MIG Production mengambil inisiatif menerbitkan filem Bini-biniku Gangster dalam bentuk drama bersiri berjudul Bini-Bini Perkasa. Bini-Bini Perkasa siri ini telah pun bersiaran buat kali pertama di Slot Akasia, TV3, Isnin lalu.

Dibintangi Feroz Khan, Yana Samsuddin dan Intan Ladyana, Bini-Bini Perkasa yang digarap dengan elemen aksi komedi dilihat mampu mencetuskan fenomena tersendiri.

Bini-Bini Perkasa

Pengarahnya, Ismail Bob Hashim atau lebih mesra dipanggil Bob, berkata, dia juga yakin drama 13 episod ini mampu menarik perhatian penonton.

Masih mengekalkan jalan cerita asal dan watak yang ada dalam filem tersebut, Ismail berkata, terdapat beberapa 'rencah' lain yang ditambah bagi menghasilkan kelainan.

"Menerusi drama ini, kami masih mengekalkan jalan cerita yang diadaptasi daripada filem asalnya. Cuma apa yang membezakan filem dan drama ini adalah perjalanan watak yang lebih terperinci.

"Jika dalam filem watak utama 'Manja' bermula sebagai seorang isteri kepada Eddie, tetapi menerusi drama ini kami memulakan watak itu sebelum dia mendirikan rumah tangga," katanya yang turut menambah beberapa karakter untuk menjadikan drama ini menarik.

Berkongsi cabaran dan pengalaman dalam mengarahkan drama yang masih lagi berada dalam proses pembikinannya, Bob mengatakan menerusi drama ini, dia terpaksa menapis beberapa babak memandangkan ia adalah untuk tontonan seisi keluarga.

Menurutnya, terdapat beberapa aksi pergaduhan yang ganas terpaksa diubah sedikit supaya ianya tidak terlalu menonjol sehingga mempengaruhi penonton .

"Selain aksi yang terdapat dalam filem, tajuk filem juga terpaksa ditukar mengikut kesesuaian supaya ia tidak meninggalkan kesan negatif kepada penonton.

"Walaupun terdapat beberapa perkara yang terpaksa diubah, namun objektif utamanya masih lagi kekal," jelasnya.

Bos turut mengulas mengenai watak 'Hairi' yang sebelum ini diterajui pelakon popular, Shaheizy Sam.

"Sam sangat sibuk. Jadi kami sepakat memilih Feroz Khan kerana dia dilihat mempunyai cara lakonan yang tersendiri dan tidak terikat dengan lakonan Sam.

"Sepanjang bekerjasama, Feroz sememangnya tidak menghampakan. Sebagai pengarah, saya kagum melihat dia melakonkan watak Eddie dengan caranya yang tersendiri.

"Saya juga tidak mempunyai masalah dengan pelakon lain yang terlibat. Saya amat berpuas hati dengan komitmen mereka dalam menghidupkan watak masing-masing," ujarnya.

Yana rela dimadukan

Kehebatan Yana Shamsudin dalam lakonannya, tidak perlu dipertikaikan.

Mengakui teruja kembali membintangi watak Manja di kaca TV, Yana mengharapkan lakonannya kali ini dapat memuaskan hati peminatnya.

"Saya sudah biasa dengan filem dan drama aksi. Jadi tidak ada masalah besar untuk saya kembali sebagai Manja. Malah saya juga gembira dapat bekerjasama dengan Feroz dan Intan," katanya.

Bercerita mengenai wataknya yang bermadu, Yana berkata, dia rela dimadukan.

"Untuk drama bolehlah, Tapi kalau realiti, minta dijauhkan," ujar Yana.

Bini-Bini Perkasa mengisahkan Manja yang berkahwin dengan Eddie, lelaki berjiwa sensitif. Rumah tangga mereka mula bergolak apabila Din Unta cuba membunuh ayah Manja untuk merampas kuasa dan dia terpaksa campur tangan.

Namun berdepan masalah kemandulan dan terpaksa melamar Riana untuk menjadi isteri kedua suaminya. Manja berharap Riana mampu memberi zuriat kepada Hairi dan menyelamatkan kemelut perkahwinan mereka.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top