Ulasan filem Aji Noh Motor

Sesiapa yang meminati cerita komedi ringan, bolehlah menonton filem ini. Walaupun santai, suntikan moral yang ingin disampaikan mudah difahami dan bukan sekadar hiburan semata-mata.

Namun, harus diperbaiki dari segi momentum cerita yang ada turun naiknya. Sepatutnya, 10 minit pertama adalah masa untuk menarik penonton tetapi dalam filem ini, permulaan cerita agak perlahan hingga menimbulkan rasa bosan.



Bagaimanapun, keadaan berubah pada babak seterusnya. Boleh dikatakan, kehadiran Noh (Zalif Sidek) yang khusyuk mendengar ceramah agama mula menarik perhatian dan membuat penonton ketawa.

Tidak ada masalah dari segi skrip kerana bahasa dan ayat yang digunakan sesuai dengan keadaan dalam filem itu seperti komunikasi antara adik beradik, dengan sahabat dan rakan-rakan rempit.

Pengarah yang peka dengan norma masyarakat yang kurang senang apabila agama seolah-olah dipersendakan, cukup dipuji. Dalam setiap perilaku yang boleh dianggap bakal menimbulkan kontroversi, Razif bijak mengatasinya dengan satu keadaan menunjukkan balasan Tuhan.

Babak itu boleh dilihat ketika dua rakan Aji, Eijal dan Sadam cuba membantu Aji yang ingin menunaikan impian Noh menunaikan haji. Kerana tidak berkemampuan, Eijal dan Sadan membina kaabah namun Aji membantah. Pada masa sama, dua orang sahabatnya itu dipanah petir sebagai balasan atas kesalahan mereka.

Keserasian antara Alex dan Zalif sebagai adik-beradik juga kelihatan 'natural'. Tidak rasa janggal apabila Noh mencium dahi adiknya ketika Aji menghantar adiknya ke surau kerana pada awal cerita, sudah menunjukkan ikatan mereka sangat kuat.

Razis juga cuba menampilkan realiti sebenar dalam masyarakat menerusi watak Haji Rodhi (Imuda) yang berkali-kali ke Makkah menunaikan Umrah dan Haji namun masih memandang rendah pada orang lain terutama Noh yang dianggap hanya tahu melakukan kerja haram.

Filem mengisahkan Aji yang sanggup melakukan apa saja demi adiknya mungkin bukan filem yang sangat menarik tetapi boleh dianggap satu kejayaan buat Razis yang pertama kali mengarah filem.

Ulasan Hellinie Sina

FILEM: Aji Noh Motor

ARAHAN: Muhamad Razif Abdul Rashid (Ajiboi)

PELAKON: Zalif Sidek, Alex Yanz, Wawa Zainal, Eizlan Yusof, Nadia Mustapa, Imuda, Boy Iman, Shafiez, Eddy Rauf

GENRE: Islamik Komedi

TAYANGAN: 20 September 2012

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top