Penerbitnya, Rosyam Nor nekad dengan pendiriannya memandangkan banyak isu berbangkit berkaitan disiplin yang dicetuskan oleh artis Pilih Kasih musim pertama (PK1).
“Saya menganggap isu disiplin ini sebagai virus yang tidak bagus untuk artis PK1. Jadi, saya ingin tekankan kepada mereka supaya tidak mudah lupa diri apabila berada dalam industri seni.
“Apabila mereka lupa diri, bakat mereka tidak berkembang sekali gus merosakkan jenama Pilih Kasih,” katanya dalam sidang media di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, di sini, Khamis.
Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf.
Tidak kurang kontroversinya, Rosyam turut memberikan penjelasan menyentuh tajuk Pilih Kasih yang menjadi kontroversi apabila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim meminta agar tajuk rancangan itu diubah.
Katanya, tajuk tersebut terpaksa dikekalkan untuk musim kedua ini memandangkan pihaknya telah menggunakan nama Pilih Kasih sejak awal sesi ujibakat dilakukan.
“Kami terpaksa mengekalkan jenama Pilih Kasih untuk musim ini kerana segala persediaan telah dilakukan dari awal. Tetapi jika minta kami tukar tajuk untuk musim akan datang, baru kita akan tukar.
“Selaku penerbit, saya memohon maaf kepada Datuk Seri Dr. Rais,” ujarnya sambil memperkenalkan 16 orang calon peserta PK2.
Mereka adalah Raffamie Karama, 25, Ku Hariz, 25, Bil Azali, 18, Jay Iswazir, 28, Afiq Meadin, 20, Bodt Sharade, 23, Fizi Ali, 21, dan Yuswan Yunus, 23.
Turut terpilih Livonia, 19, Leyla Krisya, 20, Shasha Alkhred, 21, Nur Jannah, 23, Lia Natalia, 18, Kris Cempaka, 25, Rosana Ainudin, 24 dan Mira Amnas, 19.
Rosyam mengakui setiap peserta yang berjaya dipilih itu akan dinilai berdasarkan bakat terlebih dahulu dan kemudian baru melihat rupa paras.
“Sebab itu kalau tengok artis PK2, ada yang tidak kacak dan cantik semuanya kerana kami mementingkan bakat mereka. Selepas itu, baru mereka diubah penampilan seperti artis.
“Saya sengaja menggelarkan mereka sebagai artis Pilih Kasih bagi membezakan artis lain. Jadi bila orang tanya artis mana, orang akan sebut artis Pilih Kasih. Tetapi tidak semestinya mereka boleh mendabik dada apabila sudah mendapat gelaran artis.
“Saya rasa tak keterlaluan untuk menggunakan gelaran artis sebab ini merupakan harapan kami untuk menjadikan mereka sebagai artis,” beritahunya lagi.
Menariknya, selepas memenangi PK2, pemenang juara, naib juara dan tempat ketiga akan menerajui drama 26 episod Inspirasi Kasih yang dijadualkan menjalani penggambaran pada Mac 2011.
Reza Mohamed dikekalkan sebagai hos Pentas Pilih Kasih 2 secara solo berbanding berdua pada musim lalu. Ini kerana gandingannya sebelum ini, Raja Azura tidak dapat turut serta kerana terlibat dengan komitmen lain.
Sementara Iesya Toh, pengacara Selamat Pagi Malaysia dipilih sebagai hos Kisah Pilih Kasih 2 iaitu diari harian artis PK2.
Selain Rosyam, PK2 turut diterbitkan oleh Adi Shamsul Abdul Hayee dari White Wizard Pictures dan Mohamad Azizan Ahmad.
Dalam pada itu, pengarah Aziz M Osman merupakan pengarah drama pendek, Hamzah Mohamed Tahir (pengarah monolog), Fatimah Rahmad (pengarah teater), Fatimah Abu Bakar (tutor lakonan), Fauziah Nawi (pengkritik tetap) dan Dr Abu Hassan (pengkritik tetap).
Kisah Pilih Kasih 2 disiarkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 4.30 petang di TV2. Siaran ulangannya pada pukul 10.30 malam hingga 11 malam, setiap Selasa hingga Sabtu.
Pentas Pilih Kasih 2 disiarkan pada setiap Sabtu, pukul 8.30 malam, mulai 11 Disember hingga 25 Disember ini manakala pukul 9 pada 1 Januari hingga 19 Februari. Siaran ulangannya pada setiap Isnin, pukul 1.30 petang.
Pentas Pilih Kasih 2 dibawakan secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Mohamad (RTM), Negeri Sembilan dengan tajaan Telekom Malaysia (TM).
0 ulasan:
Catat Ulasan