Namun, ada kalanya sesebuah perkahwinan itu berjalan begitu baik, tetapi disebabkan nafsu menghantui diri ia membawa kemusnahan. Terlajak perahu boleh berundur, namun terlajak perbuatan buruk padahnya.
Begitulah kisah dipaparkan minggu ini terhadap seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Su yang hilang segala-gala suami dan anak. Malah, bekas teman lelakinya juga menghilangkan diri, hanya tinggal dirinya terkontang-kanting dek kerana terlalu mengikuti gelora hatinya.
Su, berusia 32 tahun, setiausaha di sebuah syarikat swasta di utara menyesal apabila menuntut cerai daripada suami yang bergelar Zack. Semua bermula ketika Su menjalinkan semula cinta dengan bekas teman lelakinya. Hubungan Su dengan bekas kekasihnya yang dikenali sebagai Adam (bukan nama sebenar) tidak seindah yang diimpikan sebaik saja Zack menjatuhkan talak dua atas kemahuan Su sendiri.
"Saya hilang segala-galanya. Rupa-rupanya bekas kekasih tidak ikhlas dan hanya ingin membalas dendam kepada saya kerana dulu saya nodai cinta sucinya dan berkahwin dengan Zack.
"Silap saya menagih semula cinta bekas teman lelaki kerana sudah bosan dengan suami yang terlalu sibuk dengan kerjanya di pejabat dan kurang beri perhatian kepada saya serta anak. Malah, hubungan `intim' kami sebagai suami isteri semakin muram kerana dia kurang bijak `beraksi' seperti dulu. Saya jadikan seks sebagai alasan kami tidak lagi sefahaman," luahnya yang dikurniakan sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan, masing-masing berusia lapan dan lima tahun ketika berkongsi hidup dengan Zack.
Mengimbas kisah silam, Su menyambung cerita, sebelum berkahwin mereka tinggal serumah selama dua tahun dan sering melakukan hubungan terlarang dan pada ketika itu kehidupan seks mereka sangat hebat dan tidak membosankan.
Katanya, kehangatan `bermesra' menjadi semakin kendur selepas setahun berkahwin, mereka juga jarang `bersama' mungkin disebabkan Zack terlalu sibuk dengan tugasnya di pejabat.
Berikutan itu, jiwa Su meracau dan mula menjalinkan semula hubungan dengan Adam yang lebih lapan tahun jarak usia dengannya.
"Sebelum bertemu Zack, saya pernah bercinta dengan Adam. Tetapi hubungan kami terputus selepas saya bertemu Zack. Sementara Adam pula berkahwin dengan dua perempuan lain dan kedua-duanya tidak kekal.
"Sejak bercerai Adam mula menghubungi saya dan sering bercerita mengenai kebenciannya terhadap kedua-dua bekas isterinya. Memang pada awalnya saya cuba mengelak berjumpa Adam, tetapi selepas beberapa kali keluar bersama, akhirnya hubungan menjadi semakin intim dan cinta berputik kembali," katanya.
Perjalanan kisah cinta Su dan Adam berterusan dan semakin mekar tanpa pengetahuan Zack sehingga mereka terlanjur.
Pada masa sama, Su sering membezakan kehebatan Adam di ranjang berbanding Zack yang sering tewas lebih cepat ketika mengadakan hubungan kelamin. Akhirnya, Su mengambil keputusan untuk meminta cerai daripada Zack dan kerana ingin meneruskan hubungan dengan Adam.
"Bagaimanapun, lain pula yang berlaku, Adam sebenarnya bukan ingin menamatkan hubungan serius kami, sebaliknya dia hanya ingin membalas dendam kepada saya. Adam kemudian menghilangkan diri tanpa khabar berita dan langsung tidak menghubungi saya selepas seminggu di jatuhkan talak. Sudahlah hak penjagaan anak juga jatuh ke tangan suami, saya bagaikan hilang arah apabila dibiarkan Adam tanpa rasa kasihan," katanya yang penuh kesal atas apa yang berlaku kerana menuntut cerai daripada suami demi Adam.
Sehingga kini Su tidak dapat lagi mencari Adam yang sudah menukar nombor telefon bimbit dan difahamkan berhijrah ke luar negara atas urusan kerja. Kini, kehidupan Su agak hambar dan lebih banyak menghabiskan masa dengan rakan untuk mengurangkan tekanan.
Publication: BH
Date of publication: Jun 18, 2011
0 ulasan:
Catat Ulasan