Filem Bait in 3D mula ditayangkan di pawagam Malaysia mulai hari ini (20 September). Rasa cemas memang dan dirasai ketika menyaksikan sesi previu filem terbabit di GSC, One Utama, Damansara, baru-baru ini.

Ada unsur lucu dan sesekali kedengaran orang tergamam dan menyumpah! Untuk menceritakannya sekali gus tidak sama seperti menontonnya, jadi lebih baik ke pawagam dan rasai sendiri pengalaman baru bersama jerung.

Filem selama 90 minit terbitan syarikat produksi Australia, Darclight dan Blackmagic Design Production, arahan Kimble Rendall, mengenengahkan garapan baru tidak pernah difikirkan selepas tragedi tsunami melanda.

Garapan Bait dibangunkan oleh Russell Mulcahy dan Gary Hamilton bagi filem genre berkonsep tinggi menceritakan serangan jerung. Apa menariknya, Bait berkisar mengenai cara kehidupan semula jadi manusia untuk survival apabila berdepan cabaran yang mengancam nyawa.

Visual jerung dalam Bait juga menarik dan kelihatan hidup terutamanya aksi jerung membuat serangan ganas dengan barisan gigi menggerunkan.

Filem ini pula membariskan pelakon berpengalaman, berkarakter matang dan nada percakapan tegas. Ia membariskan lakonan Xavier Samuel yang pernah membintangi The Twilight Saga serta Julian McMahon, Sharni Vinson, Phoebe Tonkin dan ramai lagi.

Ketua Produksi Frekuensi Sangat Tinggi (VHF) Blackmagic, Mike Parsons berkata, cabaran terbesar produksi adalah menyiapkan filem ini memberi karakter terhadap jerung.

"Bagi kesan visual, Bait perlu menggambarkan tindakan, animasi dan ekspresi semula jadi jerung. Binatang ini perlu beraksi sepanjang masa dan dalam realiti, mereka hanya akan mencari mangsa selepas mengelilingi atau bergerak melepasi 30 atau 40 orang. Kami cuba menepati karakter realiti sebenar jerung mencari mangsa," katanya.

Tugasan mengarah diberi kepada Rendall kerana beliau pernah bekerjasama menghasilkan filem terbesar Australia seperti The Matrix Trilogy, The Knowing, Ghost Rider dan Underworld: Rise Of The Lycans.

Rendall sebaik menerima tugasan itu, baru menyiapkan filem The Killer Elite di Melbourne.

"Saya berminat dengan genre ini. Saya suka membuat filem yang sudah ada penonton. Sejak 10 tahun lalu, saya banyak bekerja dengan sistem Hollywood yang mengkhusus dalam kesan khas. Jadi, saya mahu membawa balik kepakaran itu dan dimanfaatkan di Australia," katanya.

Katanya, dia tidak berminat mengarahkan filem seram.

"Saya tertarik dengan garapan dan teknologi Bait. Filem ini ada 13 watak utama, mereka perlu membawa filem ini ke tahap perasaan bersifat antarabangsa. Pelakon mesti sempurna. Saya mementingkan pereka produksi berkualiti tinggi memandangkan Bait berkisar dalam pasar raya dan tempat letak kereta dilanda banjir.

"Kesimpulannya, kami perlu mendapatkan jalan cerita bagus, pelakon yang bagus dan mendapatkan kru bekerja yang betul. Sewaktu berbincang dengan produksi, ada bertanya bagaimana hendak buat semua itu memandangkan keseluruhan filem ini dirakam dalam bentuk 3D? Kita ambil satu demi satu dan fokus," katanya.

Bait mengisahkan mengenai peristiwa dilalui oleh pengunjung pusat beli-belah bawah tanah di sebuah bandar di tepi pantai yang dilanda tsunami.

Mereka terperangkap dalam pasar raya tanpa menyedari mereka diburu binatang 'gila' mencari mangsa untuk dibaham. Bukan saja terpaksa berdepan risiko lemas, tetapi juga bertentang dengan gigi dan nafsu dahagakan darah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top