TARIKH 13 Mei meninggalkan kesan yang sangat mendalam di hati pasangan penyanyi veteran, Datuk A Rahman Hassan dan Datin Azizah Mohamad. Apabila diberitahu mengenai kematian sahabat baik mereka, penyanyi Datin Orchid Abdullah, pasangan ini terkilan kerana tidak dapat menatap wajahnya dan memberi penghormatan buat kali terakhir kerana komitmen lain yang perlu dipenuhi.

Apatah lagi, ketika itu mereka sudah berada di lapangan terbang untuk ke Perth, Australia bagi menjayakan persembahan anjuran Malay Bistari Women's Group di Maddington Community Hall. Selepas dua minggu berlalu, perasaan terkilan ini masih bersarang dan sukar dipadamkan dari ingatan.

Paling terkilan sekali tentunya Azizah yang sukar melupakan pengalaman pahit manis bersama Orchid. Ketika bertemunya pada majlis tahlil yang diadakan di Serambi Pak Engku di Wisma PKPS, Shah Alam Khamis lalu, tergambar kesedihannya apabila diajak bercerita mengenai Allahyarham Orchid. Malah, sesekali beliau cuba menahan sebak daripada menitiskan air mata.

Majlis tahlil anjuran Kumpulan Artis Wanita (Kawan) yang dipengerusi beliau dan Kelab Kebajikan Artis Pop Yeh Yeh yang dipengerusi suaminya, turut mengenang pemergian Aimi Jarr pada 10 Mei dan Mahyon Ismail yang meninggal pada 21 Mei, baru-baru ini.


Seramai 25 ahli Kawan serta rakan-rakan seangkatan ketiga-tiga penggiat seni yang hadir. Antaranya, Datuk Jeffrydin, Datuk M Daud Wahid, A Halim, J Sham, Maimunah Ahmad (Mak Jah), Dilla Hussain, Nassier Wahab, Zur Eda dan Lan A To Z.


Kata Azizah, Allahyarham Orchid menjadi naib presiden dalam Kawan. Apabila diberitahu kematiannya, dia memang kecewa sangat, namun mendoakan kesejahteraan buat Allahyarham dari jauh.

"Walau apa berlaku, persembahan tetap kena buat dan ketika buat persembahan, saya terus menangis sambil buat pengumuman kepada tetamu.

"Bagaimanapun seminggu sebelumnya, kami sempat melawat Orchid manakala Datuk Rahman sempat melawatnya selepas menziarahi kematian Aimi Jarr. Kami juga tak berkesempatan menziarah jenazah suami Orchid, Datuk Mokhtar Omar yang meninggal pada 16 Mei kerana tiba di Malaysia pada lewat malam," katanya.

Tambah Azizah, perasaan terkilan sedikit terubat kerana dapat melawat Orchid selama dua hari berturut-turut. Malah, dia dan suami sempat bergurau dengan Allahyarham Mokhtar kerana kebetulan dia juga dirawat di hospital sama iaitu Hospital Ampang.

Mengulas keakraban mereka, Azizah berkata, ketika berkahwin pada 1969
di Johor, Allahyarham Orchid dan Mokhtar menjadi pengapit.

"Saya dan Allahyarham memang dah macam adik-beradik. Kalau tak berjumpa, kami akan bertanya khabar menerusi telefon. Kami juga rapat dengan anggota keluarga dan anak-anak mereka.

"Jadi, apabila kelibat kami tiada semasa kematian emaknya, mereka tertanya-tanya di mana kami. Bila berjumpa anak bongsu Orchid, Nur Shafinaz (Eenaz), dia peluk saya sambil menangis dan bertanya di mana kami ketika itu.

"Saya pujuk Eenaz dengan buat-buat ketawa supaya tak nampak sangat kesedihan. Saya turut beri nasihat padanya dan minta mereka hubungi kami kalau perlukan apa-apa bantuan. Mereka perlu diberi semangat kerana bukan mudah untuk menghadapi kenyataan kehilangan insan tersayang dalam satu masa," katanya.

Rahman pula berkata, majlis sebegini sudah tiga kali diadakan dan pihaknya turut mengundang keluarga Aimi Jarr, Orchid dan Mahyon. Jemputan pula dibuat kepada rakan-rakan terdekat kerana Pak Engku yang juga mengusahakan Kuzie Katering, bersetuju dua hari sebelumnya biarpun perancangan dibuat pada saat akhir. Lokasi ini dipilih kerana rakan-rakan sudah tahu dan sering berkunjung ke sini.

Pak Engku atau nama sebenar, Raja Rosly Raja Mazlan bersetuju memberikan kerjasama kerana hubungan rapatnya dengan artis era 60-an. Tambah lagi Orchid memang rapat dengannya dan dia mempunyai kenangan tersendiri dengan Allahyarham.

"Orchid memang pandai buat laksa Johor dan sering memberinya kepada saya. Namun, saya tak sempat nak pulangkan bekas (tupperware) miliknya. Inilah menjadi kenangan abadi saya dengan Orchid kerana saya pun tak sempat melawatnya ketika sakit.

"Saya sebenarnya sering memberikan kerjasama terhadap penganjuran majlis sebegini dan sebelumnya pernah buat majlis tahlil untuk Datuk Sosilawati," jelasnya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top