Amy Erni, mungkin nama itu tidak segah penyanyi dangdut seangkatannya, Sheeda, Haiza dan Shikin.
Namun, ia bukanlah halangan besar untuk pemilik nama sebenar, Surkirni Sikandar Batcha, 36, untuk terus memperjuangkan karier seninya.
Berkecimpung dalam industri seni sejak era 90-an sebagai penyanyi dangdut, langkah Amy tidak pernah terhenti walaupun sudah bertudung.
Bagi Amy, imej Muslimah yang dibawanya kini bukanlah ‘penamat’ dunia seninya.
“Alhamdulillah, kini saya semakin selesa dengan penampilan bertudung dan menutup aurat. Pun begitu, minat saya dalam seni nyanyian masih belum pudar.
“Saya masih menerima tawaran persembahan daripada pelbagai pihak. Namun, dalam masa yang sama, saya harus menjaga tata tertib sebagai orang Islam.
“Bagi saya, tidak salah untuk terus menyanyi asalkan kita tahu membezakan antara baik dan buruk. Saya masih lagi mengekalkan irama dangdut, namun cara lebih sopan dan beradab,” katanya yang pernah popular dengan lagu Terlena.
Ramah orangnya, Amy turut berkongsi peristiwa yang menimpa dirinya baru-baru ini sehingga dia membuat keputusan untuk berhijrah.
“Dalam dua bulan lalu, saya didatangi mimpi dan bayangan mengenai seksaan ALLAH SWT di akhirat. Dalam pada itu, datang pula cahaya terang di sebelahnya.
“Saya keliru untuk memilih mana satu yang harus saya pergi, akhirnya saya lari ke cahaya itu. Sebelum itu, saya didatangi dua makhluk yang berbeza, satu makhluk berwarna hitam dan satu lagi seorang ulama.
“Akhirnya, saya membuat keputusan untuk berhijrah kerana sudah tiba masanya untuk saya berubah. Saya bersyukur kerana diberi petunjuk dan hidayah seperti itu daripada ALLAH SWT,” katanya.
Mengimbau sejarah penglibatannya dalam industri, Amy memberitahu dia mula berjinak dalam seni suara sejak di bangku sekolah lagi.
Apabila tamat persekolahan, Amy mula mengasah bakatnya secara serius di sebuah kelab malam di ibu kota.
“Pada tahun 1993, saya ditawarkan untuk merakam album pertama yang berbentuk kompilasi. Dalam album Amy Surkirni, saya masih belum ada lagu sendiri.
“Sebelum berpeluang menghasilkan album, saya banyak menimba pengalaman dengan merantau di beberapa kelab malam yang lain.
“Pada tahun 1999, saya tampil dengan album kedua, Terlena Gebyar Dangdut, yang memuatkan 11 lagu. Sejak itulah rezeki saya mula bertambah dan semakin dikenali,” katanya.
Album itu turut memuatkan lagu seperti Jangan Tinggalkan Daku, Gebyar Dangdut, Terlena, Twiss Dangdut, Serba OK, Disko Dangdut, Restui Cinta, Pengubat Rindu, Curang dan Apa Khabar.
Namun, nasib tidak menyebelahi dirinya apabila beberapa tahun selepas itu, dia diserang sakit misteri sehingga terpaksa berhenti daripada bidang nyanyian.
“Setelah sembuh, saya kembali bekerja di kelab malam di Wilayah Kompleks dan pada tahun 2009, saya ditawarkan bekerja di Club 8 sebagai pengurus di sana.
“Pada 2011, saya beralih angin ke Wawa Club dan tidak lama selepas itu, saya berhenti sehinggalah sekarang. Kini, saya hanya menumpukan perhatian pada undangan persembahan sahaja,” katanya.
Walaupun lebih 10 tahun tidak menghasilkan album, namun kemunculan semula Amy turut disertakan dengan dua single terbaru.
Jelas Amy, single itu dihasilkan sebelum dia berhijrah.
“Dua single saya, Itu Pasal dan Hangatnya Cinta, telah siap dan kini dalam proses untuk mencari pihak edaran untuk menerbitkan single itu.
“Walaupun masih mengekalkan irama dangdut, ia masih boleh dibawakan dengan cara lain. Walaupun tanpa gelek, saya yakin, melodinya mampu menarik minat pendengar,” katanya.
Dua single terbaru itu mendapat sentuhan daripada tiga komposer, Ajim, Logan dan Oja.
0 ulasan:
Catat Ulasan