3 artis Malaysia dapat 5 pencalonan Anugerah Muzik Dunia

Tiga artis Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza, Shila Amzah dan Joe Flizzow masing-masing mendapat lima pencalonan pada Anugerah Muzik Dunia 2014.

Ketiga-tiganya dicalonkan dalam kategori Lagu Terbaik, Persembahan Live Terbaik, Video Terbaik dan Penghibur Terbaik. Masingmasing bertanding atas tiket lagu Lebih Indah, Masih Aku Cinta dan Havoc.

Turut bersaing dalam kategori lagu, persembahan live dan video tadi ialah penyanyi yang kini mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna.

Tiga penyanyi wanita berkenaan juga dicalonkan dalam kategori Artis Wanita Terbaik, manakala Siti dan Shila pula disenaraikan sama dalam kategori Penghibur Terbaik.

Joe yang muncul bersama album Havoc turut dicalonkan dalam kategori Artis Lelaki Terbaik.

Hafiz terima dua pencalonan

Sementara itu, seorang lagi penyanyi berbakat negara, Hafiz Suip, menerima dua pencalonan, iaitu masing-masing dalam kategori Lagu Terbaik dan Video Terbaik. Dia dicalonkan menerusi lagu Salahkah, dendangannya bersama bintang Indonesia, Datuk Rossa.

Anugerah Muzik Dunia dianjurkan bagi memberikan pengiktirafan kepada artis rakaman dengan jualan terbaik dari seluruh benua. Anugerah diberikan berdasarkan kelebihan yang dimiliki artis berkenaan serta berpandukan undian peminat di internet.

Tiada penggunaan juri profesional dalam penganugerahan ini apabila anugerah diberikan berdasarkan populariti artis hasil undian peminat dan jualan album.

Persekutuan Industri Rakaman Antarabangsa (IFPI) menyediakan senarai nama artis paling laris di negara masing-masing kepada pihak penganjur dan senarai itu pula diteliti sekali lagi oleh pihak berkenaan, termasuk angka jualan album dan persijilan rekod pada 2013.

Peminat boleh melakukan undian memilih artis kegemaran masing-masing di laman http://worldmusicawards.com/index.php/vote.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top