Hafiz Hamidun, Jaafar Onn saling memaafkan

Tindakan Hafiz Hamidun memuat naik teguran peribadi yang dihantar Jaafar Onn ke laman Instagramnya menyebabkan dirinya dikecam peminat.

Peminat menganggap penyanyi nasyid itu tidak seharusnya berkongsi mesej yang dihantar melalui laman sosial Facebook kepada umum.

Gara-gara tindakannya itu, Hafiz dilabel sebagai mudah melatah. Bagaimanapun, perkara itu disangkal Hafiz ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video Jodoh Berdua di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bekas anggota kumpulan UNIC itu mengakui tindakan memuat naik mesej berkenaan sebagai melulu. Hafiz mendakwa dirinya tertekan apabila menerima mesej terbabit berikutan sedang menjayakan sebuah program di Jakarta, Indonesia.

Sudah mohon maaf

"Saya sudah meminta maaf kepada Jaafar dan saya ingin memohon maaf sekali lagi sekiranya tindakan saya salah. Saya bukan seorang yang mudah melatah, sekiranya orang hendak melabel saya sedemikian itu terpulang kepada pendapat masing-masing.

"Saya anggap mesej yang dihantar Jaafar sebagai satu dorongan. Jadi, salahkah jika saya berkongsi kata-kata dorongannya itu dengan peminat? Sewaktu saya terbaca mesej itu, saya berada di Jakarta menjayakan sebuah program. Jadi, saya rasa sedikit tertekan dan secara tidak sengaja, berkongsi pengisian mesej itu kepada peminat di laman Instagram saya.

"Saya tidak faham kenapa dia harus menegur klip video Jodoh Berdua yang menjalani penggambaran di tepi pantai. Saya jawab, kalau hendak berzikir, di mana-mana pun boleh. Tidak kiralah tepi pantai, dalam kereta, pakai topi atau kopiah. Selepas itu, kami saling berbalas mesej dan saya sudah memohon maaf. Saya berharap Jaafar tidak ambil hati kerana saya hanya bergurau," jelas Hafiz.

Tiru formula Maher Zain

Bercerita mengenai pembikinan single dan klip video Jodoh Berdua, Hafiz berkata, beliau membelanjakan RM50,000 untuk lagu berkenaan.

Memilih lagu berunsurkan pop, Hafiz berkata, beliau bukan mahu meninggalkan dunia nasyid, sebaliknya teringin mendengar lagu dendangannya ligat diputarkan di corong radio.

"Sebelum ini, saya menghasilkan album zikir. Alhamdulillah, jualan album zikir amat memberangsangkan. Bagaimanapun, dendangan saya melalui zikir sukar mendapat tempat di corong radio, jadi, saya cuba melakukan eksperimen menghasilkan lagu pop kerana teringin mendengar lagu dendangan saya diputar berulang kali di radio.

"Alhamdulillah, setakat ini ada stesen radio yang sudah memutarkan lagu Jodoh Berdua. Jadi, tidak sia-sia saya berhabis sebanyak itu kerana saya pernah bertanya kepada orang terdekat dengan Maher Zain, apakah formula mereka untuk membuatkan lagu itu diterima. Jadi, ini adalah satu daripadanya iaitu sanggup berhabis untuk mendapatkan yang terbaik," katanya.

Hafiz berkata, untuk album nasyidnya, beliau bercadang mendapatkan khidmat individu yang pernah terbabit dengan pembikinan album Maher.

"Ini supaya lagu saya akan dikenali di peringkat antarabangsa. Saya berharap dengan usaha ini, negara kita akan menjadi hab nasyid. Jadi, kita tidak perlu bersusah payah ke luar negara untuk perkenalkan lagu nasyid kepada orang luar, sebaliknya mereka yang terpaksa datang ke sini untuk mendengar muzik kita," katanya.

Status hashtag dipertikai

Sementara itu, pelakon dan chef, Jaafar Onn yang dihubungi pula enggan memanjangkan kes itu.

Jaafar berkata, dia tidak berniat mempertikaikan klip video Hafiz, sebaliknya mengaku sekadar bergurau. Jaafar mengaku sudah memaafkan tindakan Hafiz yang memuat naik mesej peribadinya ke laman Instagram dan tindakannya menggunakan hashtag auww... seolah-olah cuba menggambarkan dirinya sebagai lelaki lembut.

"Kami memang berbalas mesej dan masing-masing sudah meminta maaf. Saya tidak berniat hendak mempertikaikan klip video itu. Maksud saya sebenarnya mahu Hafiz menghasilkan zikir yang lebih hebat lagi supaya namanya akan terus popular. Itu saja.

"Saya agak berkecil hati kerana dia menggunakan hashtag auwww kepada saya. Dia tidak ada hak untuk menganggap saya demikian kerana kami tidak pernah makan sepinggan, tidur sebantal dan tinggal sebumbung. Bagaimanapun, Hafiz sudah meminta maaf dan menyatakan beliau sekadar bergurau," katanya. ~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top