Sinopsis dan Ulasan Filem Monte Carlo

Filem berbentuk hiburan ringan dan keremajaan, Monte Carlo (MC) menampilkan tiga bintang remaja, Selena Gomez, Katie Cassidy dan Leighton Meester yang pada awalnya pergi ke Paris untuk bercuti tetapi kemudian terjebak dengan insiden pertukaran identiti sehingga menikmati sebuah percutian mewah.

Ulasan Filem Monte Carlo

Ulasan Penuh

Filem MC merupakan sebuah filem mengenai remaja yang menerapkan unsure-unsur humour dan romantik. Bagi penulis dua elemen ini sudah cukup untuk membuatkan penonton tersenyum dan ketawa dari awal hingga penghujung ceritanya.

Apa tidaknya, plot penceritaanya yang ringkass serta menghiburkan itu telah membuatkan filem itu bertambah menarik dan membuatkan penulis tidak sabar untuk menanti bagaimana pengakhiran ceritanya.

Namun, kisah pengembaraaan tiga orang gadis remaja ke Paris mungkin bunyi seperti kisah biasa atau klise didengar tetapi pengarahnya, Thomas Bezucha telah berjaya mengubahnya kepada sebuah filem yang menarik dan menerujakan setelah terdapat insiden pertukaran identiti berlaku terhadap pelakon Selena Gomez.

Pada awalnya Selena Gomez hanya berperwatakan seperti orang biasa dengan menggalas watak seorang pelayan restoran bernama Grace Bennett, tetapi kemudian dia terpaksa membawa watak yang berbeza iaitu sebagai puteri diraja Cordelia Winthrop Scott selepas wajahnya didapati seiras. Pelbagai gelagat dan aksi yang mencuit hati berlaku ketika penukaran identiti itu berlaku.

Ini kali pertama penulis menonton lakonan Selena Gomez biarpun sebelum ini lakonannya sudah pun ditonjolkan dalam siri televisyen Disney Wizards of Waverly Place . Namun biarpun baru kali pertama menonton lakonannya, penulis rasa dia memang patut diberikan pujian.

Meskipun watak yang diberikan itu tidak begitu mencabar tetapi kesederhanaan yang diserlahkan dalam lakonannya itu sudah cukup memuaskan dan sempurna.

Ternyata bakat yang ada pada buah hati kepada penyanyi Justin Bieber ini membuktikan dia sememangnya seorang anak seni yang berpotensi bukan sahaja dalam bdiang nyanyian malahan lakonan.

Tidak banyak unsur percintaan yang diterapkan dalam filem ini kerana ianya hanya sekadar menjadi penyeri dan elemen untuk mengusik sedikit perasaan emosional penonton.

Elemen persahabatan juga diterapkan bila kehadiran watak Katie Cassidy dan Leighton Meester sebagai rakan baik Selena Gomez yang bersama-sama bercuti ke Paris dilihat melengkapi warna-warni perjalanan karakter dan plot filem ini.

Kedua-dua mereka memainkan peranan masing-masing yang mana kedua-duanya mempunyai kisah percintaan yang berbeza dengan perwatakan yang berbeza ketika bercuti di Paris.

Apa yang pasti, pemandangan dua kota besar Paris dan Monte Carlo yang menjadi latar belakang filem tersebut telah membuat penulis benar-benar jatuh cinta akan kota cinta itu dan secara tidak langsung telah melengkapkan lagi perjalanan ceritanya.

Sinopsis

MC berkisar pada kisah percutian berbajet rendah yang dilalui oleh tiga gadis lepasan sekolah iaitu Grace (Selena Gomez), kakak tirinya Meg (Leighton Meester) dan rakan karibnya Emma (Katie Cassidy) di kota Paris, Perancis yang kemudiannya bertukar menjadi percutian mewah di kota Monte Carlo.

Segalanya berpunca daripada satu insiden apabila Grace telah disalah anggap sebagai puteri raja British iaitu Cordelia Winthrop Scott ekoran persamaan pada wajah dan identiti mereka. Bermula dari situ, percutian hambar tiga gadis ini terus diwarnai pelbagai insiden dan gelagat yang penuh pengembaraan dan kisah suka dan duka.

FILEM:Monte Carlo
ARAHAN:Thomas Bezucha
LAKONAN:Selena Gomez, Leighton Meester, Katie Cassidy
GENRE:Komedi, romantik, pengembaraan
EDARAN:20th Century Fox
TAYANGAN:Bermula 30 Jun 2011

~ Murai

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top