuara untuk memperbetulkan persepsi negatif umum terhadapnya. Ekoran persembahannya yang kurang menjadi pada minggu kelapan, Adlin menerima kritikan pedas Chef Wan yang melihat jenakanya seperti mempersenda arwah bapanya, selain tidak peka dengan isu sensitif. Adlin menganggap Chef Wan tidak profesional.

Chef Wan menegaskan dia tidak berminat melayan sifat emosional Adlin itu. Apa yang dilakukannya itu adalah atas dasar kerja, bukan serangan peribadi ke atas bekas juri program Akademi Fantasia itu.

Lisdawati - Rita Rudaini

4. Pergaduhan antara dua pelakon, Lisdawati dan Rita Rudaini dipercayai berebut teman lelaki, Fauzi Nawawi yang kini suami Lisdawati. Pergaduhan itu dilaporkan berlaku di lokasi penggambaran drama Kau Yang Ku Sayang arahan Rashid Sibir pada 2006. Kejadian itu tercetus apabila dua pelakon itu sedang menjayakan satu babak di kolam renang sebuah hotel di Pulau Pinang pada 15 Ogos 2006. Mereka menjayakan babak pergaduhan episod ke 19 drama bersiri 26 episod itu.

Lisdawati mendakwa Rita sengaja menampar pipinya sehingga mata kiri sakit dan lebam sedangkan mereka hanya menjayakan babak dalam lakonan. Ketika babak bergaduh dalam kolam renang, Rita menarik rambut dan menghumbankan kepalanya ke dalam air hingga tengkuknya bengkak dan sakit. Adegan sepatutnya berakhir ketika jatuh ke kolam bersambung dengan Rita menarik rambutnya sehingga dia tenggelam ke dalam air.

Dia membuat laporan di pondok polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mendapat rawatan di HKL sekembalinya ke ibu kota keesokan harinya. Lisdawati berasakan dirinya teraniaya kerana apa yang berlaku dalam adegan pergaduhan itu tidak tertulis dalam skrip, sekali gus mendakwa Rita sengaja mencederakannya kerana tidak berpuas hati dengannya. Rita pula mendakwa tindakannya hanya sebahagian dalam lakonan. Dia mendakwa Lisdawati bertindak kasar dengan menarik bajunya terlebih dulu. Mereka berdua menjalani latihan untuk memastikan babak pergaduhan itu hidup, bagaimanapun keadaan berubah apabila Lisdawati bertindak kasar menyebabkannya terpaksa mempertahankan diri daripada dicederakan.

Bagaimanapun, polis menutup kes pergaduhan itu selepas Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menutup kes itu pada Disember 2006. Hasil siasatan mendapati Rita berlakon mengikut skrip ketika insiden berkenaan berlaku.

Fasha - Nora Danish

5. Sejak 2008 lagi persengketaan antara Nora Danish dan Fasha Sandha sudah panas membara. Ia rentetan dakwaan Fasha sebagai perampas dan orang ketiga yang menjadi punca keretakan rumah tangga Nora bersama bekas suaminya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli. Ketika itu, Nora hamil anak pertama, Putera Rayqal Rizal Ashram.


Episod pertelingkahan dua pelakon popular bermula apabila Nora dikatakan menepis tangan Fasha ketika menghadiri majlis tahlil arwah bapa pengarah filem terkenal, Erma Fatima pada Mac 2008. Sejurus habis berpantang, Rizal dan Nora bercerai pada 12 Ogos 2008 apabila Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengesahkan perceraian mereka dengan talak dua. Rizal yang juga anak bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib melafazkan cerai dua kali iaitu pada Februari dan Jun.

Kontroversi Nora, Rizal dan Fasha menghangatkan dada akhbar apabila wartawan Melodi TV3 menerjah Rizal dan Fasha di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyambut kepulangan pelakon itu yang dikatakan bercuti di Thailand pada 29 Januari 2009. Melodi berjaya merakamkan kelibat Fasha dan Rizal sewaktu melewati balai ketibaan KLIA, sekalipun berjalan berasingan.

Keadaan juga kecoh apabila Nora dikatakan meninggalkan lokasi drama bersiri, Spa Qistina kerana kecewa sikap produksi, Global Station Sdn Bhd yang tidak menepati janji apabila cuba mempertemukan dirinya dengan Fasha ketika penggambaran. Disebabkan itu, Nora nekad menarik diri dari drama terbabit dan memulangkan kembali cek kepada penerbit drama itu, Datin Zaiton Muhd Jiwa.

Nama Fasha dan Nora sekali lagi menjadi bahan bualan hangat di laman web dan forum apabila mereka saling membidas menggunakan laman sosial Twitter. Segala-galanya bermula apabila Nora dikatakan menghantar mesej perkataan `boo boo boo' menggunakan Twitter selepas Fasha di `boo' penonton ketika Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009.

6. Safura - Ifa Raziah

Penyanyi Safura Yaacob hilang sabar dan memfailkan saman terhadap penyanyi dangdut, Ifa Raziah kerana memfitnahnya termasuk menuduh menggunakan bomoh untuk menjatuhkannya. Mengikut pernyataan tuntutan, Safura menuntut ganti rugi RM500,000 kerana mendakwa Ifa secara salah dan niat jahat membenarkan wartawan menulis, mencetak dan menyiarkan kenyataan mengenainya di dalam majalah Media Hiburan edisi 10-16 Oktober 1998 dan edisi 31-06 November 1998.

Safura mendakwa Ifa, seorang penyanyi dan pelakon mengadakan temuramah dengan wartawan majalah Media Hiburan dan memberitahu bahawa dia baru sembuh daripada penyakit ganjil serta penyakit itu disebabkan seorang rakan artis. Beliau mendakwa pada akhir Oktober 1998, Ifa sekali lagi mengadakan temuramah bersama wartawan majalah berkenaan dan memberitahu bahawa Safura menyebabkan penyakit yang dialaminya itu melalui bomoh.

7. Lisdawati - Nadia Mustafar

Akibat dikatakan berhutang RM15,000, Lisdawati memfailkan saman terhadap pelakon, Nadia Mustafar pada 21 April 2010 kerana mendakwa mengeluarkan kenyataan memfitnahnya. Berdasarkan penyataan tuntutan, Lisdawati mendakwa Nadia dengan niat jahat memberikan wawancara mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan.

Wawancara itu didakwa berlaku sekitar Januari 2005 dan Lisdawati mendakwa, majalah itu menyiarkan pada keluaran mereka bertarikh 8 hingga 14 Januari 2005. Lisdawati memfailkan saman menuntut RM250,000 mendakwa Nadia dengan niat jahat memberikan wawancara mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah.

8. Remy Ishak - Ummi Nazeera

Pertengkaran pelakon drama Nur Kasih, Remy Ishak dengan teman wanitanya, Ummi Nazeera sehingga memaksa laporan polis dibuat pada Disember 2009. Remy mendakwa tidak pernah mengasari Ummi sehingga mendatangkan kecederaan, sebaliknya hanya bertindak mempertahankan diri daripada serangan bertubi-tubi secara agresif daripada Ummi yang menyepak, menendang dan menumbuk dirinya.

Remy mendakwa Ummi jadi begitu kerana fikirannya ketika itu seperti dipengaruhi sesuatu dan bau nafas Ummi juga tidak seperti kelazimannya. Ummi mendedahkan kebenaran apa yang sebenarnya berlaku antaranya dan Remy pada 4 Disember 2009 kira-kira jam 12.25 tengah malam di lobi kondominiumnya di Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur selepas sekian lama mendiamkan diri.

Ummi mengakui memukul Remy pada malam berkenaan, bagaimanapun dia juga mendakwa Remy menumbuknya di muka sebelah kiri sehingga menyebabkan terjatuh ke lantai, selain mendapat lebam dan sakit di pipi dan mata. Ummi mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor. Apa yang diceritakan Ummi sama dengan laporan polis pada 5 Disember 2009 kira-kira jam 2 pagi.

Tidak lama kemudian, media melaporkan kes Remy dipukul sekumpulan tujuh lelaki di koridor bilik persalinan Istana Budaya, Kuala Lumpur Sabtu, 5 Disember 2009. Dia dikatakan dibelasah sekumpulan samseng selepas mendatangkan kecederaan kepada Ummi. Susulan kejadian itu, Remy yang mengalami bengkak di muka dan kaki membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

9. Fahrin Ahmad - Linda Onn

Gosip cinta Fahrin Ahmad dan Linda Onn diperkatakan sejak awal 2005, namun Linda kerap mengklasifikasikan hubungan mereka sebagai teman tapi mesra. Namun, kedua-duanya dikatakan pernah ke Makkah menunaikan ibadat umrah bersama. Awal September 2007, desas-desus mendakwa Fahrin dan Linda sudah mengikat tali pertunangan secara diam-diam, namun mereka menafikan perkara itu. Fahrin dan Linda pernah bergelar pengacara bersama program realiti, Sehati Berdansa pada musim pertama dan kedua.

Pun begitu, memasuki musim kedua program berkenaan sekitar Oktober 2008, hubungan Fahrin dan Linda dikatakan melalui fasa perang dingin sehingga gelaran teman tapi mesra tidak lagi relevan untuk mereka. Selepas hubungan teman tapi mesra putus di tengah jalan lebih setahun setengah, Linda didakwa masih memperkatakan keburukan Fahrin, antaranya kaki pukul, panas baran, tidak tahu menghormati orang lain terutama wanita. Dakwa Linda lagi, pantang keegoan Fahrin dicuit, lekas saja naik tangan.

10. Abby Abadi - Memey

Nama Abby Abadi dan menjadi panas gara-gara insiden tangkap khalwat suaminya, Norman Hakim dengan pelakon, Memey pada awal pagi 30 Oktober 2008. Berita perceraian Norman dengan Abby pada 18 Disember 2008 didedahkan kepada umum. Sejak itu, situasi dingin terus berlarutan antara Memey dan Abby, namun tiada sebarang perdebatan.

Sebelum itu, pada Mei 2006, rumah tangga Abby dan Norman berantakan akibat kehadiran orang ketiga sehingga Norman melafazkan cerai talak satu kepada Abby. Orang ketiga yang dituduh menjadi punca pergolakan rumah tangga mereka ialah penyanyi Faradhiya. Gosip itu membawa kepada perceraian Norman dan Abby.

Bagaimanapun, jodoh mereka masih panjang dan seminggu selepas Norman menjatuhkan talak satu kepada Abby, mereka rujuk semula.

Isu antara Abby dan Memey bagaikan tiada penghujung apabila pelbagai kekecohan timbul selepas itu apabila Memey dikatakan cuba merapati anak- anak Norman. Mereka berbalas-balas kenyataan dalam mediam sebelum Norman dan Memey diijabkabulkan pada 24 September 2011.

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Sumber: Bintang Popular

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top