Mengulas mengenai kemenangan sebagai juara AF9, Hazama berkata penyertaannya dalam AF4 dulu adalah titik permulaan untuk bergiat dalam dunia seni. Walaupun dalam tempoh lima tahun bergelar anak seni, dia rasa tiada yang mustahil untuk menyertai semula pertandingan itu.


“Saya anggap kemenangan ini sebagai peluang kedua buat saya untuk terus berusaha gigih mencapai impian. Penyertaan saya dalam AF meningkatkan lagi motivasi diri. Walaupun sudah lima tahun menyanyi, bukan bererti saya sudah sempurna. Banyak benda yang sepatutnya dulu saya belajar diperoleh dalam AF9. Bagi saya setiap peserta ada kelebihan masing-masing,” katanya.

Hazama dinobatkan juara AF9 selepas jauh meninggalkan saingannya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan memungut 45 peratus markah diikuti naib juara, Lenaber Hadir atau Lena, 21, (28 peratus), manakala ketiga, Nur Shafinaz Jebat atau Fina, 18, (15 peratus) dan keempat, Mohamad Azri Abdullah atau Azri, 24, (12 peratus).

Kejayaan itu membolehkan Hazama membawa pulang wang tunai RM200,000 serta piala sumbangan Astro, hamper dan wang tunai bernilai RM5,000 sumbangan Power Root selain sebuah kamera Sony Handycam bernilai RM3,299 sumbangan Sony.

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Hazama memberitahu ini kali pertama dia memenangi pertandingan nyanyian dan memperoleh habuan cukup lumayan. Dia sendiri belum memikirkan apa yang akan dilakukan bersama wang kemenangan itu.

Yang pasti katanya, wang itu akan digunakan sebaik mungkin untuk tujuan simpanan, membantu keluarga dan karier seninya sendiri.

Hazama yang menyertai AF9 pada minggu keempat menerusi Operasi Gugur pada mulanya kurang yakin kerana perlu berdepan cabaran pengkritik. Begitupun, sikap mahu belajar dan terbuka membuatkan dia berani mencuba.

“Saya tak kisah apa tanggapan orang mengenai penyertaan saya menerusi program ini. Apa yang penting saya dapat mencari ilmu dan kepuasan bagi diri sendiri,” kata Hazama yang ditemui selepas berakhirnya konsert itu.

Mengenai persembahan final pula Hazama berpuas hati dengan lagu disampaikan iaitu Pukau yang dipopularkan oleh Tomok serta single terbaru yang menjadi taruhan terkininya, Cinta Teragung ciptaan Kuncidemak.

“Bagi saya Fina sangat berbakat dengan suaran lantang. Begitu juga Lena yang ada ‘tone’ suara unik. Pada saya Azri pula ada pakej bagus dari segi wajah dan suara,” kata Hazama yang bakal muncul dalam program khas bagi juara AF9, Hey Hazama di Astro Ria tidak lama lagi.

Ditanya mengenai kerjasama bersama band indie popular, Meet Uncle Hussain (MUH) pula Hazama memberitahu dia tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan band itu jika diperlukan. Sebelum ini dia bertindak sebagai penyanyi undangan untuk MUH. Sebagai artis dia yang mahu bergerak solo walaupun ada undangan dengan band.

Persembahan final itu turut diserikan dengan penampilan bekas pelajar AF dari musim pertama hingga ke sembilan, persembahan pembukaan daripada barisan pengacara AF serta penampilan Amy Search selalu Pengetua AF9.

Walaupun acara malam itu nampak begitu gah, sistem audio sebenarnya kurang mantap berbanding konsert final musim terdahulu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top