Selepas 5 minggu (termasuk konsert tirai) menerima pelbagai kritikan sama ada baik atau buruk dari pengkritik, pelajar-pelajar Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) telah mula menunjukkan peningkatan positif dalam konsert minggu ke-4 yang berlangsung dari Dewan Seri Putra, Bukit Jalil sebentar tadi.

Belum sampai ke tahap sempurna tetapi usaha anak didik Norman KRU bersama barisan tenaga pelajar lain ini harus dipuji kerana konsert malam tadi berjaya membuka mata pengkritik dan penonton tentang potensi dan bakat yang ada pada pelajar-pelajar dalam konsert yang turut bersiaran secara langsung di Astro Ria saluran 104.

Antara pelajar paling menyertalah malam tadi adalah Ain dan Maulana. Malah, Ain kini kembali ke landasan sebenar potensi beliau setelah melalui zaman 'gelap' dengan menghiburkan penonton dengan lagu Kawan dendangan asal Ruhil Amani.

Aznil berpendapat tiada 'Ruhil' dalam persembahan serta gadis jelita ini telah pun menemui imej sebenarnya. Bagaimanapun, penyanyi terkenal, Aishah yang menjadi pengkritik jemputan berharap Ain akan mempelbagaikan variasi vokal dalam persembahannya. Ain turut menerima pujian dari Adlin Aman Ramlie yang menganggap personaliti Ain 'besar' untuk lagu ini.

Maulana pula terus menyerlah dengan lagu Biarkan (Vince) sehingga boleh dikatakan sebagai pelajar terbaik untuk konsert ke-4. Pandangan ini tepat selepas Maulana menerima pujian dari ketiga-tiga pengkritik. Bagi Adlin, persembahan Maulana secara keseluruhannya baik. Dari segi vokal, Maulana dipuji Aishah dan Aznil pula meminta para pengundi meletakkan Maulana di tempat yang sepatutnya kerana undian Maulana sering berada di kedudukan terbawah.

Apapun, konsert ini dimulakan dengan Nad dengan lagu Realiti Dewi (Alyah). Dalam persembahan Nad, Aznil menyifatkan gadis manis ini telah menunjukkan prestasi bagus dan sudah keluar dari kepompong ketakutan. Kemudian, Shahir muncul dengan lagu Inggeris bertajuk Always be My Baby (David Cook). Persembahannya agak baik tetapi Adlin berpendapat rasa cinta tersebut tidak dirasainya.

Tambah menarik, persembahan berani Alif dengan lagu Hanya Di Radio (Headwind) versi dangdut sangat menghiburkan penonton. Pun begitu, Adlin dan Aznil berharap Alif akan mengubah tone suaranya di minggu hadapan kerana masih sama walaupun telah menyanyikan pelbagai genre lagu.

Pelajar kegemaran, Adira seterusnya meneruskan konsert dengan lagu Biarlah (Nidji) dengan gimik 'terlentang' seakan Anum pada konsert tirai. Bagaimanapun nasihat dari Aishah dan Aznil adalah para pelajar tidak perlu 'overly done' dalam gimik setiap persembahan. Daus pula memikat dengan lagu Mirage (Pesawat) tetapi menghadapi masalah dari segi ekspresi. Malah, pada awal lagu, suara Daus agak kurang jelas sebutan liriknya sehingga menerima teguran dari Aishah.

Teruskanlah nyanyian asal Agnes Monica dipersembahkan Farina dengan reaksi senyumannya sepanjang lagu tersebut menimbulkan kekeliruan dikalangan pengkritik kerana lagu ini sepatutnya disampaikan dengan emosi bersedih. walaupun Aznil memuji kualiti vokal Farina .

Satu-satunya pelajar yang dikritik hebat malam ini adalah Iwan dengan lagu Kekasih Gelapku (Ungu). Adlin mengatakan ini adalah persembahan Iwan paling teruk setakat ini. Nasihat dari Aznil dan Aishah pula adalah supaya Iwan bermain dengan perasaan supaya dapat menyampaikan emosi yang betul ketika membuat persembahan.

Teruskan mengundi pelajar kegemaran anda dengan menaip AFUNDI <3/5/10> NAMA SINGKATAN PELAJAR & HANTAR ke 32999 dan nantikan keputusan siapa pelajar bakal tersingkir malam esok dalam Debaran AF jam 8.30 malam yang dikendalikan Sarimah Ibrahim.

~ Murai

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top