AKSI hambar peserta Konsert Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) melanda kembali.
Biarpun lima peserta bersaing masih terselamat daripada penyingkiran persembahan yang dipancarkan secara langsung dari Studio 1, Astro Bukit Jalil, Sabtu lalu kurang menyengat.
Persembahan peserta yang diberi kebebasan memilih konsep dan pakaian dengan lagu disampaikan berdasarkan pilihan pelayar laman web AF mendapat maklum balas yang kurang memuaskan daripada pengkritik tetap seperti pelakon dan pengarah terkenal, Fauziah Ahmad Daud, Hattan dan Sham Kamikaze (juri jemputan).
Persoalan yang dinanti-nantikan sudah terjawab selepas Nur Shafinaz Jebat (Fina) diumumkan sebagai penerima imuniti oleh pengacara, Aznil Nawawi sebaik berakhirnya konsert. Fina memperoleh markah tertinggi yang diwakili 50 peratus daripada fakulti dan 50 SMS penonton.
Sekali gus menyaksikan Fina tidak perlu mengadakan persembahan di minggu
kesembilan sebaliknya membuat persediaan di final. Persaingan kini antara empat peserta Mohamad Azri Abdullah (Azri), Khairul Najmuddin Abu Samah (Erul), Hazama Ahmad Azmi (Hazama) dan Lenaber Haidir (Lena) untuk memburu tempat ke pentas akhir.
Pengetua AF9, Amy Search tetap memuji persembahan anak didiknya yang menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
"Walaupun mereka me-nyampaikan lagu berdasarkan kepada pilihan pelayar dan peminat, namun ada di antara mereka yang tidak terlalu terikat dengan konsep lagu. Ini menunjukkan kreativiti dan kemampuan seseorang artis itu.
"Pada saya komen pengkritik adalah perkara subjektif. Apa yang lebih penting peserta menunjukkan kesung-guhan dan peningkatan pada setiap minggu persembahan," katanya.
Mengenai imuniti yang diterima Fina pula, Amy memaklumkan dia tidak menyangka langsung sebaliknya tidak terkejut kerana sejak dari awal konsert, Fina boleh dikatakan antara peserta terbaik dalam program ini.
"Dia berhak menerima imuniti itu. Sejak dari awal konsert dia menunjukkan komitmen dan kegigihan yang tinggi. Memang tidak dinafikan dia antara peserta terbaik dalam program ini.
"Semua peserta mempunyai kemampuan dan kelebihan masing-masing. Kalau boleh saya mahu semua peserta beraksi di pentas final," kata Amy ketika ditemui selepas berakhirnya konsert itu.
Penonton dihiburkan dengan persembahan pembukaan daripada gabungan lima pelajar AF9 menerusi lagu rancak, I Gotta Feeling dan Bawaku Terbang.
Persembahan mingguan menerusi undian pula menyaksikan pembuka tirai Erul menyampaikan lagu Bunga Angkasa yang dipopularkan kumpulan Terra Rossa. Disusuli persembahan Lena menerusi lagu Kisah Hati (Alyah), Azri menyanyi lagu Luar Biasa (Shahir).
Tidak ketinggalan, persembahan Hazama dengan konsep tersendiri menerusi lagu Sendiri (May) dan Fina yang menyampaikan lagu Samudera (Nora). Turut beraksi sebagai artis jemputan di pentas itu ialah penyanyi remaja, Aizat yang menyampaikan lagu Years From Now.
Hazama masih mendahului dari segi pungutan SMS sebanyak 25 peratus diikuti Fina (21 peratus), Azri (19 peratus), manakala Erul dan Lena (19 peratus) selepas berakhirnya konsert minggu kelapan itu.
Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi memaklumkan konsert akhir AF9 dijangka berlangsung pada 12 Jun ini.
Bagaimanapun lokasi final akan dimaklumkan kemudian pada satu sidang media.
Serentak dengan itu satu program khas dirancang pihak penerbitan sebagai memeriahkan kemuncak akhir AF9.
Program berbentuk kesimpulan daripada Kenangan Afnil itu memberi peluang kepada peminat mengikuti pelbagai kisah menarik dan konsert khas membabitkan penyertaan bekas pelajar AF sepanjang musim pertama sehingga kesembilan.
0 ulasan:
Catat Ulasan