Wataknya sebagai Azroy dalam filem Gila-Gila Remaja pernah mencairkan hati ramai wanita. Watak jejaka nakal, tetapi romantik lakonannya dalam filem arahan bapanya itu memang meninggalkan kesan mendalam kepada ramai peminat, terutama lelaki, yang kemudian `mencuri' identiti karakter terbabit untuk diri mereka dalam kehidupan sebenar.

Biarpun 28 tahun sudah berlalu, hero yang kini mencecah usia 46 tahun ini, masih disukai ramai. Mungkin kegilaan terhadap dirinya kini agak berbeza, apatah lagi Faizal Hussein sendiri sudah mempunyai keluarga. Mengekalkan nama dalam dunia lakonan bagi tempoh kira-kira tiga dekad bukanlah pencapaian yang harus dipandang ringan.

Biarpun sudah berpuluh filem dan drama dibintanginya selepas Gila-Gila Remaja meledak pada 1986, namun, watak Roy seakan sukar dikikiskan daripada diri aktor berkenaan. Ke mana saja beliau pergi, dirinya masih menjadi perhatian, khususnya peminat wanita yang membesar pada era 80-an.

Pilih watak

Anak kepada pasangan pelakon Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail ini pernah menyepi hampir lima tahun daripada dunia glamor, iaitu sekitar 1995 hingga 2000.

Begitupun, siapa sangka kehadiran semula bapa kepada dua cahaya mata berusia sembilan dan enam tahun itu berjaya melonjakkan kembali namanya dalam gelanggang seni, sekali gus menghimpun kelompok peminat baru buat dirinya.

Faizal sendiri tatkala ditemui pada majlis pelancaran drama terbaru lakonannya, Jiwa, yang akan menghiasi slot Aksi di TV3, tidak menyangka kemunculannya selepas menghilang hampir setengah dekad, kembali diterima peminat dan produser. Walhal, satu ketika dulu beliau pernah diboikot penerbit kerana aktif memperjuangkan royalti untuk pelakon.

"Saya pernah diboikot garagara produser tidak berpuas hati dengan tindakan saya memperjuangkan royalti untuk pelakon. Bagaimanapun, itu semua cerita lama. Kini, saya bersyukur apabila bakat saya masih diperlukan. Ramai produser yang memboikot saya dulu pun sudah tidak lagi aktif menerbitkan drama atau filem. Kebanyakan yang ada sekarang ialah penerbit baru.

"Alhamdulillah, syarikat baru milik mereka mengiktiraf bakat saya. Lebih penting, mereka tidak memberikan watak tempelan buat saya, walaupun pada usia sekarang. Sebaliknya pada usia begini, saya masih diberi peluang membawakan watak penting," kata Faizal yang mengaku dirinya sangat selektif dalam menentukan projek bakal dijayakan.

Banyak projek filem menyusul

Menurut bintang Bunohan ini, beliau mempunyai formula bagi memastikan namanya terus bertahan iaitu dengan menerima watak utama atau penting yang akan memanjangkan jangka hayatnya sebagai hero.

"Saya hanya bersetuju dengan tawaran untuk watak utama atau penting. Saya tidak akan terima jika diberikan watak bapa kepada anak yang sudah besar. Saya tidak mahu memendekkan jangka hayat sebagai seorang hero. Lainlah jika karakter berkenaan penting kepada sesebuah cerita.

"Walaupun pada usia begini, seseorang pelakon perlu mempunyai strategi. Contohnya, untuk drama bersiri Jiwa, walaupun peranan anak saya dibawakan oleh Remy Ishak dan Kamal Adli, tetapi saya tetap terima tawaran terbabit kerana watak Alif yang saya bawakan ialah watak penting. Permulaan kisah dalam drama ini berkisar mengenai Alif, kemudian barulah timbul watak dua anaknya," katanya.

Biarpun menetapkan syarat sedemikian, ia tidak menjejaskan periuk nasi Faizal. Sebaliknya semakin banyak tawaran yang diterima, termasuk beberapa projek filem bakal dijayakan tahun ini.

Tak halang anak ikut jejak

Sementara itu, menyentuh mengenai rumah tangganya dengan Suhaila Sulaiman, pelakon yang pernah menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25 ini tidak pernah menghalang isterinya berlakon. Bagaimanapun, Suhaila lebih selesa bergelar suri rumah, membesarkan dua anak mereka, Fazryn dan Fazrick.

Dua anaknya pula, kata Faizal, memang menunjukkan minat berlakon, tetapi beliau tidak mengizinkan mereka berbuat demikian pada usia muda kerana mahu kedua-duanya menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

"Memang ada produser pernah menawarkan anak saya berlakon, tetapi saya menolak secara baik kerana tidak mahu mereka penat. Maklumlah, mereka masih kecil. Saya tidak menghalang mereka berlakon, tetapi kalau boleh biarlah selepas kedua-duanya tamat belajar nanti," katanya.

~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top