Sayur tauge yang ditanam di Jerman mungkin menjadi punca penyebaran wabak maut E.Coli, yang kini telah meragut 22 nyawa dan 2,200 yang lain jatuh sakit.

Ia juga telah mendorong Rusia mengharamkan sayur-sayuran dan buah-buahan import dari negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Menteri Pertanian di Lower Saxony, Gert Lindermann berkata, pasukan penyiasat telah mengesan bakteria yang jarang ditemui dan bertoksin tinggi itu di sebuah ladang di daerah Uelzen.

Media melaporkan ladang tersebut terletak berdekatan dengan bandar Bienenbuettel, kira-kira 70 kilometer ke selatan Hamburg.

Pusat perubatan di Hamburg, bandar kedua terbesar di Jerman dan pusat penyebaran wabak yang bermula tiga minggu lalu, berhempas-pulas menerima kebanjiran pesakit, kata Menteri Kesihatan, Daneil Bahr.

Lindermann berkata, terdapat hubungan jelas yang mengaitkan sayuran dari ladang dan makanan yang dimakan oleh sesetengah mangsa.

"Kami telah mendapat petunjuk yang penting," kata Lindermann, berdasarkan laporan siasatan terhadap kebimbangan kesihatan yang menjejaskan hubungan dua negara EU, Rusia dan Jerman.

Ia sekali gus menyebabkan Perdana Menteri Rusia, Vladmir Putin berkata, beliau tidak akan 'meracun' rakyat Rusia dan bertindak mengenakan sekatan terhadap import buahan dan sayuran daripada EU.

Lindermann berkata, bukan hanya tauge, tetapi tauge alfalfa, tauge kacang hijau, tauge lobak dan tauge arugula daripada ladang, yang mungkin mempunyai kaitan dengan wabak yang tersebar itu.

Tauge mentah merupakan sayuran popular di kalangan rakyat Jerman dan kebiasaannya dicampur dengan salad atau ditambah ke dalam sandwic.

Pegawai telah memberi amaran kepada pengguna selama beberapa minggu supaya mengelak daripada makan tomato, timun dan salad, dan ada yang mengatakan timun dari Sepanyol mungkin merupakan punca wabak maut itu tersebar. - REUTERS

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top