Kumpulan yang bertuah itu adalah Taxi, Drama, Rock And Roll John, O'Two, Raw Discover dan D'Vyder.
Pengurus Program Hot FM, Anida Mohd Taharim ketika ditemui sejurus selepas pengumuman itu dibuat memberitahu, keenam-enam kumpulan yang terpilih mempunyai keistimewaan tersendiri dan perlu diberi peluang untuk mengetengahkan bakat yang mereka miliki.
"Finalis yang terpilih bukan sahaja dinilai mengikut persembahan pada hari ini, sebaliknya setiap minggu mereka diberi tugasan yang berbeza untuk melihat tahap keupayaan mereka.
"Pada minggu pertama cabaran yang dihadapi adalah sesi interaksi bersama media dan 'busking'.
"Pada minggu kedua, tiada cabaran mingguan yang diberikan manakala pada minggu ketiga, setiap kumpulan perlu mereka sendiri kulit album dan pada minggu keempat, mereka perlu mencipta lagu demo yang akan dinyanyian oleh mereka sendiri," katanya yang menganggap segala cabaran mingguan yang diberikan itu mampu untuk mengasah kebolehan setiap kumpulan.
Tambahnya keputusan untuk membawa enam kumpulan ke peringkat akhir Twisties Bingit diambil selepas dipersetujui oleh pihak juri pertandingan tersebut yang terdiri daripada Che Mokh dari warner Music (M) Sdn. Bhd, Edrie Hashim dan Genervie Kam.
"Kami bersetuju untuk memberi peluang kepada keenam-enam kumpulan ini kerana kami melihat mereka sangat berpotensi dan komitmen yang mereka tunjukkan di dalam setiap cabaran atau tugasan yang diberi sangat memuaskan.
"Apatah lagi pertandingan ini hanya berlangsung dalam masa yang singkat iaitu kira-kira empat minggu. Dalam masa sesingkat itu, kami melihat setiap kumpulan berjaya membina keserasian serta identiti mereka yang tersendiri," ujarnya.
Ditanya mengenai konsep Twisties Bingit peringkat akhir yang bakal diadakan di Stadium Kelana Jaya pada 11 Disember depan bermula jam 4.00 petang, beliau memberitahu pihaknya memberi kebebasan kepada setiap kumpulan untuk mengetengahkan daya kreativiti masing-masing.
"Setiap kumpulan akan diberi peluang untuk mengadakan persembahan selama tujuh minit dan mereka akan diadili oleh empat orang juri profesional. 100 peratus keputusan terletak di tangan juri," jelasnya.
Sementara itu Che Mokh ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut memberitahu, Twisties Bingit membuktikan bahawa negara kita masih belum ketandusan kumpulan-kumpulan baru yang berbakat besar.
Katanya bukan sahaja enam kumpulan yang layak ke peringkat akhir berjaya membuktikan bakat mereka, sebaliknya kumpulan-kumpulan lain yang tidak terpilih juga mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri.
"Saya melihat enam kumpulan ini mempunyai keistimewaan dan rasanya rugi jika keupayaan mereka tidak diketengahkan," katanya.
Diusik dengan persoalan mengenai album juara Twisties Bingit yang bakal dikeluarkan oleh warner Music (M) Sdn. Bhd., dia mengakui tidak memerlukan masa yang panjang untuk menghasilkannya.
"Kalau ikut kontrak album akan dihasilkan dalam masa enam bulan, tetap apabila melihat setiap kumpulan yang beraksi, saya yakin album tersebut dapat dihasilkan lebih cepat kerana mereka semua mampu mencipta lagu dan menulis lirik dengan baik.
" Maksudnya mereka boleh terlibat secara langsung dalam proses pembikinan album itu kelak.
"Sememangnya kami hanya akan mengambil juara Twisties Bingit sahaja sebagai artis rakaman, tetapi tidak mustahil pemenang tempat kedua atau ketiga juga berpeluang untuk menghasilkan single bersama kami jika dilihat berpotensi," ujarnya yang bertindak sebagai juri tetap pertandingan tersebut.
Selain kontrak rakaman bersama warner Music (M) Sdn. Bhd, pemenang Twisties Bingit juga akan membawa pulang wang tunai serta hadiah iringan yang bernilai sehingga RM100 ribu.
0 ulasan:
Catat Ulasan