Sinar FM berjaya mengekalkan kedudukan sebagai stesen radio nombor satu. Kajian dibuat Nielsen’s Radio Audience Measurement (RAM) Malaysia bermula 7 Mac hingga 3 April lalu membolehkan stesen yang menampilkan moto Muzik Retro Terbaik, terus mempertahankan kedudukannya untuk beberapa tahun.

Ini satu kejayaan hebat bagi Sinar FM kerana stesen radio yang memutarkan himpunan lagu-lagu lama agak susah mendapatkan jumlah pendengar yang besar kerana bilangan peminat terhadap irama sedemikian agak kecil.


Pengurus Program Sinar FM, Rostam Said mengakui situasi berkenaan berbeza di Malaysia dengan pencapaian diterima Sinar FM.

Rostam yang hampir 15 tahun terbabit dalam industri radio tempatan berkata, antara rahsia kejayaan Sinar FM ialah memiliki kekuatan tersendiri hingga mampu membuatkan pendengar berasa dekat dan mesra.

“Untuk mewujudkan perasaan dekat dan mesra kepada pendengar, pertamanya ia punya kaitan kuat antara penyampai dan lagu diputarkan dan kedua harus melihat penyampai dan pengisian.

“Dua perkara ini yang sering diberi tumpuan pengurusan Sinar FM menyebabkan kami berjaya mengekalkan kedudukan sebagai stesen radio diminati ramai.

“Contohnya, penyampai rancangan pagi Sinar FM dikendalikan dua pelakon dan selebriti terkenal, Raja Azura dan Salih Yaacob yang digandingkan dengan Khairil Rashid.

“Tetapi kami tidak bergantung pada nama mereka saja sebaliknya pendengar lebih tertarik dengan topik yang mereka tampilkan setiap pagi. Walaupun ada isu semasa yang dibincangkan agak berat, ia dilaksanakan secara bersahaja.

“Selain itu, setiap pandangan diberikan pendengar diterima dan diperbincangkan. Ia saya rasakan menjadi faktor penyebab mengapa ramai orang mahu mendengar apa yang dipersembahkan mereka setiap pagi.

“Begitu juga dengan Abby Fana, dia mempunyai cara tersendiri untuk mendekatkan diri dengan pendengar,” katanya ketika ditemui di majlis Malam Meraikan Media Airtime Management & Programming Sdn Bhd (AMP), baru-baru ini.

Rostam juga bersetuju dengan pandangan bahawa konsep stesen radio itu sendiri turut mempengaruhi pendengar. Memainkan muzik retro dan malar segar menyebabkan Sinar FM boleh mengumpul sejumlah pendengar yang besar dari segala peringkat umur dan zaman.

“Saya sudah melihat perkembangan industri radio di negara luar. Biasanya kalau stesen hanya memutarkan lagu lama saja, jumlah pendengarnya tidak besar kerana sasarannya kecil dan tidak akan muncul sebagai stesen nombor satu.

“Bagaimanapun di negara kita, lagu lama sangat dihargai. Malah, menerusi kajian dibuat menunjukkan ramai golongan muda turut mendengar Sinar FM.

“Faktor pengaruh juga turut menjadi penyumbang di mana ada pendengar muda yang mendengar Sinar FM kerana ibu bapa mereka mendengar stesen ini.

“Apabila mereka sudah mendengar stesen yang sama, mereka sudah terbiasa. Dalam sudut lain, lagu diputarkan juga memainkan peranan kerana kalau kita lihat kebanyakan lagu lama ini memiliki kekuatan dari sudut melodi mahupun lirik.

“Ia juga sangat ringan dan boleh dengar siapa saja tidak kira warga tua, golongan dewasa mahupun remaja. Seperti yang saya jelaskan awal tadi penyampai dan lagu diputarkan harus punya kedekatan dengan pendengar sasaran,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top