Sharifah Shahora antara penggiat seni yang berjaya bertahan hingga ke hari ini. Meskipun bukan dalam senarai pelakon kelas A, aktres ini mampu tersenyum bangga apabila tawaran berlakon tidak pernah putus.

Sering diberi kepercayaan menghidupkan watak komedi, dia yang mesra disapa Shora juga mampu mempelbagaikan penjiwaan, termasuk watak berat dan air mata.

Melangsungkan perkahwinan dengan pengarah sinematografi, Raja Mukhriz pada 26 Oktober 2008, pasangan romantik ini saling menyokong, bahkan sama-sama membangunkan syarikat produksi, Eleven Field.

Ikuti wawancara SELEBRITI bersama aktres ini yang rancak berkongsi perkembangan terbaru kanvas seninya selain mengupas rahsia mampu bertahan lama dalam industri, tanggapan segelintir pihak dia artis rasmi Cube Film serta penerimaannya terhadap kemunculan pendatang baru yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Anda antara aktres senior yang masih laris, malah wajah anda tak putus-putus muncul di kaca TV. Bagaimana anda mengekalkan prestasi itu?

Alhamdulillah. Saya bersyukur, pada usia begini, saya masih ada dalam industri dan kerja tak putus-putus. Berada dalam bidang ini, naik turun itu perkara biasa.

Saya sudah lama dalam industri dan pernah melalui pelbagai kesukaran, lebih-lebih lagi ketika zaman kemelesetan ekonomi. Ketika itu, susah sungguh nak cari makan.

Bagaimanapun, berkat kesabaran dan tidak kenal erti jemu, saya kini boleh tarik nafas lega. Biarpun bukan kategori popular, tapi kerja tak pernah putus. Itu paling penting bagi saya.

Bila ada kerja, adalah pendapatan. Untuk bertahan dalam bidang ini, kena tingkatkan usaha dan berani cuba sesuatu yang baru. Jangan statik dan kita juga kena jujur.

Saya berterima kasih dengan Michael Ang kerana naikkan nama saya. Dia korek bakat saya dengan mempelbagaikan watak saya. Sejak itu, ada peningkatan dalam karier. Saya juga berterima kasih dengan teman penerbit dan pengarah lain yang percayakan bakat saya.

Aktres Sharifah Shahora

Sebut Micheal Ang, ramai melabelkan anda `kroni' penerbit dan pengarah itu. Mungkin kerana kebanyakan drama dan telefilem terbitannya pasti ada wajah anda. Komen?

Bukan kroni atau artis rasmi, tapi kami serasi. Kami mula rapat sejak saya menjayakan telefilem Pontianak Kampung Batu dan Prebet Jamilah.

Dia pengarah dan sahabat yang baik. Kalau ada projek baru, dia akan cakap awal, malah minta saya masukkan dalam jadual walaupun projek itu lambat lagi.

Kalau sudah ada ketetapan, tidak ada alasan untuk saya tolak. Bagi saya, itu rezeki. Dengan dia, saya boleh cakap apa saja, malah dia sangat terbuka dalam menerima pendapat.

Jujur, kalau ditawarkan satu babak sekali pun, saya akan ambil sebab dia sentiasa ingat kawan. Pun begitu, tak bermakna saya tidak berminat bekerja dengan pengarah lain.

Kalau ada tawaran dan ketika itu tidak terikat dengan mana-mana penggambaran, pasti saya terima. Berlakon itu kerja saya, malah saya tiada masalah bekerja dengan mana-mana pengarah, waima orangnya masih hijau dalam industri.

Apa projek terbaru anda?

Saya menjayakan penggambaran drama 13 episod terbitan Suhan Movies, Mimpi Sinderella. Drama yang bakal menghiasi slot Lestari TV3 ini diarahkan Azmi Hatta.

Seperti biasa, saya bawa watak hitam sebagai ibu tiri yang menggunakan anak tiri untuk hidup mewah. Drama ini turut dibintangi Zarina Zainoordin, Mahmud Ali Basha, Aida Khalida dan beberapa pelakon muda.

Ada beberapa projek lagi, tapi tidak manis untuk saya ulas kerana belum ada hitam putih.

Dalam masa sama, saya membantu suami membangunkan semula syarikat produksi kami, Eleven Field. Sebelum ini, kami lebih fokuskan perhatian menerbitkan video korporat untuk syarikat dan universiti.

Bukan tidak teringin menghasilkan drama atau telefilem, tetapi setakat ini belum ada rezeki. Banyak kertas cadangan kami usulkan kepada stesen TV, tetapi belum ada rezeki.

Sedih juga bila tidak diberi peluang, walhal kami sudah lama dalam industri, sedangkan orang luar senang-senang saja dapat. Sepatutnya, peluang lebih diberikan kepada mereka yang sudah ada dalam bidang ini.

Sebelum ini, anda dan suami pernah suarakan keinginan menerbitkan filem Rangsang, tetapi hingga kini projek sulung itu belum bermula. Apa sudah jadi?

Hajat itu tidak kesampaian tetapi selepas skripnya dirombak, Tayangan Unggul berminat menerbitkan filem itu yang judulnya ditukar kepada Naga.

Suami memang teruja mengarah filem pertamanya dan sebagai isteri, saya berkongsi rasa itu. Ia filem fiksyen komik. Saya mahu berlakon dalam filem ini, tetapi suami tidak izinkan kerana mahu cari muka baru dan saya membantunya di belakang tabir.

Biarpun teringin, saya tidak kecil hati. Saya tahu dia mahukan yang terbaik dan saya akan terus menyokong usaha kerasnya.

Saya tidak sabar-sabar mahu melihat hasil kerja Mukhriz dan berharap percubaan ini membuka mata banyak pihak terhadap kemampuannya. Mudah-mudahan projek ini berjalan lancar.

Bagaimana dengan bisnes Fiedra Shahora yang anda usahakan?

Alhamdulillah, sudah setahun kedai saya beroperasi di pusat beli-belah Axis Atrium, Ampang. Setakat ini, saya ada pelanggan tetap dan ramai pelanggan baru. Kedai saya menawarkan pakaian dalam berkualiti dengan harga yang sangat berpatutan.

Sebelum ini, saya pernah usahakan pelbagai bisnes, malah pernah buka salun, tetapi yang ini nampaknya lebih diterima. Kalau nak ikutkan, ramai artis berniaga dan saya kena cari kelainan jika mahu pergi jauh dalam bidang ini.

Oleh itu, saya memilih bisnes yang jarang orang usahakan iaitu kedai pakaian dalam. Selain datang ke kedai, pelanggan boleh membeli pakaian dalam di laman sosial facebook milik saya iaitu www.facebook/sharifah shahora.

Apa pandangan anda terhadap pelakon baru dan bagaimana penerimaan anda?

Bagi saya, mereka bertuah kerana pada era ini ada banyak pilihan stesen TV yang menawarkan pelbagai slot. Peluang mereka lebih banyak, tidak hairan mereka cepat naik dan dikenali.

Saya seronok dengan kehadiran wajah baru. Makin ramai pelakon, makin meriahlah industri. Dulu saya panggil pelakon senior kakak, sekarang orang panggil saya kakak, malah ada yang panggil saya `auntie'.

Peralihan itu memberi dimensi baru dalam kerjaya saya. Kalau dulu jadi orang muda, sekarang pegang watak matang, termasuk ibu, janda dan anak dara tua.

Saya tidak kisah dan terima dengan hati terbuka. Bukan selama-lamanya kita muda, kelakar pula kalau pada usia begini bawa watak anak remaja. Memang tak kena langsung... (ketawa).

Oleh Shakilawati Abd Rahman
Sumber: Metro Ahad

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top