Atas sebab itu, Abdul Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda di kalangan peminat, cukup terasa kehilangan wanita yang pernah bergelar suri di hatinya itu apabila Rozalina menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles Ampang, kira-kira jam 5 petang Selasa lalu.
Bekas isteri pelakon, pelawak, pelukis dan kartunis terkenal itu meninggal dunia akibat penyakit barah payu dara yang dihidapi sejak beberapa ketika.
Kanser yang sudah pun sampai ke tahap empat itu nyata bukan lawan mudah buat Rozalina.
Sejak sebulan lebih yang lalu, kesakitannya sudah tidak dapat dibendung. Ketika itu juga barulah berita buruk itu mula dihidu.
"Arwah seorang yang kuat menyimpan rahsia. Adik-beradiknya sendiri turut mengakui beliau seorang yang tidak suka berkongsi derita bersama orang lain.
"Arwah memang tidak mahu orang lain mengetahui kesakitan yang dialami. Saya sendiri tidak banyak mengetahui mengenai keadaan penyakitnya itu. Jika boleh, dia tidak mahu pun sesiapa melihat kesan penyakit yang dihidapinya.
"Semestinya saya amat terasa dengan kehilangan Rozalina, apatah lagi kami pernah hidup bersama," kata Imuda penuh kesayuan, tatkala Hip menghubunginya kira-kira sejam selepas Rozalina kembali ke pangkuan Yang Maha Esa.
Bersama-samanya ketika itu ialah keluarga terdekat bekas isterinya, serta dua anak mereka - Raehana, 14, dan Mohd Raezal, 8.
"Anak-anak kami nampak tenang, tetapi saya tahu sudah tentu kedua-duanya amat bersedih dengan pemergian ibu mereka," kata Imuda yang akan mengadakan majlis tahlil secara bersama-sama dengan keluarga baru Rozalina di Ampang.
Katanya, selepas berpisah, kedua-dua anaknya tinggal bersama ibu mereka yang kemudiannya berkahwin semula. Begitupun, hubungan kekeluargaan mereka tidak pernah putus. Imuda dan Rozalina sendiri kekal sebagai sahabat, demi anak-anak yang kian membesar.
Jenazah Rozalina dikebumikan di Ampang Jaya, keesokannya, berdekatan dengan kediaman keluarga baru wanita itu.
Ditanya apakah arwah sempat berpesan sesuatu kepadanya sebelum menghembuskan nafas terakhir, Imuda berkata, Rozalina sudah pun berada dalam keadaan tenat sewaktu dia tiba di hospital berkenaan, pagi itu.
Imuda dan Rozalina berkahwin pada November 1994 selepas lebih setahun berkenalan.
0 ulasan:
Catat Ulasan