Anak tunggal vokalis dan gitaris kumpulan rock Old Automatic Garbage (OAG), Radhi, nyaris lemas apabila tenggelam dipercayai beberapa minit di dalam kolam sedalam 2.44 meter di rumah neneknya di Jalan 222, Petaling Jaya kelmarin.

Kejadian mencemaskan pukul 10.45 pagi itu berlaku apabila Mohd. Rifdhi Muslim, 3, dikatakan hendak bermain kapal di kolam tersebut tanpa disedari oleh mak cik dan tiga orang pembantu rumah neneknya.

Kanak-kanak itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai kerana terdapat jangkitan kuman pada paru-parunya kesan terminum air kolam terlalu banyak.

Seorang pembantu rumahnya yang dikenali sebagai Nor, 28, berkata, sebelum kejadian itu, dia dan dua lagi pembantu rumah lain sedang membersihkan bilik air di tingkat atas, manakala Rifdhi sedang leka menonton televisyen.

Turut berada di rumah ketika itu ialah mak cik Rifdhi, Syarul Noorakila Sharif, 21, dan neneknya, Nik Rohani Nik Hussain, 57.

"Selepas selesai membersihkan bilik air, saya dan dua rakan pembantu rumah masuk ke dalam bilik kami sebelum keluar semula, tetapi hairan mendapati Rifdhi tiada di depan televisyen.

"Kami mula panik dan mencarinya di seluruh rumah lalu bertanyakan kepada Syarul Noor Akila yang ketika itu berada di dalam kereta untuk ke tempat kerjanya," katanya ketika ditemui di Hospital Pantai di sini semalam.

Menurutnya, mereka bertambah panik apabila Syarul Noor Akila menyatakan Rifdhi tidak bersamanya sebelum mereka bergegas ke kolam renang untuk mencarinya.

"Semasa di kolam, saya ternampak Rifdhi berada di dasar kolam dalam keadaan tertiarap di kedalaman 0.91 meter.

"Saya memanggil Syarul Noor Akila untuk menyelam menyelamat Rifdhi," kata beliau.

Oleh TURMADZI MADUN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top