Kesetiaan peminat U-Kiss
U-KISS hadir ke Malaysia untuk mempromosikan album terbaharu mereka, Bran New Kiss.
MINI konsert band asal Korea Selatan, U-Kiss yang diadakan di pintu masuk utama pusat beli-belah Pavillion, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu telah berjaya menarik ramai peminatnya untuk berkampung di pusat beli-belah itu sejak pukul enam petang meskipun persembahan hanya bermula pada pukul 8 malam.
Malah, ada di antara peminat mereka sanggup menunggu sejak pukul 10 pagi di lokasi sidang akhbar diadakan pada hari yang sama di restoran Daorae Korean BBQ di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur hanya untuk menatap wajah bintang kesayangan mereka dari dekat.
U-Kiss yang dianggotai oleh tujuh anak muda iaitu, Soohyun, Kiseop, Eli, AJ, Hoon, Kevin dan Dongho berkunjung ke Malaysia untuk mempromosikan mini album terbaru mereka berjudul Bran New Kiss. Tidak sukar untuk berbicara dengan band U-Kiss semasa sesi sidang akhbar kerana kebanyakan daripada anggota U-Kiss fasih berbahasa Inggeris.
“Album baru ini berbeza dengan album terdahulu kerana ia lebih menonjolkan vokal kami. Album sebelum ini, kebanyakan vokal menggunakan auto-tone, selain itu imej kami juga banyak berubah daripada imej budak jahat kepada imej lebih dewasa dan matang,” kata AJ yang turut menyumbang lirik lagu dalam tiga buah lagu untuk album Bran New Kiss.
U-Kiss telah melahirkan sebuah album penuh berjudul Only One pada Februari 2010 dan lima buah mini album iaitu New Generation, Bring It Back 2 School, ContiUkiss, Break Time dan Bran New Kiss.
Tidak hanya menyanyi, malah, mereka juga aktif sebagai pelakon di Korea. Dongho, Eli dan Kiseop terlibat dalam sitkom terbaru yang berjudul Real School. Dongho juga popular apabila berlakon dalam drama pertamanya yang berjudul Royal Family dan memegang watak Jo Byung Joon.
“Saya suka berlakon dan akan terus memberikan yang terbaik, harap anda semua sukakan lakonan saya walaupun banyak lagi yang harus saya perbaiki,” kata Dongho.
Apabila disoal apa yang menariknya tentang Malaysia, lantas mereka semua bersetuju mengatakan makanan di Malaysia antara tarikan utama. Pengalaman daripada kunjungan pertama di Malaysia pada tahun lalu membuatkan mereka lebih bijak memilih makanan apabila datang ke Malaysia buat kali kedua.
“Baru malam tadi sebelum sidang media kami semua makan sate, memang sedap. Kami juga sukakan nasi lemak,” ujar Eli.
Mereka juga menghafal beberapa patah perkataan Melayu seperti apa khabar, terima kasih dan saya cinta kamu. Walaupun hanya perkataan yang ringkas, terlihat jelas kesungguhan mereka untuk menghiburkan peminat mereka di Malaysia.

0 ulasan:
Catat Ulasan