Festival Filem Malaysia ke 24 (FFM24) tahun ini menyaksikan 42 buah filem layak bertanding untuk merebut 33 kategori anugerah (termasuk kategori khas) yang dipertandingkan. Jumlah ini memecah rekod selama 24 tahun penganjuran festival. Jika dibandingkan dengan tahun lalu, hanya 29 buah filem yang layak bertanding. Manakala pada penghujung tahun 1990-an, tidak sampai 20 buah filem yang layak menyertai FFM.

Perkembangan ini memperlihatkan bahawa industri filem di negara ini sedang menunjukkan satu peningkatan luar biasa walaupun ada sesetengah pihak mengganggap penghasilan filem adalah sekadar untuk mencari keuntungan tanpa memikirkan kepentingan lain.

Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan juga selaku Pengarah Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24), Jurey Latiff Rosli memberitahu media, pihaknya yakin FFM24 kali ini akan lebih meriah kerana banyak filem yang layak bertanding. Jelas Jurey, sehingga 25 Julai lalu, sebanyak 29 buah filem telah menghantar pencalonan.

“Kami masih menunggu penyertaan daripada filem-filem yang layak bertanding ini. Setakat 25 Julai lalu, hanya 29 buah filem yang sudah menghantar penyertaan. Jadi, saya amat berharap agar semua penerbit filem yang mendapat kelulusan wajib tayang bermula 24 Oktober 2010 hingga 1 Oktober 2011 menghantar penyertaan mereka sebelum tarikh tutup penyertaan berakhir pada 15 Ogos hadapan,” ujar Jurey yang ditemui pada majlis pra-pelancaran FFM24 baru-baru ini.

Antara filem yang sudah menghantar penyertaan ialah Hikayat Merong Mahawangsa, Karak, Karipap-Karipap Cinta, Cun, Kongsi, Tolong Awekku Pontianak, Toyol Nakal, Senjakala, Penunggu Istana, Di Larang Masuk, Seru, Nur Kasih The Movie, Sumpahan Puasa, KL Gangster dan Khurafat.


Seperti penganjuran sebelum-sebelum ini, FFM24 juga akan mengadakan dua majlis penganugerahan berbeza iaitu Malam Anugerah Gemilang Cipta FFM24 dan Malam Anugerah Gemilang Perdana.

Malam Anugerah Cipta akan diadakan di Pangung Aniversary, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur pada 16 November 2011. Manakala acara kemuncaknya, Malam Anugerah Gemilang Perdana bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 November 2011.

Setiap pemenang kategori utama akan membawa pulang trofi berserta wang tunai RM10,000. Manakala, Filem Terbaik akan mendapat trofi dan wang tunai berjumlah RM25,000. Acara ini akan disiarkan secara langsung di Astro Prima (saluran 105).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top