Berbanding musim lalu, musim terbaru menyaksikan 10 pasangan mewakili gandingan suami isteri, adik-beradik, ibu bersama anak dan bapa bersama anak bersaing dalam dua kumpulan.
Lima pasangan mewakili kumpulan Belalang yang diketuai jurureka tari, Mohd Zulfarqar Awaluddin atau lebih dikenali sebagai Belalang manakala sebahagiannya mewakili kumpulan Ray atau Ray Redzuan Awang.
Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pihaknya menjangkakan saingan sengit daripada peserta yang bertanding. Bukan hanya mencuba nasib dalam pertandingan itu sebaliknya ia menjadi pentas terbaik buat orang awam yang berminat mendekati serta mendalami lebih lanjut mengenai selok belok dalam bidang tarian.
"Hasil yang dapat dilihat menerusi musim pertama membuktikan betapa orang biasa juga mampu menguasai rentak tarian berkat usaha gigih dan kesungguhan mereka untuk menyahut cabaran yang diberikan dengan bimbingan mereka yang pakar dalam bidang tarian.
"Berada di bawah pengawasan ketua jurureka tari Ray dan Belalang yang sudah tidak asing lagi dalam bidang seni tari ini, kami percaya setiap pasangan mampu memberikan persaingan yang sengit," katanya ketika majlis sidang media memperkenalkan 10 pasangan Mari Menari 2, baru-baru ini.
Penerbit Eksekutif, Norazian Mohd Zahir pula memberitahu mengagihkan pasangan dalam dua kumpulan membolehkan lebih tumpuan diberikan selain mendekatkan penonton dengan konsep baru serta rentak tarian yang ditampilkan pada setiap minggu persembahan nanti. Pihaknya turut menjangkakan persaingan sengit daripada peserta yang mengambil bahagian pada musim ini.
Lima pasangan yang terpilih di bawah kumpulan Ray ialah dua pasangan suami isteri, pasangan Nora dan pasangan Azlin sementara dua pasangan adik-beradik, pasangan Ummi dan pasangan Sarah serta pasangan ibu dan anak (pasangan Bibi).
Manakala kumpulan Belalang diwakili pasangan suami isteri iaitu pasangan Razman serta pasangan Faiz, sementara pasangan Nita dan pasangan Wan (adik-beradik) dan pasangan Mizi (bapa dan anak).
Bagi pasangan adik-beradik Nita, minat yang mendalam dalam bidang tarian membuatkan mereka mengambil langkah untuk mencuba nasib dalam pertandingan itu. Pasangan Nita diwakili Norny Yusnita Jening, 22, (kakak) dan Umar Ali Jening (adik) menyimpan impian untuk bergelar penari profesional suatu hari nanti.
Menurut Nita, dia dan adiknya sudah membuat persediaan dari segi fizikal dan mental untuk menyertai pertandingan yang cukup mencabar itu. Walaupun tidak mempunyai asas dalam tarian, mereka akan berusaha melaksanakan semua tugas yang diberikan.
"Kami mengetahui mengenai uji bakat menyertai pertandingan ini menerusi televisyen. Dengan menggunakan bajet sendiri kami menyahut cabaran untuk datang dari Kota Kinabalu, Sabah semata-mata untuk menyertai pertandingan ini. Alhamdulillah kami berjaya melepasi sesi uji bakat yang dijalankan.
"Kesukaran yang kami hadapi ketika itu ialah mencari lokasi uji bakat yang membuatkan kami hampir sesat. Selain itu sukar mendapat tempat tinggal," katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Sementara pasangan Mizi (ayah bersama anak) yang diwakili Ahmad Tamizi Nordin, 44, dan Amanina Maisarah Ahmad Tamizi, 18, berkata tujuan mereka menyertai pertandingan itu adalah untuk meluangkan masa bersama. Disebabkan sibuk dengan komitmen kerja ayah kepada Amanina yang berkerja sebagai tukang jahit dan pereka mengambil peluang mengisi masa lapang dan berkongsi minat sama.
"Memang saya jarang ada masa bersama Amanina kerana sibuk dengan kerja. Apatah lagi dia tinggal dengan bekas isteri. Saya hanya meluangkan masa bersama pada hujung minggu. Kadang kala saya agak sibuk dengan kerja. Disebabkan berkongsi minat yang sama jadi kami mencuba nasib untuk menyertai pertandingan ini.
"Kami mahu cuba melakukan yang terbaik pada pertandingan ini. Kalau boleh melangkah sehingga ke peringkat final," kata Mizi yang berpengalaman sebagai penari kebudayaan untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Petronas sekitar 1988 sehingga 1996.
Pasangan Bibi (ibu dan anak) pula yang diwakili Bibi Nek Mohamad, 44, dan Azree Zailani, 21, memaklumkan selain minat mendalam dalam tarian penyertaan mereka pada pertandingan itu untuk mengubah nasib keluarga. Bibi yang memegang status ibu tunggal sejak empat tahun lalu menaruh keyakinan pengalaman berkerja sebagai guru senamrobik mampu membantu pada pertandingan itu.
Program yang turut mengekalkan gandingan pengacara popular, Awal Ashaari dan Lisa Surihani menyaksikan penampilan Joseph Gonzalez, Harith Iskandar dan Vanida Imran sebagai juri profesional yang akan mengadili persembahan peserta.
Persembahan setiap pasangan akan diadili menerusi 50 peratus mewakili juri dan 50 peratus undian penonton. Pasangan yang memungut markah terendah pada setiap minggu akan tersingkir.
0 ulasan:
Catat Ulasan