Konsert imbau nostalgia AF

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI


hi 02.1

KEFLI gagal memberikan persembahan terbaik sewaktu menyampaikan lagu Mahakarya Cinta.



BIARPUN apa sahaja kritikan yang dilemparkan terhadap program realiti popular, Akademi Fantasia (AF), memang tidak dapat dinafikan lagi impak yang terhasil daripadanya adalah cukup besar.

Mula diperkenalkan pada tahun 2003, AF sudah menjadi satu jenama isi rumah yang sehingga kini terus kekal dalam kehidupan sebahagian besar masyarakat kita.

Walaupun ada yang mengatakan suhu rancangan itu sudah mencapai tahap beku, namun, AF tetap mempunyai pengikutnya yang tersendiri sehinggalah musim kesembilannya melabuhkan tirai malam Ahad lalu.

Sepanjang tempoh itu jugalah, pelbagai kenangan manis dan indah serta tidak kurang juga kontroversi yang sudah tercipta oleh AF yang tidak mungkin dilupuskan daripada ingatan sebahagian daripada kita.

Justeru, apabila Astro menerbitkan sebuah program khas, Konsert Kenangan AFNIL sempena meraikan musim terakhir AF, ia merupakan idea yang cukup bernas untuk mengembalikan memori AF.

Apatah lagi dengan menggabungkan sembilan peserta AF dari musim pertama hinggalah yang terakhir, setiap seorang daripada mereka mempunyai kenangan dan cerita tersendiri.

Mereka yang terpilih ialah Rosmayati Sidik atau Rosma dari AF1, Zarina Zainoordin (Zarina-AF2), Mohamed Zulkefli Mohamed Idir (Kefli-AF3) dan Syamsul Hirdi Muhid (Diddy-AF4).

Tidak ketinggalan Mohd. Syawal Ruslan atau Shawal yang merupakan pelajar AF5, Ika Nabila Abdul Rahim (Ika-AF6), Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil (Zizi-AF7), Nadiawati Ainul Basir (Ain-AF8) dan Fahrur Raqib Abdul Majid (Raqib-AF9).

Memang menarik untuk melihat bekas peserta ini kembali ke pentas AF untuk beradu bakat sekali gus dapat membuktikan kehebatan masing-masing kepada peminat selepas mereka keluar dari akademi.

Barangkali ada yang membangkitkan persoalan apabila melihat peserta kegemaran mereka tidak tersenarai untuk beraksi dalam konsert khas tersebut.

Dalam erti kata lain, apakah kriteria pemilihan peserta Konsert Kenangan AFNIL sedangkan ada yang lebih layak untuk menyanyi di pentas itu berbanding dengan nama-nama yang terpilih.

Ketika diajukan soalan tersebut kepada Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, dia memberitahu semuanya berdasarkan kepada kelapangan setiap peserta untuk menghadiri rakaman konsert tersebut.

“Bukan itu sahaja, kami juga memilih peserta yang mempunyai cerita yang menarik ketika mereka menyertai AF seperti Rosma dan Zarina.

“Malah, ada juga peserta yang kami pilih untuk Konsert Kenangan AFNIL ini adalah mereka yang tersingkir di minggu kesembilan iaitu seminggu sebelum konsert akhir berlangsung.

“Kami memberikan sepenuh kebebasan kepada setiap peserta untuk memilih lagu-lagu yang ingin mereka sampaikan dalam konsert ini,” ujarnya dalam sidang akhbar usai rakaman di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Melihatkan kepada idea menggabungkan bekas peserta AF untuk konsert tersebut, memang menarik seandainya pihak Astro menerbitkan program khas seperti mana Maharaja Lawak.

Dengan menggabungkan juara dan bekas finalis AF sepanjang sembilan musim, memang tidak mustahil ia adalah idea terbaik untuk melengkapkan 10 musim AF.

“Secara jujurnya, pihak kami memang mempunyai perancangan seperti yang dikatakan itu dan kami juga sedang menimbangkan idea tersebut. Apa pun, biarlah kami melihat kepada respons AF9 terlebih dahulu,” jelas Azlin Reza lagi.

Kuasa Aznil

APABILA memperkatakan tentang AF, memang tidak dapat dinafikan individu bernama Aznil Nawawi telah memainkan peranan penting untuk menghidupkan perjalanan program itu dengan keletah dan aksi bersahaja di atas pentas.

Lalu, apabila diberi peluang menerbitkan program mingguan Kenangan AFNIL dan seterusnya ditutup dengan Konsert Kenangan AFNIL, pengacara nombor satu negara itu memanfaatkannya dengan sebaik mungkin.

Bagi Aznil, AF telah memainkan peranan besar dalam kariernya sehingga meletakkan kedudukannya paling tinggi selain diiktiraf dengan pelbagai pengiktirafan baik dari segi populariti mahupun gelaran terbaik.

Atas alasan itu, Aznil mengakui pelbagai perasaan yang bermain di benak hatinya sewaktu mengendalikan Konsert Kenangan AFNIL sehingga dia menjadi sebak.

“AF bukan hanya platform yang telah mengembalikan kegemilangan nama saya tetapi ia juga adalah pentas untuk saya menjalinkan ukhuwah dengan pesertanya yang sudah saya anggap seperti adik-beradik saya sendiri.

“Saya benar-benar menjaga hubungan itu dan ia kekal sehingga ke hari ini. Terlalu banyak kenangan saya bersama AF dan para pesertanya yang menggamit memori saya sebagai seorang pengacara.

“Sebagai contoh, Nija yang dahulunya seorang yang begitu manja di dalam akademi sehingga sewaktu makan pun mahu disuapkan kini sudah menjadi seorang ibu.

“Bayangkan perjalanan AF itu sendiri telah banyak merobah hidup ramai orang bukan hanya kepada pesertanya tetapi masyarakat di luar sana.

“Mereka boleh jadi benci, menyampah, sayang dan marah dengan AF. Apa yang penting juga, AF sebenarnya telah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan itu sehingga ia menjadi tontonan wajib setiap hujung minggu,” kata pengacara yang tiada tandingan ini bersungguh.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top