Bersempena Program Siri Semarak Bangsawan 2012, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menyahut cabaran dengan mementaskan Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa yang bakal berlangsung di Panggung Bandaraya, Jalan Raja, Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 September ini.

Berskala kecil dan tidak setara untuk dibandingkan dengan filem, pun begitu JKKN menjanjikan sebuah pementasan hebat dan meninggalkan kesan di hati penonton.

Dibintangi Kumpulan Bangsawan Seri Kedah, Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa digarap berbeza daripada apa yang pernah dipertontonkan kepada umum sebelum ini.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa diarahkan oleh seorang pengarah yang juga tokoh bangsawan yang terkenal di utara tanah air, Morad Ibrahim dan iamengisahkan pengembaraan Baginda Merong Mahawangsa mencari Putera anak Raja Rom.

"Morad Ibrahim namanya cukup terkenal di kalangan penggiat teater bangsawan dan apabila tahun ini beliau mementaskan kisah epik Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa, pasti hasilnya cukup menarik.

"Selain bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa, terdapat beberapa lagi karya yang dipentaskan oleh pengarah teater bangsawan yang tidak kurang hebat.

"Kesemua teater yang dipentaskan kali ini, menjadi pengisian juga kesinambungan kepada program Siri Semarak Bangsawan yang mula diperkenalkan pada 2007. Usaha ini terus diperkasakan kerana kami mendapati sejak 2007 sampai sekarang kini hampir 50,000 orang penonton membanjiri Panggung Bandaraya bagi menyaksikan pementasan bangsawan.

"Manakala sebanyak 26 kumpulan berpeluang mementaskan 46 naskhah bangsawan. Rentetan daripada itu, program ini juga dilihat berjaya mengembalikan era kegemilangan seni bangsawan melalui kewujudan banyak kumpulan baru.Apa yang membanggakan adalah kebanyakannya dipelopori oleh generasi muda.

"JKKN percaya perkembangan ini adalah satu kejayaan kepada program penyemarakan bangsawan ini. Program Semarak Bangsawan 2012 berkonsepkan persembahan bangsawan oleh kumpulan teater yang masih aktif yang dipilih seluruh Malaysia," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top