Sinopsis Aku Bukan Halimatus Sa'adiah

Aku Bukan Halimatus Sa'adiah mengisahkan Halimah dan Maria yang melahirkan anak pada masa yang sama. Malang bagi Halimah apabila anak kedua yang dilahirkannya itu meninggal dunia.

Lebih malang lagi, suami Halimah juga kemalangan dan terpaksalah dia yang masih berpantang bekerja demi mencari rezeki buat keluarganya. Kerana simpati dengan nasib Halimah, Datuk Fuad, majikan kepada arwah suami Halimah menawarkannya untuk menjaga anak Maria iaitu Rayyan yang masih kecil.

Maria yang bekerjaya dan sentiasa mementingkan penampilan tidak mahu menyusukan anaknya dan mengikuti jejak ibunya, Datin Ruby yang turut tidak menyusukan anak kerana mahu menjaga bentuk badannya. Halimah pula sudah menyusukan Rayyan kerana simpati bayi itu sering saja menangis kerana hanya diberikan susu tepung oleh ibunya.

Bagaimanapun, perbuatan Halimah itu tidak diketahui Maria sehinggalah pada suatu hari Maria melihat sendiri Halimah menyusukan Rayyan depan matanya sendiri ketika dia pulang untuk mengambil fail syarikat yang tertinggal di rumah. Maria menjadi marah dan terus menghalau Halimah dan anaknya, Intan keluar daripada rumahnya itu.

Telefilem Aku Bukan Halimatus Sa'adiah arahan MP Roslin terbitan Enuja Production sempena sambutan Maulidur Rasul.

Telefilem yang diterajui pelakon berkaliber Siti Shahrizah Saifuddin yang memegang watak utama sebagai ibu susuan iaitu Halimah ini akan disiarkan di slot Skrin Di 9, jam 8.30 malam pada 13 Januari nanti. Barisan pelakon yang turut menjayakan telefilem ini ialah Sabrina Ali, Jasmin Hamid, Eizlan Yusoff dan Zul Handy Black.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top