Benarlah kata orang kuasa cinta mampu membuatkan seseorang insan itu kuat. Malah meskipun cinta itu terhalang namun sekiranya hati sudah sayang, pastinya lautan api sanggup diredahi.
Demikianlah juga penangan cinta yang dialami oleh aktres popular, Rita Rudaini, 32 bersama pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak, 21.
Selama tiga tahun menyulam cinta dan menerima pelbagai rintangan menyebabkan Aidil mengambil keputusan untuk berkahwin bersama kekasih hati tersayang di Songkhla, Thailand pada 25 Februari lalu.
Malah tindakan jejaka berusia 21 tahun itu dikatakan telah mencalar hati keluarganya yang dikatakan tidak mengetahui akan perkahwinan tersebut.
Mungkin khalayak boleh membuat pelbagai spekulasi berkaitan cerita cinta mereka. Namun hakikat sebenar hanya pasangan tersebut sahaja yang mengerti.
Pohon lelaki ini ketika ditemui pada sidang media khas yang diadakan di Hotel Crown Princess, Kuala Lumpur baru-baru ini, ada sebab mengapa dia mengajak Rita berkahwin secara rahsia. Malah kata Aidil biarlah perkara itu menjadi rahsia antara dia dan isterinya.
Enggan mengeruhkan keadaan dengan membuka semula cerita itu dengan lebih lanjut jelas Aidil, Rita memiliki ciri-ciri wanita yang diingininya.
“Saya terpikat dengan dia kerana apa yang saya mahu daripada seorang wanita ada pada dia. Sejak mula berkawan dengan dia dalam hati saya sering berkata-kata dialah wanita yang saya cari,” katanya dalam nada yang lembut sambil memegang erat tangan isterinya yang telah pun mengandung dua bulan.
Sambung Aidil, selama tiga tahun menyulam cinta sememangnya pelbagai duri dan onak cinta dialami oleh mereka berdua.
Namun berkat kesabaran dan tabah menghadapi semuanya berdua menyebabkan cinta mereka akhirnya bersatu.
Meskipun perkahwinan itu tidak diketahui oleh keluarganya, terang anak keenam daripada tujuh beradik ini, dia yakin dengan keputusannya itu.
“Saya tak mahu kehilangan dia dan mahu yang terbaik untuk kami. Jadi saya yang mengambil keputusan untuk menghadapi segala rintangan ini dengan sebaik mungkin dan perkahwinan ini bukti cinta kami,” katanya lagi.
Akui Aidil, dua minggu sebelum perkahwinan tersebut, dia telah pun menemui keluarga Rita bagi membincangkan perkara tersebut.
“Keluarga Rita ada memberi nasihat tentang baik dan buruk yang bakal saya dan Rita hadapi kelak. Jadi setelah saya mendengar semua itu, saya yakin dan tetap mahu meneruskan perkahwinan ini,” ujarnya tegas.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh Naib Kadi Wilayah Songkhla, Haji Chowalit Pinsuwan berwalikan abang Rita, Ahmad Musyaiful Mokhtar dengan mas kahwin RM777.77 dan wang hantaran sebanyak RM7777.77.
Pada majlis tersebut keluarga Rita yang terdiri daripada ibu, bapa tiri, adik dan abangnya turut hadir.
Terang Aidil, dia mengharapkan khalayak di luar sana tidak terus-terusan menabur cerita tentang mereka berdua.
Malah katanya, dia dan Rita sememangnya mahu memberitahu umum tentang perkahwinan itu. Malah Aidil menyangkal dakwaan dek kerana Rita telah berbadan dua menyebabkan mereka terdesak untuk memberitahu khalayak berita perkahwinan mereka.
“Jika Rita tak mengandung pun memang saya akan beritahu semua orang tentang perkahwinan ini. Cuma saya tunggu masa yang sesuai tapi apabila saya dapat tahu Rita mengandung lagi membuatkan saya kuat untuk berdepan dengan semua ini,” jelasnya yang telah pun membawa pulang Rita bertemu kedua ibu bapanya.
Ditebak persoalan tidakkah dia merasakan jarak usia 11 tahun akan memberikan masalah di hari muka kata Aidil sambil tersenyum manis: “Bagi saya apa yang penting ialah keikhlasan. Saya ikhlas menyayangi dan menyintai dia dan saya yakin perasaan itu tak akan berubah.”
Syukur semuanya selesai - Rita Rudaini
Bagi wanita jelita ini, meskipun pernah menyimpan niat untuk memutuskan hubungan yang terjalin kerana tidak tahan dengan rintangan yang dihadapi namun mengakui sememangnya telah tertulis jodoh antara mereka.
“Saya pernah nak putuskan hubungan dengan dia tapi tak boleh. Sebab rasa sayang itu cukup menebal dan dia sendiri seorang yang kuat. Dia banyak menyejukkan keadaan dan membuatkan segala masalah berakhir dengan baik,” kata pelakon yang cukup popular menerusi filem Anak Mami ini.
Menceritakan detik-detik di awal percintaan mereka jelas anak kelahiran Perlis ini, sememangnya dia sendiri tidak menyangka hubungan itu akan kekal dan berakhir dengan kisah penyudah yang menggembirakan.
“Masa mula-mula memang saya pun tak yakin dengan dia sebab dia masih muda. Tapi dia ini tak banyak cakap dan jenis cool. Dia juga ada ciri-ciri lelaki yang saya suka iaitu dia tak poyo dan jenis yang suka duduk di rumah, bukan jenis merewang-rewang,” katanya lagi.
Menceritakan tentang kandungannya pula kata Rita: “Saya sekarang alami alahan pada makanan. Kadang-kadang rasa nak muntah dan pening-pening. Tapi yang kelakarnya bukan saya sahaja yang rasa Aidil juga terkena perkara yang sama.”
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN
0 ulasan:
Catat Ulasan