Saya juga tidak mahu melepaskan peluang itu kerana Norsiah sudah berjanji mahu bertemu saya melalui mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada saya ketika mereka di Jakarta.
Menuntut janji itu, pada malam Khamis lalu, saya mengaturkan sesi fotografi muka depan Pancaindera untuk Diana Danielle. Hadir ditemani ibu dan rakan-rakannya di studio Utusan, muka Diana agak "muncung" sekejap.
Kata Norsiah anaknya itu baru lepas meluahkan perasaannya kepada sekumpulan wartawan yang hadir pada majlis ulang tahun Lord's Tailor Brand New Look di Pusat Beli-belah Bangsar, Kuala Lumpur pada sebelah petangnya.
"Dia baru lepas meluahkan perasaan dia tu. Mood dia mungkin tak beberapa bagus," kata Norsiah. Yalah budak-budak punya perasaan memang tak boleh nak dijangka. Tambahan pula baru putus cinta. Memanglah perasaan dan emosi sentiasa tidak stabil. Saya faham semua itu.
Memberi masa Diana menyedut susu kacang soya, saya bertanya mengenai perasaannya sekarang.
Terus sampuk gadis ini disulam lerek senyuman manisnya yang dia gembira apatah lagi baru pulang dari Jakarta untuk urusan bisnes. Saya tanya lagi. Bagaimana dengan cinta? Lantas jawab gadis ini, cukuplah dengan cinta. Dia tidak mahu bercerita panjang mengenainya lagi.
Saya tambah satu soalan lagi. Masih sakitkah kepala kena tumbuk itu? Sambil memegang bahagian belakang sebelah kiri kepalanya, kata Diana, sakit sudah kurang tetapi kesannya masih ada.
Maksudnya bonjol di kepala itu masih tidak surut. Lalu dia menarik tangan saya untuk membuktikan kata-kata itu benar dan bukannya rekaan. Ketika menyentuh bahagian kepala itu, saya dapat rasakan bonjol sebesar biji guli. Mungkin itulah tempat yang Diana dakwa ditumbuk oleh Syamsul.
"Rasa tak bonjol tu? Sampai sekarang masih ada," katanya sebelum kami meneruskan temu bual di bilik mekap sambil wajahnya dicantikkan jurusolek Zulfazli.
Serik untuk bercinta
Peristiwa pada malam 26 November lalu adalah titik yang dianggap hitam dalam hidup Diana Danielle. Selama 17 tahun hidup di dunia ini, itulah pertama kali dia menerima dugaan yang dianggapnya dahsyat di alam percintaan.
Berdasarkan laporan akhbar, Diana mendakwa ditumbuk lima kali oleh Syamsul hanya kerana cemburu. Cemburu dalam percintaan itu adalah perkara biasa. Itu tandanya sayang tapi kalau cemburu yang berlebihan, inilah jadinya.
Dek kerana tak tahan dengan cemburu yang dianggap keterlaluan itu, maka pada malam itu ternoktahlah hubungan cinta yang disemai selama tiga tahun. Diana anggap ia bagaikan sebuah mimpi ngeri. Masakan seorang perempuan bawah umur sepertinya itu diperlakukan seperti itu?
Tetapi benda dah jadi. Benda dah berlaku. Yang penting Syamsul sudah memohon maaf dan mengakui kesilapannya bertindak kasar terhadap Diana. Dan adakah kata-kata kemaafan daripada Diana berhubung perkara itu?
"Saya maafkan dia. Tak ada apa-apa masalah sebab benda ni dah pun berlaku. Saya tak mahu ia dipanjangkan lagi kerana saya menghormati keluarganya terutama sekali Datuk Yusof dan Datin Fatimah," ujar Diana.
Dan yang lebih penting Diana mengakui dia sudah serik untuk bercinta. Buat masa ini dia mahu melupakan perasaan untuk mempunyai kekasih. Bukan bermakna suatu hari nanti dia akan terus menjadi orang bujang tetapi buat masa ini untuk mencari mereka yang bergelar teman istimewa itu masih belum terbuka.
Selain takut peristiwa itu berulang semula, yang paling penting Diana menganggap usianya masih muda. Bukan masanya untuk mencari cinta sebaliknya dia perlu memberi tumpuan terhadap masa depannya selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
"Tak mahulah bercinta. Saya nak bagi tumpuan dalam bidang seni dulu. Cukuplah saya dah lalu perjalanan hidup sebagai orang yang ada kekasih," katanya.
"Sumpah tak ada orang lain"
Gadis secantik ini tipulah kalau tak ada orang yang berkenan. Hendak pula baru putus cinta. Tak keterlaluan kalau dikatakan ramai yang sanggup "berbaris" untuk memikat hati Diana.
Ujar gadis ini, dia kecewa apabila ada desas-desus mengatakan Diana menjalinkan hubungan dengan orang lain sehingga sanggup memutuskan percintaannya dengan Syamsul itu. Sambil mengangkat tapak tangan, ujar Diana, dia masih single. Tak ada kekasih, tak ada teman lelaki.
"Sumpah, saya tak ada orang lain. Bukan juga orang ketiga yang seperti yang dikatakan menjadi punca keretakan hubungan saya dengan Syamsul itu," katanya.
Melihat kepada usianya yang masih muda ketika dilamun percintaan, ujar Diana dia kesal kerana terlibat dalam dunia percintaan sewaktu masih mentah. Apabila tiada kematangan di dalam sesebuah perhubungan, maka ia tidak mampu untuk kekal lama.
Dan hari ini apabila usianya semakin meningkat, Diana menganggap bagaikan membuang masa jika bercinta pada usia awal.
"Saya masih muda. Buat apa nak bercinta awal. Dulu tak nampak tetapi sekarang saya dah nampak dah haluan saya," jelasnya.
Dan hari ini Diana gembira apabila kehidupannya tidak lagi dikongkong oleh sesiapa. Tiada lagi lelaki yang hendak mengawal setiap pergerakannya.
Yang lebih penting hari ini masa yang terluang dapat digunakan untuk bersama rakan-rakan selain melibatkan diri dalam aktiviti lain yang lebih berfaedah. Suka kegiatan lasak seperti rock climbing, akui Diana dia lebih santai memenuhi masanya dengan aktiviti seperti itu.
"Sekarang ini jika ada masa terluang saya banyak habiskan dengan aktiviti yang lebih berfaedah dan mengeluarkan peluh. Memang sekarang ini saya gembira dan bahagia sangat dengan cara itu," jelasnya.
Nak pindah ke Jakarta
Membuat satu keputusan yang agak mengejutkan. Diana dan ibunya berhasrat untuk berpindah dan menetap di Jakarta, Indonesia pada tahun hadapan. Bukan kerana kecewa dengan percintaannya itu tetapi ada sebab berbuat demikian.
Dengan penuh bangga Diana dan ibunya mempunyai banyak perancangan yang hendak dilakukan di negara jiran itu terutamanya dalam usaha meningkatkan lagi kerjaya Diana.
"Kami nak tinggal sana tak lama. Dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun saja," katanya?
Selepas berada beberapa hari di negara itu sebelum Hari Raya Aidiladha lalu, Diana dan ibunya sudah dinasihati untuk berada di Jakarta dalam tempoh yang agak panjang kerana gadis ini akan digilap menjadi bintang popular di negara itu.
Kata Diana, selepas berjumpa dengan Octave, komposer hebat di Jakarta, komposer itu sudah bersetuju untuk mengambilnya menjadi artis rakaman di negara tersebut.
Mengikut perbincangan awal, komposer tersebut berhasrat menerbitkan album Diana yang memakan masa antara empat hingga enam bulan termasuk tempoh rakaman dan juga promosi.
Dan jika hasrat itu terlaksana, maka keputusannya ialah terpaksa meninggalkan negara ini buat seketika semata-mata mahu menguruskan projek besar itu.
"Dah lama saya nak jadi penyanyi. Bila ada komposer sana yang sanggup untuk menaikkan nama saya di Indonesia, saya harus merebut peluang itu dengan sebaik mungkin.
"Masa buat rakaman suara di sebuah studio di Jakarta, komposer tersebut berpuas hati dengan tahap pencapaian suara saya," katanya.
Bukan bermaksud mahu meminggirkan kebolehan produk yang dihasilkan negara ini tetapi Diana mahu meluaskan empayar seninya. Sebab itulah dia memilih Jakarta sebagai permulaan.
Dan yang pasti jika penghasilan album itu nanti berjalan lancar, ia akan turut diedarkan di Malaysia.
Oleh NIEZAM ABDULLAH
0 ulasan:
Catat Ulasan