Astro pertaruh pelakon baru

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR


hi 03.1

PARA pelakon Siapa Jem? selepas pelancarannya di Sungai Penchala, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.



ASTRO Ria merupakan saluran televisyen berbahasa Melayu yang paling ramai penonton dalam rangkaian berbayar Astro.

Ia menjadi tumpuan ramai kerana banyak menyiarkan rancangan terutamanya drama yang berkualiti.

Menurut wakil Astro Ria, Raqim Ahmad, drama-drama yang disiarkan di Astro Ria banyak yang menarik biarpun tanpa pelakon popular.

Beliau yang mewakili Pengurus Saluran itu, Azlin Reza Azmi memberi contoh drama Siapa Jem? yang kebanyakannya menampilkan pelakon baru.

“Dalam drama ini kebanyakan pelakon yang ditampilkan terdiri daripada pelakon baru. Tetapi jalan cerita yang ditonjolkan cukup menarik.

“Ia mengisahkan wanita yang boleh dijadikan suatu inspirasi untuk para penonton. Malah, pengarah yang mengarahkannya juga berbeza.

“Walaupun ini drama Melayu tetapi pengarahnya berbangsa India, Samby Dinesh mampu memberi satu kelainan.

“Sebab itu, pemilihan pelakon baru tidak menjadi halangan asalkan mereka berbakat,” katanya pada majlis pelancaran Siapa Jem? baru-baru ini.

Pada majlis yang diadakan di Sungai Penchala, Selangor itu, Raqim yakin drama 13 episod itu mampu menarik perhatian ramai penonton.

Katanya, Astro Ria pernah menayangkan drama yang tidak mempunyai pelakon popular tetapi mendapat sambutan.

“Contohnya, saluran ini pernah menyiarkan drama bersiri Awan Dania beberapa tahun lalu yang dilakonkan oleh Scha Alyahya.

“Ketika itu, Scha masih baru dalam bidang lakonan tetapi kerana jalan ceritanya menarik dan para pelakonnya berbakat maka drama itu menjadi popular.

“Sebab itu, saya harap pengalaman Awan Dania itu juga akan dilalui oleh Siapa Jem? kerana bakat dan kualiti paling utama,” ujarnya.

Sementara itu, pengarah Siapa Jem?, Samby Dinesh berkata, dia mengadakan uji bakat sebelum mengambil pelakon dalam drama itu.

Jelasnya, dengan pengalamannya mengarahkan drama sejak lapan tahun lalu, dia puas hati dengan para pelakon dalam drama tersebut.

“Saya lihat semua pelakon dalam drama ini ada potensi. Ia berdasarkan pengalaman saya mengarah drama selama tiga tahun di Indonesia.

“Ditambah dengan lima tahun pengalaman saya mengarah pelbagai drama di Malaysia, saya yakin dengan kekuatan jalan cerita drama ini.

“Selain itu, saya banyak mengkaji budaya Melayu bagi menyelami watak-watak yang dipaparkan menerusi drama ini,” jelasnya.

Antara pelakon baru yang ditonjolkan dalam drama itu ialah Jazz Rashid yang melakonkan watak utamanya sebagai Jem.

Pelakon lain yang turut berlakon dalam drama terbaru itu ialah Miera Liyana, Sherry Abdullah, Mazlan Mokhtar, Qazim Nor.

Siapa Jem? telah mula disiarkan sejak 6 Jun lalu, setiap Isnin pukul 9 malam di mana episod seterusnya akan disiarkan mulai pukul 9.30 malam.

Jazz Rashid yang melakonkan watak utama dalam Siapa Jem? pula berkata, biarpun masih baru tetapi dia telah berlakon dengan sebaik mungkin.

Kata pemilik nama sebenar Noor Jazilah Abd Rashid, 24, tunjuk ajar daripada pengarah seperti Samby banyak membantunya.

“Walaupun masih bergelar pelakon baru tetapi saya pernah menimba pengalaman berlakon telemovie bertajuk Panggilan Arwah.

“Sebelum ini, saya juga pernah diberikan watak kecil dalam filem Ratu The Movie. Semua itu banyak membantu saya,” katanya.

Siapa Jem? mengisahkan Jem yang berusia awal 20-an menyimpan impian mahu berkahwin dengan jejaka idamannya, Sani.

Sayangnya, harapan Jem itu mendapat halangan kerana Sani (lakonan Md. Amran Ismail) yang diminatinya itu tidak mempunyai pekerjaan tetap.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top