Grup teater Kelab Teja yang diasaskan oleh pasangan suami isteri, Zazly Baginda dan Adira Wahinnur akan mementaskan teater bangsawan berjudul Sumpahan Lantara Bijaya pada 12 hingga 14 Oktober di Panggung Bandaraya DBKL, pada jam 8.30 malam.

Barisan pelakon teater ini antaranya ialah Qhaud AF sebagai Putera Herma Alam, Zazly Baginda (Raja Sultan Thaqif), Roydi Rokidy (Putera Muda Amsyar Malik), Puteri Noor Faten Farah Aroha Ibrahim (Puteri Sahira), Joomiah Abu Bakar (Ratu Raja Latifah) dan Salman Al Farisi (Raja Kenchala Puru).

"Genre bangsawan bukan asing buat saya kerana pernah mementaskannya di Kuantan. Bagaimanapun di Kuala Lumpur ia kali pertama diadakan dan membariskan ramai mula baru termasuk bekas pelajar Akademi Fantasia (AF).Pembabitan mereka berlaku secara kebetulan kerana saya sebenarnya buka penyertaan kepada semua individu terutama bakat-bakat baru yang berminat dengan dunia teater.Bagaimanapun apabila sesi 'casting' diadakan, bekas pelajar AF juga datang dan kami tak boleh menolak hasrat mereka untuk menambah ilmu dalam lakonan dan menjadikan teater sebagai 'platform' awal sebelum melangkah ke peringkat seterusnya," kata Adira yang turut bertindak sebagai pengarah teater ini.

Tambah Adira, cerita ini adalah naskhah baru dan skripnya digarap oleh Roydy Anuar Eddy Sauly dan diolah semula oleh dia sendiri agar lebih menarik. Sesi latihan sudah dimulakan sejak awal Ogos dan dia percaya mereka dapat memberikan lakonan terbaik.

"Cabaran yang saya hadapi hanyalah dari segi komitmen pelakon kerana ada di antara mereka masih belajar, bekerja dan terbabit dengan penggambaran drama. Justeru saya terpaksa pilih masa yang sesuai dan latihan dibuat di Taman Budaya Kuala Lumpur pada Jumaat hingga Ahad dari petang hingga tengah malam.

"Saya nampak kesungguhan mereka ketika ini dan tahu mereka takkan mengecewakan semua yang hadir. Cabaran lain yang dihadapi ialah dari segi bajet yang diperuntukkan oleh kementerian.

"Jumlahnya tak besar. Jadi kami kena pandai agihkan untuk bayaran pelakon, props, kostum, pemuzik, tenaga produksi dan lain-lain. Namun saya beruntung kerana kebanyakan pelakon saya berlakon kerana minat mendalam dalam teater dan bukannya melihat kepada bayaran. Matlamat mereka sebenarnya lebih kepada mengasah bakat lakonan.

"Saya berharap peminat teater bangsawan hadir menyaksikan Sumpahan Lantara Bijaya nanti. Saya percaya mereka takkan menyesal datang dan akan terhibur dengan persembahan semua artis. Tiket yang dikenakan juga sangat berpatutan iaitu cuma RM5.00," katanya.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top