Cuma tinggal dua minggu saja lagi, sebelum sepasang peserta dinobat sebagai pasangan yang paling serasi, sekali gus merangkul gelaran juara dalam program realiti Mari Menari.

Kini sudah lapan minggu mereka mengharungi pelbagai cabaran. Bermacammacam pengalaman suka dan duka dihadapi, malah tekanan yang bukan turut sedikit dirasai peserta. Ketika yang sama, debaran makin kencang di dada, tatkala mereka bertanya sendiri, mampukah mereka bertahan untuk dua minggu saja lagi atau akan tersungkur pada saat akhir.

Bukan sekadar peserta yang dilanda perasaan itu, bahkan kebimbangan turut dirasa penasihat yang mewakili mereka.

Lisdawati antara penasihat yang konsisten yang mana tiga anak buahnya masih kekal bertanding, diikuti Ferhad dan Erra Fazira.

Menurut aktres itu, semua ilmu yang dipungut olehnya pada pengalaman lalu diperturunkan kepada setiap ahli kumpulannya demi memastikan mereka berjaya.

"Kerisauan tentunya tetap wujud walaupun saya melihat mereka sudah memberikan komitmen 100 peratus dalam pertandingan ini. Namun perlu diingat, kadang-kadang kita boleh tergelincir hanya disebabkan maksud tarian dan tema yang diberikan setiap minggu tidak saling menepati.

"Dari minggu ke minggu, rata-rata persembahan mereka semakin meningkat dan bagus, tetapi saya masih bimbang sekiranya ia lari daripada tema. Apa yang lebih membimbangkan lagi sekiranya mereka tiba-tiba blank.

"Berdasarkan pengalaman sewaktu menyertai program Sehati Berdansa lalu, saya faham mereka akan lalui perkara yang sama. Cuma nasihat saya, mereka kena tahu bagaimana untuk mengatasinya," katanya yang ditemui pada lawatan mengejut sesi latihan pasangan Fahmi di studio tari Ampang, baru-baru ini.



Katanya lagi, ketiga-tiga kumpulannya yang terdiri daripada pasangan Fahmi, Nita dan Razif memiliki kekuatan tersendiri sehingga sukar bagi juri membuat penilaian pada setiap minggu.

"Fahmi umpamanya, mereka kuat dari segi keserasian apabila bergelar pasangan suami isteri selama 10 tahun. Apabila ada sedikit kesalahan, ia tidak begitu ketara kerana keserasian mereka menutup kelemahan itu.

"Pasangan adik-beradik, Nita dan Fadzlishah turut mula menunjukkan keserasian walaupun agak lemah dalam aspek itu pada permulaan dulu. Nita memang seorang penari dan dia ada aura, manakala bentuk tubuhnya nampak seksi. Begitu juga dengan adiknya yang sering mendapat pujian daripada juri.

"Bagi Razif pula, mereka pasangan yang baru lima bulan berkahwin. Aura percintaan mereka masih kuat, tetapi pada awalnya nampak macam adik-beradik. Kini, keserasian itu jelas terpancar apabila mereka berdansa," katanya yang berbangga apabila ketiga-tiga pasangan ini pernah mendapat kedudukan teratas pada setiap minggu.

Ditanya siapakah yang bakal bersaing pada peringkat akhir, Lisdawati berkata, dia mempunyai firasat yang menyatakan hanya dua pasangan bakal berentap pada final nanti.

"Saya sangat yakin antara mereka bertiga ini, akan ada yang ke final. Jika mengikut masa yang ditetapkan iaitu sejam bagi program akhir nanti, sekiranya dicampur dengan persembahan semua peserta, boleh jadi hanya dua pasangan yang akan ke final," katanya.

Eratkan hubungan suami, isteri

BAGI Fahmi, tekanan sentiasa wujud dalam apa juga kerja yang dilakukan, namun dia tidak mengelak tekanan kali ini lebih kuat dirasa.

"Tekanan pada minggu kelapan sangat kuat kerana persiapan yang hendak dibuat juga semakin getir. Kini kami harus fokus kepada pertandingan, sudah tidak ada perkataan mainmain lagi.

"Jika rezeki berpihak kepada kami pada minggu ini, bermakna kami hanya ada dua minggu saja lagi cabaran sebelum melangkah ke akhir. Kami pula mula mendapat rentak pertandingan ini sejak minggu kelima, hasil maklum balas daripada juri.

"Kalau dilihat kembali, minggu keempat ialah minggu yang paling bahaya buat kami. Ketika itu, kami menjangkakan yang kami akan tersingkir. Kami tidak dapat melakukan persembahan terbaik menerusi tema Hip Hop. Beberapa kesalahan berlaku sangat ketara seperti topi saya terjatuh dan mood kami mula berubah disebabkan kebimbangan," katanya.

Ditanya mengenai hala tuju dirinya dan isteri selepas berakhirnya program ini, Fahmi terdiam seketika sebelum menjawab dengan tenang.

"Saya memang sudah mempunyai pekerjaan tetap dan tidak menaruh apaapa peluang lain selepas berakhirnya program ini, tetapi isteri saya lain, dia sememangnya sudah bergelar artis budaya di Istana Budaya. Mungkin dia akan dapat meletakkan satu lagi tahap pada kariernya sebagai penari.

"Tapi secara jujurnya, program ini sebenarnya dapat mengeratkan lagi perhubungan saya bersama isteri. Sebelum ini kami jarang dapat bersama disebabkan kerja, tetapi kini sudah lapan minggu kami sentiasa berkepit 24 jam," katanya.

Isterinya Norazlin Zakaria berkata, penyertaan dalam Mari Menari diharap dapat meningkatkan lagi peluang buatnya selepas ini.

"Ia juga platform yang baik di dalam membina kerjaya baru selepas program ini. Mungkin saya boleh terjun ke dunia lakonan atau menjadi pengacara. Mari Menari boleh bertindak sebagai pembuka tapak baru buat pesertanya," katanya.

Juru tari berpengalaman, Ray, berkata pasangan Fahmi antara pasangan yang matang di dalam pertandingan ini.


"Pasangan Fahmi cepat dapat apa yang saya ajar. Sekiranya ada perubahan gerak tari dilakukan pada saat akhir, mereka masih mampu melakukannya. Cara kerja saya mudah, saya akan memberitahu apa yang saya nak dan sekiranya mereka dapat lakukan bermakna mereka faham keinginan saya, mereka antara pasangan yang cepat tangkap keinginan saya.

"Secara jujur saya ingin mereka melangkah ke akhir. Saya ingin membantu mereka dan saya percaya penonton akan berpeluang menyaksikan tarian berbeza pasangan ini pada final nanti," katanya.

Oleh Rozdan Mazalan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top