Taja, gitaris Meet Uncle Hussain (MUH), atau nama sebenarnya, Nik Mustaza Nik Mustapha bakal menamatkan zaman bujang dengan tunangnya, Kimmy pada 1 Oktober 2011.

“Selepas empat tahun mengenali, saya dan tunang akhirnya memilih 1 Oktober ini untuk mendirikan rumahtangga. Saya mengakui berdebar namun dalam pada masa yang sama teruja dengan perkahwinan ini. Sepanjang kami bertunang, memang banyak sangat dugaan.Bagus juga tunang lama-lama sebab boleh uji pasangan masing-masing,”


Kimmy yang juga merupakan pengurus kumpulan MUH. Ketika ditemui, Kimmy turut memberitahu kenapa mereka mengambil masa yang lama untuk mendirikan rumahtangga.

“Kami ambil masa yang lama sebab ada banyak hal yang berlaku, jadi kami terpaksa tangguhkan dulu perkahwinan. Akhirnya, kali ini kami betul-betul sudah membuat keputusan dan kedua ibu bapa kami sudah berbincang serta mengesahkan tarikh nikah kami. Alhamdulliah, 1 Oktober ini adalah hari saya dan Taja akan disatukan kalau tiada apa-apa halangan.”

Kimmy ketika ditemui turut memberitahu, dia dan Taja turut berdepan dengan pelbagai halangan namun bukan disebabkan masalah dalam perhubungan mereka tetapi kerana komitmen terhadap kerjaya.

“Sebenarnya halangannya adalah bila saya jadi pengurus, fokus saya lebih kepada ‘band’. Bila keutamaan itu lebih kepada pengurusan band, menyebabkan hal perkahwinan saya tertangguh disebabkan kesibukan bekerja. Contohnya seperti Anugerah Planet Muzik, MUH ‘Tour ke Indonesia’ serta projek ‘Drama King’ dan ‘Pokok’.

“Halangan sebenar lebih kepada kerja. Bila kami bekerja sebagai satu kumpulan, semua kebajikan harus dijaga. Saya bukan sahaja kena menjaga Taja, malah saya juga harus menjaga tiga ahli yang lain demi karier mereka.

“Masalah dalam perhubungan kami tiada sangat sebab kami jarang bergaduh. Kalau bergaduh pun, kami bergaduh pasal kerja, tiada kaitan dengan hal peribadi,” ujar Kimmy yang kini sedang sibuk membuat pelbagai persiapan. Menurut Kimmy, kebanyakan barang perkahwinan mereka dibeli dan ditempah khas dari Bandung.

Dalam masa yang sama, Kimmy menyatakan rasa kemaafan kepada rakan-rakan media kerana tidak dapat menjemput mereka di majlis akad nikah disebabkan atas permintaan keluarga pihak perempuan.

“Awal-awal lagi saya mahu meminta maaf yang mana ini adalah atas permintaan keluarga pihak saya yang mahukan hari pernikahan kami hanya akan dihadiri oleh keluarga serta saudara mara terdekat sahaja. Kami mahukan majlis ini betul-betul untuk keluarga sahaja.

“Sekarang ini saya sedang cuba memujuk kedua ibu bapa saya untuk membenarkan hanya jurugambar sahaja yang datang untuk mengambil detik pernikahan kami. Tetapi semua ini masih lagi dalam proses. Bukan tidak mahu menjemput media, tetapi dibolehkan selepas akad sebab ibu bapa saya sudah bertegas upacara akad nikah itu khas untuk keluarga sahaja,” jelas Kimmy yang turut memberitahu warna tema pernikahan mereka adalah warna putih.

Majlis resepsi pihak perempuan yang bakal diadakan pada 2 Oktober ini berlangsung di Dewan Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur manakala majlis sebelah lelaki pula akan diadakan seminggu kemudian di Nilai, Negeri Sembilan.

Ketika ditebak dengan persoalan tema perkahwinan pasangan ini untuk Oktober nanti, Kimmy memberitahu ada keistimewaan yang tersendiri kerana perkahwinan mereka berkonsepkan ‘sharing our favoritism’.

“Majlis resepsi pihak perempuan akan berlangsung jam 11.00pagi sehingga 4.00petang untuk kaum keluarga saja. Manakala pada sebelah malamnya pula bermula jam 7.00malam, barulah dibuat untuk rakan-rakan kami serta para media.

“Perkahwinan kami berdua sebenarnya tiada tema. Pada malam 2 Oktober itu, kami akan kongsi apa sahaja yang kami suka, ‘sharing with others everything that we love’. Sebagai contoh untuk makanan, malam tersebut kami akan kongsi makanan yang saya dan Taja suka, bukan apa yang orang lain suka. Bukan sahaja makanan, malah tema malam tersebut, gubahan bunga, semua apa yang kami suka.

“Ada juga pihak yang datang mahu ‘sponsor’. Tetapi kami lebih memilih untuk mengadakan majlis yang ala kadar dengan apa yang kita ada dan dengan apa yang kita mampu. ‘Sponsor’ itu bagus, tapi dalam masa yang sama ada aspek yang perlu dijaga. Kena jaga hati pelbagai pihak termasuklah keluarga dan orang lain. Jadi untuk mengelakkan perkara tersebut terjadi, adalah lebih baik ia dibuat dengan kadar yang sederhana.”

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top