Kempen Kembara Suci tahun ini bersiaran secara langsung setiap hari mulai 12 hingga 29 Oktober 2012 melalui program Labaikallah pada setiap malam. Rancangan setengah jam ini akan menyediakan liputan bagi semua laporan berita dikemas kini setiap 24 jam.
Penonton TV AlHijrah akan dapat mengikuti liputan harian Kembara Suci yang dijangka membabitkan pergerakan 28,000 umat Islam dari Malaysia menyertai kira-kira empat jemaah berwukuf di Arafah pada 26 Oktober 2012.
Sebagai persiapan bagi memastikan kempen Kembara Suci lancar, TV AlHijrah menghantar sembilan krew termasuk tiga hos popular untuk melaksanakan kerja penyediaan dan penyampaian liputan secara langsung setiap hari.
" Kami akan memberikan yang terbaik, lengkap dan menyeluruh supaya penonton tidak tercicir sebarang maklumat penting berhubung musim haji tahun ini," kata, Pengurus Hal Ehwal Semasa dan Penerbit Eksekutif TV AlHijrah, Syirfan Indra Mitra Surya.
Menerusi gabungan teknologi hasil kerjasama dengan Gulf International Office (GIO) serta kesan kerjasama antara TV AlHijrah dan semua televisyen rasmi milik Arab Saudi, Kembara Suci akan menjadi laporan berteknologi tinggi, bermaklumat dan terkini.
"Tahun lalu TV AlHijrah menjadi saluran pertama menyiarkan khutbah haji secara langsung di Arafah dan, insyaAllah kami akan meneruskan liputan ini sebagai tradisi musim haji di saluran kami," kata Syirfan lagi.
Program Labbaikallah akan dihoskan oleh pengacara popular, Ustaz Don Danial Don Biyajid, dengan fokus menyampaikan perkembangan semasa aktiviti mengerjakan haji.
Selain Don Danial pengacara program, Isu Akidah iaitu Ustaz Syahrul Faiezi akan turut membantu dengan menyediakan kapsul jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
"Kapsul hari ini bersiaran selama tiga dan akan disiarkan secara langsung antara tiga hingga lima kali sehari," tambah Syirfan lagi.
Kapsul ini akan menjadi kemas kini dari awal pagi hingga tengah malam bagi membolehkan penonton melihat semua laporan terkini di Tanah Suci.
Krew TV AlHijrah berangkat ke Makkah pada 15 September dan akan berada selama 60 hari di sana.
- Telefilem Aku Bukan Haji
Menampilkan Asyraf Muslim sebagai pelakon utama dibawakan istimewa oleh TV AlHijrah sempena Aidiladha tahun ini. Kebanyakan daripada penggambaran di Makkah. Aku Bukan Haji mengisahkan pemuda yang terdesak untuk menyelamatkan nyawa bapanya sehingga sanggup mencuri duit simpanan seorang bakal haji hingga bakal haji itu meninggal dunia akibat serangan jantung. Pemuda itu cuba menebus dosanya kerana menyebabkan mangsa meninggal dunia sebelum sempat mengerjakan haji.
Selain Ashraf Muslim sebagai watak utama telefilem ini juga turut dijayakan oleh Fauziah Nawi, Wan Hanafi Su dan ramai lagi. Telefilem ini diarahkan oleh Mohd Hitler Zami dan skrip pula hasil karya Zabidi Mohamed.
- BERITA AlHijrah
Kempen Kembara Suci turut bersiaran dalam berita AlHijrah melalui laporan wartawan, Adi Akmal Sehrom yang berada di Makkah selama dua bulan. Adi Akmal akan menyediakan berita terperinci, terkini, serta lengkap sesuai dengan matlamat berita TV AlHijrah menjadi pemangkin kepada kempen Kembara Suci tahun ini.
Berita AlHijrah bersiaran setiap hari jam 8 malam dan jangan lupa bersama Adi Akmal dan ikuti pakej yang disediakan setiap hari dari Makkah.
- Kapsul Kembara Suci
Ustaz Shahrul Faiezi akan aktif bergerak disekitar Kota Makkah untuk mendapatkan laporan terkini 28,000 jemaah Malaysia di Tanah Suci.
Kapsul berdurasi 3 hingga 5 minit ini akan mula bersiaran seawal 6 pagi hingga 12 tengah malam dengan purata 3 hingga 5 laporan sehari.
Kapsul ini akan mula bersiaran sebaik sahaja jemaah Malaysia tiba di Arab Saudi dan laporan kapsul ini akan berakhir pada 26 Oktober nanti.
0 ulasan:
Catat Ulasan